Oleh Adib MN
6 Disember 2024, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adib MN menulis tentang “Bah Besar” yang mungkin akan melanda pemilihan kepimpinan dalam persatuan penulis nasional kali ini.

Tidak ada elemen saintifik yang perlu dikaji untuk memahami mengapa pemilihan pada skala besar akan berlaku, selain tuntutan fitrah organisasi …

Kata orang tua-tua di Kelantan, banjir besar semasa musim tengkujuh biasanya datang 10 tahun sekali. Tahun ini, gelombang pertama sudah mengejutkan, sekali gus mengimbau tragedi Bah Kuning 2014, tepat satu dekad lalu.

Kalau sesiapa berkunjung ke Kelantan atau Kuala Krai setepatnya, ada Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai untuk mengenang Bah Kuning yang datang menggerpak pada penghujung tahun itu hingga awal Januari tahun berikutnya, sekali gus menjejaskan 350, 000 mangsa termasuk 21 jiwa terkorban.

Dalam tempoh 10 tahun sebelumnya, iaitu tahun 2004, banjir besar turut melanda, diikuti dengan tahun 1979 (lebih sedekad sebenarnya) dan 1967.

Tentu, “ramalan” hasil kearifan tempatan dan pengalaman kolektif itu perlu diselidiki sejauh mana kebenarannya dari sudut pergerakan monsun dan angin, selain pembangunan yang turut “melanda” negara dalam skala yang pastinya turut memberikan kesan pada alam sekitar.

Walau bagaimanapun, ada satu lagi “banjir besar” yang datang dalam lingkungan 10 tahun sekali, iaitu pemilihan dalam persatuan penulis nasional, sama ada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mahupun Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Namun begitu, tidak ada elemen saintifik yang perlu dikaji untuk memahami mengapa pemilihan pada skala besar akan berlaku, selain tuntutan fitrah organisasi, iaitu keperluan pada fikiran sebahagian ahli untuk memberikan nafas baharu bagi menghadapi cabaran baharu.

Sepanjang terbabit dalam persatuan, kali terakhir pemilihan ialah penyandang kerusi Presiden PENA selama lapan penggal, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang mengambil alih jawatan itu daripada Sasterawan Negara (SN) Dato’ Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain pada tahun 2010.

Dalam pemilihan itu, Mohamad Saleeh memperoleh 21 undi dengan menewaskan Baha Zain yang mendapat 13 undi.

Menariknya, Baha Zain dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan tetapi beberapa hari sebelumnya melakukan pusingan U. Khabarnya, sokongan sebahagian ahli dalam kalangan pengarang veteran menjadi penyebab pada tindakan itu.

Pemilihan terbabit juga menyaksikan gelombang besar peralihan pucuk pimpinan dalam kalangan penulis yang masih muda ketika itu apabila Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amirudin Md Ali Hanafiah menewaskan Rasanubari Asmaramah Baharum dengan undi memberangsangkan, iaitu 28 undi berbanding tujuh undi.

Rasanubari juga tidak dapat mempertahankan jawatan Bendahari apabila tewas kepada Allahyarham Rahimidin Zahari ketika itu Editor Majalah Pentas yang mendapat 24 undi.

“Banjir besar” turut melanda peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) yang menyaksikan penulis muda menguasai dua pertiga, iaitu Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Muhammad Lutfi Ishak, Dr. Ariff Mohamad, dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, manakala pengarang veteran pula diwakili oleh Dr. Ahmad Razali Yusof dan Datuk Ibrahim Ghafar.

Itu cerita 14 tahun lalu dengan kepemimpinan PENA mengalami perubahan signifikan pada peringkat Timbalan Presiden dan ke bawah tetapi tidak pada kerusi kepresidenan.

Walau bagaimanapun, selepas lebih sedekad, Mohamad Saleeh yang baru bersara daripada Universiti Malaya (UM) akan berdepan dengan gelombang “monsun” yang muncul satu dekad sekali.

Kali ini, Urus Setia Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Mohd Khair Ngadiron yang sebelum ini menjadi Timbalan Presiden PENA melahirkan kesediaan untuk mencabar Mohamad Saleeh dalam pemilihan kepemimpinan, Sabtu ini.

Mohamad Saleeh dengan pengalaman dan kekuatan tersendiri dalam mengemudikan PENA selama lebih sedekad itu, tentu bersedia mempertahankan jawatan itu.

Dikenali sebagai presiden yang cenderung bertindak secara mikropengurusan, tentu mengetahui selok-belok pergerakan persatuan itu, sekali gus dapat menebak kekuatan yang dimilikinya, terutama pengarang dan penulis yang aktif menyertai aktivitinya.

Walaupun beliau mungkin tidak terlalu ketara dalam dunia kesarjanaan sastera di sebalik memiliki autoriti dalam kesusasteraan, Mohamad Saleeh berupaya menarik keyakinan ahli dalam kalangan akademia.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

Di sinilah kekuatan itu boleh menjadi bekal kepada Mohamad Saleeh untuk mempertahankan jawatannya, apatah lagi mungkin beliau merasakan tidak ada ruginya kalau bertanding.

Walau bagaimanapun, saingan Mohamad Saleeh juga bukan calang-calang kerana Mohd Khair yang sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tentu membawa pengalaman signifikan dalam industri buku, apatah lagi beliau dianggap antara birokrat buku yang berjaya membawa nafas baharu dalam penganjuran PBAKL.

Di sinilah pentingnya barisan kepemimpinan institusi dan persatuan bersiap sedia dengan idea baharu serta segar dalam usaha menyambut satu demi satu peruntukan yang diberikan oleh kerajaan.

Harus diingat, PBAKL seperti sektor lain di dunia mengalami cabaran paling getir, iaitu pandemik COVID-19 yang menyaksikan penutupan semua sektor yang tidak kritikal.

Dalam konteks industri buku global, pandemik menjejaskan semua pemain industri sehingga pesta sebesar Pesta Buku Frankfurt turut terduduk.

Apabila Pesta Buku Frankfurt diadakan kembali, kita dapat menyaksikan Malaysia turut menghantar delegasi yang memperlihatkan kejayaan apabila mencatat 30 urus niaga jualan hak cipta sehingga turut dipuji oleh Presiden Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos dan Timbalan Presidennya, Claudia Kaiser, yang bertanggungjawab terhadap rantau Asia Tenggara.

Mohd Khair Ngadiron

Malah, penganjuran PBAKL juga menunjukkan peningkatan walaupun mungkin timbul sedikit “ribut dalam cawan” pada tahun lalu tetapi nampaknya diselesaikan dengan baik, sekali gus menjadi satu lagi nilai tambah yang boleh ditawarkan oleh Mohd Khair kepada ahli.

Kekosongan kerusi Timbalan Presiden pula nampaknya bakal diisi dengan pengarang prolifik dan usahawan buku, Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir) dengan melakukan kemunculan semula selepas lama menumpukan perhatian merancakkan subindustri buku melalui Nusa Centre.

Untuk rekod, Nusa Centre bukan sahaja aktif dalam penerbitan judul SN Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan) dan Zakir selaku Penerima Anugerah SEA Write sahaja, bahkan giat menganjurkan pelbagai acara apresiasi sastera, termasuk Suara KL dan bengkel penulisan di seluruh negara.

Malah, beliau turut aktif dengan penerbitan judul daripada pengarang luar negara, termasuk dari rantau Balkan dan Asia Timur, serta terbabit dalam pesta buku antarabangsa di luar negara.

Walau bagaimanapun, pertandingan jawatan sebenarnya sudah menjadi asam garam dalam persatuan setua PENA ini yang pernah menyaksikan banjir besar berlaku ketika era Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika itu, kita menyaksikan perubahan besar dalam PENA apabila menobatkan Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar sebagai Ketua Satu dan Baha Zain (Ketua Dua). Untuk rekod, kedua-dua jawatan itu diubah kepada Presiden dan Timbalan Presiden mulai Mesyuarat Agung Tahunan ke-32 bagi sesi 1994 – 1995.

Mungkin satu kebetulan juga yang “banjir besar” itu berlaku ketika Anwar berada di tampuk kepemimpinan negara, apatah lagi buku dan sastera sekali lagi mendapat tumpuan daripada orang nombor satu.

Hal ini memberikan cabaran kepada khalayak sastera sama ada dalam konteks institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ITBM atau persatuan sastera sendiri.

Apa yang penting, tumpuan yang diberikan oleh kerajaan tidak boleh disia-siakan dengan mengulangi gerak kerja lama, sebaliknya bukan sahaja perlu lebih proaktif, bahkan menampilkan nafas baharu dalam menterjemahkan peruntukan besar yang diberikan itu kepada usaha menghidupkan subindustri buku dan ranah kesusasteraan tanah air.

Di sinilah pentingnya barisan kepemimpinan institusi dan persatuan bersiap sedia dengan idea baharu serta segar dalam usaha menyambut satu demi satu peruntukan yang diberikan oleh kerajaan, termasuk RM50 juta yang diumumkan oleh Anwar selaku Menteri Kewangan pada Belanjawan 2025.

Justeru, pemilihan PENA atau juga GAPENA perlu mencerminkan kesediaan untuk kepemimpinannya berubah, sama ada secara perubahan sikap atau pemimpinnya.

Bagi ahli khasnya dan subindustri buku serta khalayak sastera umumnya, sesiapa sahaja boleh memimpin persatuan itu, tetapi biarlah menjadi pemain proaktif, supaya kesannya dapat dirasai semua, mengangkat harakat sastera dan martabat buku, sekali gus menyuguhkan Malaysia di pentas global.

______________________________

Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.

Kredit Foto: Airul Affendi Ali
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.