Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTulisan ini merupakan Teks Ucapan Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang diubah suai untuk siaran. Teks ini dibaca pada Mesyuarat Agung PENA ke-61 pada 8 Disember 2024 di Rumah PENA, Kuala Lumpur.
Pada peringkat serantau juga PENA sering dirujuk oleh pelbagai pihak untuk menyertai pelbagai program yang melibatkan penulis dan persuratan.
Mesyuarat yang ke-61 ini, bertepatan dengan angka tahun penubuhan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada 12 Februari 1961 di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya. Semoga tempoh yang panjang ini, iaitu kira-kira 63 tahun, turut mematangkan PENA sebagai sebuah persatuan yang memperjuangkan harkat bahasa kebangsaan, sastera kebangsaan dan komuniti penulis yang mendukungnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa perjuangan yang dibawa oleh PENA ini ada nilai jihadnya kerana matlamat akhirnya memastikan kelestarian hakikat bangsa dan bahasa Melayu yang turut memikul amanah agama secara tidak langsung. Malahan, menjaga kebajikan penulis yang menjadi rakyatnya juga merupakan usaha murni dan diredai Allah. Jika dalam tempoh dan medan perjuangannya itu turut terselit unsur yang syubhah dan salah, itu sudah menjadi unsur cemar yang sewajibnya kita mohon keampunan daripada Allah SWT.
Sehingga kini, telah terakam dalam sejarah hayatnya, bahawa PENA menjalankan banyak aktiviti, sama ada kecil mahupun besar, sama ada bertaraf tempatan mahupun antarabangsa. Oleh jumlah yang berjela-jela itu, tidaklah pula kita boleh mendabik dada bahawa kita sebagai pemikul amanahnya, iaitu Ahli Jawatankuasa (AJK) PENA, telah melunasi semua tanggungjawab. Masih banyak yang belum terlaksana lantaran kekurangan tenaga dan kesempatan.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan seluruh usaha dan perancangan, terutamanya para AJK, dan tidak ketinggalan semua agensi yang terlibat sebagai pemegang taruh dalam perjuangan ini, seperti GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), JKKN Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Perbadanan Kotabuku, TV Alhijrah, dan lain-lain.
Tanpa sokongan daripada ahli-ahli PENA dan masyarakat umumnya, semua usaha itu tidak juga dapat terlaksana dengan jayanya. Terima kasih tanpa prejudis saya ucapkan kepada seluruh ahli PENA dan masyarakat pendampingnya.
Pada peringkat antarabangsa, nama PENA sudah dikenali, atau sekurang-kurangnya sudah disebut dalam mesyuarat UNESCO di Paris, apabila menerima pentauliahan sebagai NGO Bertauliah di bawah UNESCO bagi domain Persuratan-Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Intangibale Heritage). Pentauliahan ini telah berlangsung dalam sesi ke-10 General Assembly yang diadakan pada bulan Jun 2024 di Ibu Pejabat UNESCO, Paris.
Untuk makluman dan sejarah peringatan, pencalonan PENA telah dikemukakan kepada UNESCO, dan penilaiannya bermula sejak bulan Mei hingga November 2023. Sejumlah 73 permohonan telah diterima oleh UNESCO dari pelbagai negara. Setelah sesi ke-18 Mesyuarat Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Melindungi Warisan Tidak Ketara (Intergovermental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage) di Kasane, Botswana, pada 9 Disember 2023, hanya 57 NGO telah disenaraikan untuk ditauliahkan. Selain PENA, turut tersenarai ialah The Malaysia Craft Council dan Pusat PUSAKA Sdn. Bhd.
Akhirnya, PENA tersenarai sebagai delegasi ke UNESCO untuk menjadi sebahagian daripada ahli mesyuarat walaupun tidak ada upacara sebagai tanda penerimaan selain pengumuman oleh pengerusi mesyuarat ketika itu. Kami bertiga mewakili PENA telah menghadiri mesyuarat itu, iaitu saya sendiri, Timbalan Presiden, Mohd Khair Ngadiron, dan AJK PENA Rosman Md. Shah.
Oleh hal yang demikian, wajar untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Rosman Md. Shah kerana atas usaha beliaulah pencapaian ini terakam dalam sejarah PENA. Segala surat dan laporan yang dipinta oleh Jabatan Warisan Negara dan pihak ketiga yang lain telah disediakan oleh beliau.
