Oleh Harlym Yeo
Diterbitkan pada 22 Mac 2023, 20:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program “Interaksi Pemuisi Sedunia 3.0” anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) yang bertemakan ‘ASPIRASI’ meraikan para Sasterawan Negara (SN) telah berlangsung pada 18 Mac lalu.

Program ini berjaya menarik penyertaan lebih 35 pemuisi dari 10 negara, termasuklah negara Belanda, Rusia, Belgium, Australia, dan Republik Negara China.

YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan menyampaikan kata alu-aluan melalui aplikasi zoom ketika program berlangsung pada 18 Mac lepas.

Ketika berucap merasmikan program ini, YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan memuji sumbangan PEMUISI yang berterusan menjadikan kegiatan sebegini sebagai wadah interaksi dalam kalangan pemuisi dunia. Beliau turut mendeklamasikan sebuah sajak sebagai pembuka tirai acara.

Bagi Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim pula menjelaskan;

Tugas kita sebagai penulis dan pemuisi bukanlah lagi sekadar untuk memenuhi minat dan kepentingan sendiri. Kita harus menyantuni masyarakat dengan penulisan puisi yang mampu mengasah minda dan merangsang pemikiran pembaca.

Beliau turut mendeklamasikan sebuah sajak khas buat SN.

Program malam itu dirancakkan lagi dengan persembahan deklamasi puisi oleh SN Zurinah Hassan, SN Siti Zainon Ismail, Dr. Victor Pogadaev, Tan Fuyuan serta Wu Hankai dari negara China.

Turut sama menyemarakkan program ialah Naning Scheid, David Reeve dan Sita Aulliya yang mewakili negara masing-masing, iaitu negara Belgium, Australia dan Belanda.Peserta dari negara Thailand, Brunei, Singapura serta Indonesia juga tidak kurang hebatnya apabila masing-masing memberikan persembahan bertenaga ketika berpuisi.

Seterusnya, ahli jawatankuasa PEMUISI iaitu, Dr. Zainatul Shuhaida, Marzelan Perindu, Yanz Hamzah dan Harlym Yeo turut mengambil bahagian mendeklamasikan sajak khas kepada para SN.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi