Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKewibawaan masyarakat Melayu dari sudut keilmuan, keagamaan dan kebudayaan yang telah didokumentasikan memperlihatkan kemajuan ketamadunan sejak lama dahulu. Hal ini berkembang seiring dengan penyebaran manuskrip Alam Melayu sekitar abad ke-19 Masihi.
Penghasilan manuskrip tidak sama dengan penghasilan karya moden yang dibukukan pada era kini. Tiada kesukaran untuk mendekati buku bercetak sebagai sumber maklumat jika hendak dibandingkan dengan naskhah Melayu klasik.
“Manuskrip dihasilkan dalam konteks sosiobudaya dan dunia yang sama sekali berbeza, baik dari aspek penghasilannya, penggunaan teknik dan teknologi, kaedah penulisan dan pengarangannya, fungsi, dan juga tujuan utamanya sebagai perakam ilmu tidak berubah,” ujar Profesor Dr. Muhammad Mustaqim Muhammad Zarif, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam sesi Pembentangan Ucaptama Seminar Antarabangsa Manuskrip Melayu (SEMALU) 2021 dengan judul: “Peranan dan Kepentingan Kodikologi Dalam Pelestarian Khazanah Ilmu Manuskrip Melayu” pada 1 Disember lalu jam 10.00 pagi.
Manuskrip ialah warisan bangsa yang bernilai tinggi. Justeru, telah banyak usaha dilakukan untuk memperkenalkannya kepada khalayak pembaca, dengan menganjurkan banyak pameran supaya dapat menarik minat dalam kalangan ahli masyarakat untuk menghayati dan menghargai tinggalan khazanah bangsa. Proses pembacaan manuskrip dan memahami isi kandungannya menjadi sukar kepada kita yang hidup dalam silang masa berbeza jika hendak dibandingkan dengan orang-orang yang hidup pada era penghasilan manuskrip. Masyarakat terdahulu sudah terbiasa dengan budaya pembacaan manuskrip pada zaman tersebut.
Namun demikian, era kini menyaksikan ramai orang berputus asa dan menyerah kalah apabila hendak mengkaji manuskrip Melayu warisan asal leluhur, saat melihat naskhah tersebut kelihatan begitu asing daripada kebiasaan. Hal ini menjadi “batu penghalang” bagi masyarakat pada hari ini untuk mengkaji tinggalan sejarah silam.
Justeru, beberapa perkara penting perlu dipelajari untuk mendekati dan mengenali manuskrip atau naskhah Melayu klasik melalui strukturnya dengan tiga aspek utama, iaitu pertama, Filologi, yang menjurus kepada kajian bahasa dan struktur ayatnya atau juga dikenali sebagai kajian tekstologi. Kedua, Paleografi, iaitu kajian mengenai cabang ilmu, susur galur tulisan dan bentuknya, sama ada tulisan khat seperti nasakh serta apa-apa sahaja kaligrafi dalam tulisan Jawi, Arab, Romawi, China, India, dan lain-lain. Manakala aspek ketiga yang terpenting ialah Kodikologi, iaitu kajian terhadap bentuk fizikal naskhah dan tulisannya, serta sejarah fizikalnya. Tiga aspek ini sangat terkait rapat dalam pengkajian manuskrip Alam Melayu yang saling melengkapi.
Tradisi naskhah manuskrip terdapat dalam pelbagai tamadun dan pensejarahan sosial dunia, antaranya tamadun India, Arab, China, dan Melayu, yang menyumbangkan pelbagai tradisi manuskrip dan penghasilannya. Misalnya di Barat (Eropah, Empayar Rom) yang menghasilkan pelbagai manuskrip dan catatannya, mengikut format dari istana dan pihak gereja, baik dari segi tulisan atau bentuk penghasilan manuskrip tersebut. Manakala tradisi Arab Islam pula berfokuskan kepada jenis tulisan, ataupun dikenali sebagai Khat dan kaligrafi tertentu dengan corak hiasan berbanding kitab fizikal yang dihasilkan.