Pada peringkat serantau juga PENA sering dirujuk oleh pelbagai pihak untuk menyertai pelbagai program yang melibatkan penulis dan persuratan. Malahan ada penulis dari negara jiran yang menjadi ahli bersekutu PENA.
Pada peringkat tempatan, nama PENA sudah dikenali oleh semua strata pentadbiran negara, dan tidak sukar lagi untuk PENA memperkenalkan diri apabila sesuatu permohonan mahu diajukan kepada pihak pemegang taruh berkenaan. Bersyukurlah, kita mendapat sokongan dan kepercayaan daripada pihak berkenaan. Bukan mudah sebenarnya untuk menjaga imej sesebuah persatuan tanpa kejujuran dan kekemasan dalam pelaksanaan setiap program yang melibatkan pihak luar.
Dalam perkembangan terkini, suka saya maklumkan bahawa PENA telah menerima dana sebanyak RM2.5 juta untuk projek Penerbitan Bahan Bacaan Karya Asli Bertemakan Kreatif dalam Bahasa Melayu dari Kementerian Kewangan. Dana ini berkaitan dengan Inisiatif Belanjawan 2024: Ikhtiar 11 ‒ Memperkukuh perpaduan dan keselamatan, perkara ketiga ‒ sukan dan budaya wahana perpaduan (budaya, bahasa dan kesusasteraan).
Daripada unjuran penerbitan di bawah projek Buku PENA-Malaysia Madani sebanyak 100 judul, komitmen akhirnya telah meningkat kepada 122 judul untuk diterbitkan. Sebanyak 30 judul telah berjaya dicetak dan dijual pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor baru-baru ini.
Sebanyak tujuh kali kami mengadakan jelajah penerangan untuk menjelaskan projek ini kepada penulis di seluruh negara, iaitu di Sarawak (Miri), Kuala Lumpur, Sabah (Kota Kinabalu), Pulau Pinang, Johor (Muar), Kelantan (Kota Bharu), dan Terengganu (Kuala Terengganu). Ratusan manuskrip telah diterima, tetapi ratusan juga tidak dapat kami sambut kerana melebihi had yang ditentukan, berdasarkan keupayaan yang sedia ada.
Sebahagian besar kerja ini telah diuruskan oleh pihak yang berpengalaman dalam pengurusan besar, bukannya oleh AJK sebagai kaedah biasa persatuan. Hal ini bagi melicinkan kerja yang rumit dan segera itu. Jika tidak diserahkan kepada tenaga pakar bagi kerja pracetak dan percetakan, nescaya sasaran penerbitan tidak dapat dicapai.
Untuk itu, kita ucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden, Mohd Khair Ngadiron kerana merintis jalan ke arah kejayaan tersebut. Di samping itu, bantuan daripada Rosman Md. Shah juga tidak wajar kita lupakan. Dr. Shamsudin Othman (SUA PENA) dan Dr. Norhayati Ab. Rahman (AJK PENA) juga turut membantu dalam pemilihan manuskrip, manakala Bendahari, Azalan Hussain menjaga hal ehwal kewangan.
Seyogia dicatatkan juga bahawa pada 18 – 20 Disember 2024 akan berlangsung dua acara jenama PENA, iaitu Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-4 (PPMN ke-4), dan Sidang Kemuncak Penulis Nasional (SKPM) ke-3. PPMN merupakan acara kali keempat selepas PPMN pertama pada 3 – 6 Jun 2005 di Pontian Johor; PPMN ke-2 di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2009; dan PPMN ke-3 di Kuala Lumpur pada tahun 2011, serentak dengan sambutan 50 Tahun PENA. SKPM kali ini pula merupakan lanjutan daripada SKPM pertama di Jitra, Kedah pada 24 hingga 26 Oktober 2014 dan SKPM ke-2 pada 9 – 10 April 2021 di Rumah PENA.
Untuk makluman hadirin, sebahagian besar daripada kos penganjuran PPMN ke-4 ini dan SKPM ke-3 ini adalah daripada Inisiatif Belanjawan yang disalurkan oleh Kerajaan melalui GAPENA. Terima kasih GAPENA atas penyaluran dana ini.
Dua acara serentak itu akan berlangsung di Hotel Royal Park, UNITEN, Bangi, dan pendaftaran peserta sudah pun ditutup kerana mencapai sasarannya. Perkembangan semua projek ini tidak dapat saya perincikan kerana masih dalam pengemasan maklumat.
