Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Naskhah At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Surat Persendirian Baginda Omar meraih pengiktirafan tertinggi peringkat Asia Pasifik bagi kategori manuskrip dan dokumentari warisan menerusi program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) Regional Register.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan semalam berkata, pengiktirafan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung MOWCAP Regional Register, Linh Anh Moreau pada 8 Mei lalu dalam Mesyuarat Agung MOWCAP ke-10 di Ulaanbaatar, Mongolia.
At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Surat Persendirian Baginda Omar disenaraikan bersama 18 pencalonan dari negara anggota MOWCAP Regional Register.
At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah yang ditulis pada tahun 1928 oleh Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad, seorang pembesar Kedah.
Versi pertamanya (MS 100) kini berada dalam simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak manuskrip ini dihadiahkan kepada agensi kerajaan itu pada 23 November 1962.
Terdahulu, DBP telah mencalonkan naskhah itu bagi pengiktirafan Objek Warisan Kebangsaan pada tahun 2023. Usaha ini seterusnya dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pakar Warisan Objek Ketara untuk penilaian akhir pada 27 Februari 2024 dan disyorkan oleh Pesuruhjaya Warisan untuk mengiktiraf naskhah ini sebagai Objek Warisan Kebangsaan.
Susulan itu, naskhah berkenaan dicalonkan ke peringkat antarabangsa melalui MOWCAP.
At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah ialah dokumentasi keturunan dan salasilah kesultanan dan pembentukan negeri Kedah pada awal kurun ke-12.
Malaysia setakat ini sudah menyenaraikan sembilan dokumentasi warisan di bawah program Memory of the World, iaitu enam di bawah International Register yang berpusat di Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) Paris dan tiga di bawah Regional Register yang berpusat di Seoul, Korea Selatan.
Kredit Foto: Umar Farooq/Unsplash