Oleh Karmila Azmi
12 Jun 2024, 13:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Delegasi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menghadiri konvensyen Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, susulan pentauliahan badan antarabangsa itu terhadap PENA bagi Persuratan-Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Intangible Heritage).

PENA sebelum ini diumumkan menjadi salah satu daripada dua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia yang menerima pentauliahan secara rasmi bersempena sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO itu diadakan di Paris selama dua hari, bermula kelmarin.

Dua NGO lain ialah Majlis Kraf Malaysia dan PUSAKA.

PENA diwakili Presidennya, Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad , bersama-sama Timbalan Presiden, Mohd Khair Ngadiron dan Ahli Jawatankuasa, Rosman Md Shah.

Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad berkata bahawa pentauliahan berkenaan ialah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada persatuan penulis itu.

“Pengiktirafan ini ialah pengiktirafan kepada PENA dan seluruh ahlinya serta khalayak sastera yang sama-sama memperjuangkan seni persuratan dan kebudayaan dalam konteks warisan tidak ketara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohamad Saleeh, kejayaan PENA itu turut disumbangkan oleh agensi kerajaan dan pihak lain yang terus mendukung usaha persatuan itu dalam pengembangan dan pembangunan kebudayaan dan hal ini termasuklah dari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Perbadanan Kota Buku.

Untuk rekod, keputusan pentauliahan tiga NGO berkenaan bersama-sama 58 NGO lain dari seluruh dunia sebagai Warisan Tidak Ketara diumumkan oleh UNESCO pada 9 Disember lalu.

Kredit Foto: Saleeh Rahamad/Facebook

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.