Saya tidak fikir pemilihan kali ini akan mencetuskan konflik peribadi kerana sekurang-kurangnya saya sendiri, jika terlibat dalam persaingan, tidak berniat mahu menjadikannya satu isu yang besar. Saya berlapang dada untuk menerima segala-gala yang berlaku dan bakal berlaku kerana saya bukanlah peribadi yang penting.
Pada mesyuarat kali ini akan diadakan pemilihan AJK baharu, sesuai dengan landas demokrasi yang menjadi ikutan PENA. PENA sedaya mungkin akan melakukannya secara telus bagi memastikan tiada isu berbangkit hingga akhirnya nama PENA juga akan tercemar.
Dalam kesempatan ini, pilihlah susuk manusia yang difikirkan sesuai. Pilihan di tangan anda tanpa paksaan dan tekanan. Kemudian hadapilah masa depan, dan bantulah barisan kepemimpinan yang dipilih.
Mesyuarat kali ini menjadi bahan sorotan media walaupun tidaklah menarik perhatian pemimpin negara. Hal ini sesuatu yang menarik, sekali gus membuktikan bahawa PENA sentiasa menjadi perhatian awam.
Saya tidak fikir pemilihan kali ini akan mencetuskan konflik peribadi kerana sekurang-kurangnya saya sendiri, jika terlibat dalam persaingan, tidak berniat mahu menjadikannya satu isu yang besar. Saya berlapang dada untuk menerima segala-gala yang berlaku dan bakal berlaku kerana saya bukanlah peribadi yang penting. Yang lebih penting ialah PENA terus hidup dan menghidupkan sastera, bahasa dan negara bangsa yang menjadi teras dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, sebelum berlaku perubahan atau tidak sekalipun, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang tulus kepada semua AJK yang telah bekerja menurut kapasiti masing-masing. Tiada sesiapa boleh mendabik dada bahawa merekalah yang bertangunggungjawab penuh dalam semua pelaksanaan projek.
Saya sentiasa memegang suatu prinsip bahawa semua pihak mempunyai peranan masing-masing walau sekecil apa pun tugasnya. Semua orang saling melengkapi walaupun ada ketikanya nama mereka tidak dikenali umum.
Oleh itu, janganlah memandang saya sebagai orang penting dalam PENA. Bagi saya, semua orang penting. Malahan, jika ada kelemahan dan kekurangan selama ini, sayalah orang pertama yang patut dipersalah.
Terima kasih, semua AJK. Semoga anda semua dirahmati Allah dan mendapat laluan ke syurga dengan mudah berkat sumbangan yang dilaburkan kepada PENA selama ini.
Saya memohon ampun dan maaf kepada semua AJK jika selama menerajui PENA dengan sumbangan yang kecil dan tidak layak dirakamkan dalam sejarah ini hati saudara semua tersinggung. Tiada niat saya untuk memperkecil saudara semua. Jika selepas ini saya tidak lagi berada dalam barisan pemikul amanah PENA, maka jadilah saya seperti pepatah Melayu: Dahulu intan kelak jadi batu Belanda. Saya hanya akan menjadi orang biasa yang suaranya bukanlah penting lagi untuk diberi nilaian.
Semasa menjadi Presiden PENA, setiap kenyataan saya akan dipandang sebagai pendirian PENA walaupun sifatnya peribadi. Oleh itu, sentiasalah saya berhati-hati menulis dalam media sosial agar nama PENA tidak terpalit oleh keceloparan saya.
Sesungguhnya banyak keberuntungan yang saya peroleh sepanjang perjalanan saya dalam saf kepemimpinan PENA sejak tahun 2010 selepas Dato’ Baharudin Zainal atau Baha Zain. Walaupun saya seolah-olah menyaingi Dato’ Baha Zain (dalam keadaan terpaksa) ketika pemilihan 2010, saya sentiasa menyifatkannya sebagai mentor, dan seringlah saya meminta serta mendengar nasihatnya. Pandangannya sentiasa segar dan besar, tidak untuk dirinya, tetapi untuk bangsa dan negara.
Baru-baru ini dalam ziarah saya bersama-sama Dr. Shamsudin Othman dan Rosman Md. Shah ke rumahnya, Baha Zain menitipkan pesan dan cita-citanya untuk melihat sebuah pusat dokumentasi persuratan Melayu yang besar. Saya hanya mendengar luahan dan harapannya itu dengan doa ada pihak berwewenang yang akan menjadikannya kenyataan nanti.
