Oleh Zafirah Zaidi
15 Disember 2021, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zafirah Zaidi memberikan reaksi terhadap kurangnya apresiasi sastera warisan dalam kalangan remaja sekolah, khususnya cerita rakyat.

Anak-anak muda ini hanya tahu menyanyikan lagu popular tersebut namun mereka tidak mengetahui cerita sebalik lirik yang ingin disampaikan oleh penulisnya.

Cerita rakyat merupakan suatu bentuk hiburan masyarakat pada zaman dahulu yang disampaikan secara lisan, sama ada dalam penceritaan berbentuk mitos, legenda, hikayat, mahupun dongeng. Ledakan arus teknologi perfileman pada masa kini perlahan-lahan menghakis tradisi penceritaan cerita rakyat masyarakat Melayu yang gah pada suatu masa dahulu. Kini, bukan sahaja siri animasi, drama televisyen mahupun filem dari Barat menjadi tontonan utama generasi muda tetapi kandungan hiburan dari Korea Selatan turut menjadi pilihan utama golongan ini. Perkara ini seharusnya tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak kerana dikhuatiri, cerita rakyat akan terus lenyap dan pupus dalam jiwa masyarakat sekarang.

Dalam pemerhatian saya, generasi muda yang berusia antara 12 hingga 17 tahun rata-ratanya tidak mengetahui cerita rakyat yang terkenal suatu ketika dahulu. Lihat sahaja prosa yang berbentuk cerpen moden yang digabungjalinkan dengan dongeng Pak Kaduk dalam antologi Komponen Sastera (KOMSAS) dalam buku teks tingkatan empat. Cerpen yang bertajuk “Kaduk, Ayam dan Raja” yang mengaitkan watak Pak Kaduk yang berlaga ayam dengan raja sehingga terpaksa menggadaikan harta miliknya jelas-jelas tidak diketahui oleh murid-murid pada usia 16 tahun! Begitulah reaksi remaja kini apabila ditanyakan tentang Pak Kaduk: terpinga-pinga! Guru, selaku pendidik terpaksa menceritakan semula cerita rakyat ini untuk memudahkan murid-murid memahami jalan cerita cerpen moden yang ingin diketengahkan oleh pengarang. Setelah diceritakan, barulah mereka dapat mengaitkan cerita rakyat tersebut dengan bait lirik lagu Floor 88 yang bertajuk Hutang, iaitu “Pak Kaduk gadai tanah, dia laga ayam bukan kepunyaannya”. Ketahuilah sang guru bahawa selama ini, anak-anak muda ini hanya tahu menyanyikan lagu popular tersebut namun mereka tidak mengetahui cerita sebalik lirik yang ingin disampaikan oleh penulisnya. Jelas-jelas perkara ini sungguh menyedihkan kerana kita seolah-olah membunuh hiburan yang cukup popular dan memberikan teladan buat masyarakat sejak zaman-berzaman.

Menyedari hakikat ini, saya berpandangan bahawa kita semua perlu memainkan peranan yang proaktif dalam memastikan agar cerita rakyat kita tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Individu seni daripada industri hiburan, sama ada komposer, penulis lirik dan penyanyi boleh mempergiat elemen cerita rakyat dalam lagu sebagaimana yang diketengahkan oleh kumpulan Floor 88. Jalinan cerita rakyat yang diharmonikan dalam rentak lagu yang digemari oleh golongan remaja kini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat, terutamanya remaja untuk mengenali watak penting dalam cerita rakyat.

Kita juga dapat melihat kejayaan Les’ Copaque yang menempa nama pada peringkat antarabangsa melalui filem animasi Upin dan Ipin yang bertajuk Keris Siamang Tunggal. Hikayat lama dan dongeng yang dihidupkan kembali dengan nafas baharu yang lebih segar memberikan impak kepada kanak-kanak. Kejayaan pengarang mengetengahkan watak Mat Jenin, Bawang Merah, Raja Bersiung, dan Nakhoda Ragam menjadikan nama-nama tersebut tidak asing dan dititipkan kembali untuk diingati oleh masyarakat, seawal usia kanak-kanak. Jika sebelum ini, kita tidak mengetahui siapa suami Puteri Gunung Ledang, sehinggalah watak Nakhoda Ragam yang diwujudkan dalam filem animasi ini. Bukankah perkara ini merupakan suatu penghargaan kepada orang-orang tua dahulu yang memperkenalkan cerita rakyat?

Barangkali, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu bertindak agresif dengan memperkenalkan sastera hikayat lama ini dalam buku-buku teks atau buku-buku pelajaran tambahan agar menjadi pelajaran wajib bagi murid-murid sejak bangku sekolah. Sememangnya, kita tidak dapat menafikan bahawa ada usaha KPM menyerap nilai cerita rakyat dalam pelajaran di tingkatan enam melalui Sulalatus Salatin. Namun begitu, kita juga tahu bahawa tidak semua remaja yang memilih untuk melanjutkan pelajaran pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), apatha lagi melalui aliran sastera, sekali gus menjadikan sastera warisan ini hanya diketahui oleh sebilangan remaja sahaja. Setidak-tidaknya, cerita seperti Hikayat Hang Tuah, Puteri Lindungan Bulan mahupun Mahsuri menjadi cebisan ilmu yang diwajibkan kepada murid-murid tingkatan satu hingga lima.

Kita tidak juga nafikan bahawa akan timbul pertelingkahan fakta dan pandangan tokoh dalam setiap coretan hikayat dan cerita rakyat. Namun begitu, pemilihan elemen penulisan moden yang digabungjalinkan dengan cerita rakyat, seperti yang dilakukan oleh pengarang cerpen “Kaduk, Ayam dan Raja” merupakan suatu inisiatif bagi mengelakkan pertikaian pendapat antara tokoh masyarakat. Sekurang-kurangnya, kita tidak membiarkan cerita rakyat daripada terus hilang dalam dunia Melayu. Semoga usaha murni daripada pelbagai pihak dapat menggemburkan nilai estetika sastera Melayu dalam hiburan masyarakat.

_________________________

Zafirah Zaidi ialah seorang guru di SMK Batu Kikir (Model Khas), Negeri Sembilan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.