Kepelbagaian tradisi manuskrip di seluruh dunia ini terzahir daripada pelbagai cabang etimologi. Seperti di Barat, istilah “codex” yang berasal daripada bahasa Latin bermaksud buku atau kepingan kayu bertulisan manuskrip lama. Istilah “book” pula merujuk kepingan kertas atau kayu yang menjadi buku dan istilah “liber” pula bermaksud penyimpanan. Di negara Arab, istilah “kataba” bermaksud penulisan kitab, “naskhah” atau “nasakha” bermaksud penyalinan, dan “risalah” bermaksud hantar. Manakala dalam dunia Melayu, aspek etimologi terjelma melalui tulisan Jawi.
Meneliti sejarah kodikologi, kajian ini dimajukan pada tahun 1949 oleh seorang ilmuwan berbangsa Perancis bernama Alphonse Dain dalam teks kajiannya berjudul Les Manuscrits [https://www.goodreads.com/book/show/17972341-les-manuscrits] pada tahun 1949. Menurut pendapat tokoh ilmuwan bernama Maria Luisa Agati dalam “Il libro manoscritto da Oriente a Occidente: Per una codicologia comparata”, aliran kodikologi terbahagi kepada dua bahagian, iaitu stricto sensu (terhad, khusus) dan isto sensu (terbuka).
Kodikologi dilihat sebagai sebuah penemuan arkeologi dalam sejarah dunia manuskrip. Bidang ini meneliti dari mula hingga akhir sesebuah manuskrip diterbitkan, sehingga keadaannya pada zaman moden, dan kaedah pemeliharaannya di muzium, arkib, perpustakaan, serta aspek pemeliharaan manuskrip daripada rosak serta rawatan ke atas manuskrip yang rosak akibat hawa dan iklim.
Jelas Dr. Mustaqim lagi, di Malaysia khususnya, aspek filologi perlu dikaji dalam kajian yang menjurus kepada kaedah kodikologi. Kajian aspek-aspek kodikologi manuskrip di Malaysia harus menjurus kepada:
Peri penting tujuan atau objektif utama kodikologi dalam kajian manuskrip Melayu adalah untuk mengenal pasti analisis dan kaedah teknik pembuatan manuskrip, sama ada daripada kertas, daun atau kayu, kelompok identifikasi tempat penghasilan dari sudut masa dihasilkan, dan lokasi tamadun manuskrip tersebut. Segala usaha ke arah rekonstruksi sosial, ekonomi, intelektual, dan teknikal secara kajian aspek sosial bangsa dalam perkembangan ilmu pengetahuan dan tamadun sesuatu bangsa perlu dipergiat ke arah kajian manuskrip terbaik secara fizikal.
“Skop kodikologi mencakupi alat tulis seperti pen, buluh, berus, beliung, pensel, dan lain-lain, serta penggarisan susun atur dan penjilidan buku manuskrip serta identiti asal usul naskhah dan judul manuskrip. Juga meliputi sejarah naskhah manuskrip, cop mohor manuskrip dan tarikh, tanda semak, dan catatan serta sejarah koleksi (katalog), bentuk penghasilan buku dan teks manuskrip, sama ada nipis atau tebal, dakwat dan bentuk penghasilan (bahan semula jadi atau warna, dan isi dakwat daripada bahan tumbuhan), serta tulisan, simbol Jawi, Arab, kaligrafi, mahupun khat,” ujar Dr. Mustaqim.
Pada akhir pembentangan, beliau menegaskan peranan dan kepentingan kodikologi dalam pelestarian ilmu manuskrip Melayu, iaitu:
Justeru dapat disimpulkan, ilmu kodikologi ialah ilmu yang memberikan interaksi ruang, masa dan hubungan sosial tamadun ke arah melestarikan khazanah keilmuan manuskrip Alam Melayu.
SEMALU berlangsung selama dua hari bermula pada 1 hingga 2 Disember 2021. Lebih 50 kertas kerja dibentangkan dalam seminar tersebut, anjuran Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM dan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM secara dalam talian. Ucaptama aluan disampaikan oleh Pengarah ATMA, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, manakala ucapan perasmiannya disampaikan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Majlis ucaptama pengerusi bersama seminar disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Jabatan Bahasa Melayu UPM.