Menggantikan Dato` Baha Zain bukanlah bermakna saya ada cita-cita untuk menjadi orang nombor satu, malah saya selesa jika berada di bawah, membantu pemimpin yang lebih besar tanggungjawabnya. Namun begitu, ketika itu Allah telah memperingatkan kita bahawa kalau sudah takdirnya begitu, tidaklah dapat kita elakkan. Kun fayakun, jadi, maka jadilah.
Demikianlah, maka apa-apa sahaja yang berlaku selepas ini sudah dalam pengetahuan Allah dan tentulah dengan izin-Nya. Kekuasaan mutlak Allah SWT tidak dapat kita mungkiri. Allah berfirman dengan mafhumnya:
Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua adalah pendosa selain mereka yang Aku pelihara dari dosa. Mohonlah ampunan-Ku nescaya Aku akan mengampunimu. Kamu semua memerlukan kecuali orang yang Aku jadikan merdeka. Aku Maha Pemurah, Maha Agung, dan Aku melakukan apa sahaja yang Aku kehendaki. Pemberian-Ku adalah perkataan dan hukuman-Ku adalah perkataan. Apabila Aku menghendaki sesuatu terjadi, Aku hanya berkata kepadanya `Jadilah!’ dan jadilah ia.
(Surah Yasin, ayat 82)
Sepanjang saya menerajui PENA (untuk menanggung nama buruk dan baiknya) saya sentiasa teringat pesanan Sayidina Ali bin Abi Talib kepada Malik bin al-Haris al-Ashtar, sewaktu pelantikannya sebagai Gabenor Mesir. Antara pesanan Sayidina Ali r.a.:
Orang akan memerhatikan tingkah laku kamu dengan teliti sebagaimana kamu pernah meneliti tingkah laku orang sebelum kamu, dan orang akan bercerita tentang kamu sebagaimana kamu bercerita tentang orang lain. Sebenarnya orang selalu memuji mereka yang berbuat baik. Merekalah yang menjadi saksi kepada perbuatan kamu. Sebab itu, harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman kamu ialah perbuatan amar makruf.
Kata Sayidina Ali r.a. lagi: “Penasihat yang paling keji ialah orang yang pernah menjadi penasihat kepada pemimpin-pemimpin yang tidak adil dan turut sama bersubahat melakukan kemungkaran.”
Sesungguhnya saya menyimpan buku ini yang diterbitkan oleh Yayasan Penataran Ilmu pada tahun 1987 sejak lama dan sering merujuknya apabila mahu seolah-olah menjadi orang mulia. Tentulah saya sendiri tidak mampu mengikut semua pesanan itu dalam perjalanan memikul amanah di mana-mana juga, tetapi tidaklah salah pula saya memanjangkannya kepada orang lain untuk menjadi ingatan.
Percayalah bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya. Maka itu, jangan kita berpecah belah hanya kerana dunia dan isinya. Jika ada kerusuhan dan kesusahan, nescaya akan terang juga akhirnya seperti kata bidalan: Hilang kabus teduhlah hujan. Jangan sampai “gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah”.
Namun begitu ingatlah, “Tidaklah boleh matahari ditutup dengan nyiru”, kata orang tua-tua. Insya-Allah, masa depan PENA nescaya akan cemerlang terus jika kita bersatu. Bantu dan sokonglah apa-apa sahaja usaha kebaikan yang dirancang oleh barisan kepemimpinan PENA nanti.
Sebelum menamatkan ucapan, sukalah saya kongsikan pantun daripada buku Pantun Nasehat karya Tenas Effendy sebagai pegangan dan peringatan bagi diri saya sendiri.
Biarkan orang berkata garang,
……….Kita bercakap lemah lembut;
Biarlah kurang harta dan barang,
……….Asalkan sikap menurut patut.
Kalau pergi ke tanah seberang,
……….Ingat pedoman luruskan kapal;
Kalau hati sudah bergoyang,
……….Kuatkan iman luruskan akal.
Daripada buku Bunga Rampai Melayu Kuno (M.G. Emeis, 1965) pula, dirakamkan pantun yang berikut:
Mangkuk jorong, pinggan pun jorong,
……….Si Jorong berisi buah jati;
Dua, tiga kata terdorong,
……….Jangan dibawa masuk ke hati.
Penggal puan, penggal selasih,
……….Penggal biduk kait-mengait;
Tinggal tuan, tinggal kekasih,
……….Tinggal duduk baik-baik.
______________________________
Mohamad Saleeh Rahamad (Dr.) Presiden PENA. Beliau menulis esei, puisi dan cerpen. Bukunya, Oksidentalisme dalam Sastera Melayu (ITBM, 2014) pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.