Diterbitkan pada 17 April 2026, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu XII anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia pada 15 dan 16 April 2026 lalu menyorot peranan teks historiografi sebagai wadah sastera dan rakaman sejarah.

Salah seorang pembentang, YBrs. Dr. Steven@Hamzah Alezender mengupas interaksi politik kerajaan Melayu dengan kuasa Eropah berdasarkan teks historiografi, sekali gus menjadi antara sorotan utama yang menghubungkan disiplin sejarah dengan kesusasteraan Melayu.

Dalam pembentangan tersebut, beliau menegaskan bahawa teks historiografi Melayu bukan sekadar dokumen sejarah, sebaliknya merupakan karya sastera yang sarat dengan nilai estetika, simbolisme dan pemikiran politik bangsa.

Tradisi persuratan Melayu memperlihatkan evolusi konsep pemerintahan daripada pengaruh Hindu melalui konsep dewa raja kepada pengaruh Islam dengan konsep zillullah fil-ard (Bayangan Allah di Muka Bumi),yang digarap secara halus dalam bentuk naratif.

Kajiannya turut mengetengahkan lima teks historiografi yang merakamkan interaksi antara kerajaan Melayu seperti Johor-Riau, Perak, Siak, Kedah, dan Johor moden dengan kuasa Eropah seperti Belanda dan Inggeris.

Dalam konteks sastera, peristiwa seperti pemakzulan sultan, pemberontakan serta pengkhianatan bukan sahaja mencerminkan realiti politik, malah diolah sebagai konflik dramatik yang memperkaya struktur penceritaan.

Dr. Steven@Hamzah berkongsi contoh seperti campur tangan Belanda dalam pemilihan Yang Dipertuan Muda di Johor-Riau yang digambarkan dengan unsur dramatik yang menonjolkan perebutan kuasa dan kepentingan politik.

Begitu juga dengan kisah di Perak yang memperlihatkan pemberontakan Raja Alam, serta peristiwa di Kedah yang menampilkan pengkhianatan Tengku Yaakob.

Kesemuanya memperlihatkan unsur konflik yang menjadi tunjang kekuatan karya sastera.

Menurut beliau lagi, kajian terdahulu lebih banyak menumpukan hubungan Melayu dengan kuasa Asia seperti China dan Siam, manakala interaksi dengan kuasa Eropah kurang diberikan perhatian.

Sehubungan dengan itu, kajiannya itu mengisi kelompangan tersebut dengan memberikan penekanan terhadap aspek interaksi politik yang diterjemahkan dalam bentuk naratif sastera.

Pendekatan kualitatif melalui analisis kandungan yang digunakan membolehkan tafsiran yang lebih mendalam terhadap teks. Melalui teori interaksi sosial, hubungan kuasa dan strategi politik dapat difahami bukan sahaja sebagai fakta sejarah, tetapi juga sebagai wacana sastera yang mencerminkan pemikiran dan nilai masyarakat Melayu.

Kredit Foto: Nazrul Aziz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi