Oleh Adib MN
Diterbitkan pada 5 November 2025, 13:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dumaguete – Kota Dumaguete, Negros, Filipina, bersama-sama sembilan lagi kota raya dunia dinobatkan sebagai Kota Sastera dalam Rangkaian Kota Kreatif UNESCO (UCCN) pada tahun ini.

Hal ini bermakna di Asia Tenggara, Dumaguete menyusuli Jakarta yang diisytiharkan sebagai Kota Sastera dalam (UCCN) pada tahun 2021.

Kota lain yang menerima pengiktirafan sama ialah Aberystwyth, Wales; Abuja, Nigeria; Celje, Slovenia; Conakry, Guinea; Gdańsk, Poland; Kahramanmaraş, Turkeye; Lund, Sweden; San Luis Potosí, Mexico; dan Tangier, Maghribi.

Kota dunia yang menerima penghormatan itu, diiktiraf memainkan peranan signifikan dalam tradisi kesusasteraan.

Antara ciri yang dinilai ialah usaha memperkasa sektor penerbitan, buku dan penulisan peringkat tempatan serta memudahkan hubungan antarabangsa antara pengarang serta penerbit.

Kota berkenaan juga menjadikan literasi dan budaya membaca sebahagian ciri penting daripada identiti bandar, seperti program literasi, festival buku dan sastera, serta program residensi penulis.

Pengiktirafan itu juga menandakan era baharu kepada kota yang diiktiraf mempunyai naratif buku dan sastera, budaya serta literasi kesusasteraan yang menjadi antara tunjang pembangunan bandar yang kreatif dan mampan.

Dalam konteks ini, Dumaguete berjaya terpilih berdasarkan kewujudan komuniti penulis dan pembaca yang dinamik, manakala Universiti Silliman pula menjadi tuan rumah pada Bengkel Penulis Kebangsaan setiap tahun, iaitu program penulisan kreatif tertua di Asia.

Datuk Bandar Dumaguete, Chiquiting Sagarbarria berkata, pihaknya meraikan pengiktirafan itu yang dianggap sebagai pencapaian besar.

“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kedudukan ini dan benar-benar menjadikan Dumaguete sebuah Kota Sastera yang boleh dibanggakan,” katanya seperti dipetik daripada portal The Philippine Star.

Sejak dianjurkan pada tahun 2004, sebanyak 53 kota daripada 39 negara disenaraikan dalam kategori Kota Sastera, manakala jumlah keseluruhannya dalam UCCN ialah 408 kota daripada lebih 100 negara.

Setakat ini, Kota Kinabalu sahaja yang menzahirkan hasrat dan komitmen untuk berusaha tersenarai sebagai Kota Sastera dalam UCCN.

Kuala Lumpur sebaliknya, belum nampak usaha yang konkrit, namun disenaraikan sebagai Kota Reka Bentuk dalam UCCN pada tahun ini.

Hal ini menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota ketiga Malaysia yang diiktiraf oleh UCCN selepas Kuching diiktiraf sebagai Kota Gastronomi pada tahun 2021 dan Ipoh dinobatkan sebagai Kota Muzik (2023).

Kredit Foto: Dumaguete City Government
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi