Oleh Karmila Azmi
8 Oktober 2021, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Pengalaman hidup sebagai pencari suaka memberi kesan yang sangat mendalam kepada pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021, Abdulrazak Gurnah. Pengalaman tersebut bukan hanya terlihat dalam karya-karya beliau yang terhasil sejak 35 tahun lalu, malah terpancar dalam temu bualnya selepas menerima pengiktirafan itu.

Abdulrazak yang lahir di Zanzibar pada tahun 1948 menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya Khamis lalu akan membuka lebih banyak perbincangan mengenai karya beliau yang sebelum ini disifatkan oleh pengkritik cenderung mengangkat isu kolonialisme dan imigran.

“Akademi (Sweden) jarang memperkatakan isu-isu sebegitu, jadi hal ini akan membuka lebih banyak perbincangan,” katanya, dalam laporan yang diterbitkan oleh AFP.

Abdulrazak yang tiba di Britain pada usia 21 tahun mula menulis ketika tiba di Britain sebagai respons terhadap rasa keterasingan yang dialaminya ketika itu. Setakat ini, beliau sudah menghasilkan lebih 10 buah novel dengan kebanyakannya mengambil latar Afrika Timur.

Antara novel beliau, termasuklah Paradise (1994) yang disenarai pendek untuk Booker Prize dan Whitbread Prize. Novelnya, Desertion (1994) dan By the Sea (2001) berada dalam senarai panjang Booker Prize, selain senarai pendek Los Angeles Times Book Prize.

Tegas Abdulrazak, ketika beliau tiba di England, tidak banyak orang lari ke negara selamat atas nama “pencari suaka”. Namun hari ini katanya, lebih ramai warga dunia melarikan diri dari negara asal mereka atas faktor negara yang kucar-kacir.

Katanya, berbanding dengan tahun 1960-an, dunia hari ini lebih kejam, justeru negara yang diistilahkan sebagai selamat lebih tertekan, tetapi hal sebeginilah yang perlu dihadapi oleh semua setiap hari.

Malah, Abdulrazak dalam temu bualnya dengan Yayasan Nobel, turut mendesak Eropah untuk melihat pelarian dari Afrika sebagai manusia yang “mempunyai sesuatu yang ingin diberikan”.

“Kebanyakan mereka ini jujur dengan apa-apa yang boleh mereka berikan. Mereka tidak datang dengan tangan kosong. Mereka ialah orang yang berbakat, bertenaga, dan mampu memberikan sumbangan,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.