Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid menampilkan budaya popular dan massa boleh sahaja terlibat dengan sastera jika “adanya kemahuan dan jalan”.
Temu bual kelolaan Dua Lipa mengelakkan hierarki autoritatif yang sering hadir dalam wawancara akademik.
Jika diteliti, dalam landskap budaya kontemporari, sempadan antara seni popular dengan sastera semakin kabur. Fenomena ini dapat dilihat melalui pelibatan Dua Lipa, seorang bintang pop global yang berjaya mengembangkan peranannya melangkaui dunia muzik kepada wacana kesusasteraan. Melalui platform Service95, khususnya segmen Book Club dan siri temu bual penulis, Dua Lipa muncul sebagai pengantara budaya yang memperkenalkan sastera serius kepada khalayak yang lebih luas, terutamanya generasi muda.
Apa yang membezakan pendekatan Dua Lipa ialah keupayaannya menempatkan novel dan novelis dalam ruang perbualan yang santai tetapi bermakna. Temu bual yang dikendalikannya tidak tertumpu kepada hal sensasi atau pesona selebriti penulis, sebaliknya menelusuri proses kreatif, pengalaman hidup serta persoalan etika dan kemanusiaan yang melatari sesebuah karya. Dalam konteks ini, sastera tidak dipersembahkan sebagai wacana elit yang terasing, tetapi sebagai pengalaman hidup yang relevan yang boleh didekati.
Sehubungan dengan itu, sejauh manakah peranan tokoh budaya popular seperti Dua Lipa berupaya mentransformasikan cara sastera dikomunikasikan kepada khalayak awam, khususnya generasi muda?

Latar dan Konteks Service95 sebagai Ruang Wacana Sastera
Asasnya, platform Service95 diasaskan oleh Dua Lipa sebagai ruang media budaya yang merangkumi fesyen, perjalanan, hal kesejahteraan, dan paling signifikan, sastera. Berbeza daripada kelab buku selebriti yang bersifat promosi atau berpusat pada jenama peribadi, Service95 Book Club dan siri temu bual penulis menampilkan pendekatan editorial yang jelas, berfokus dan konsisten. Setiap pilihan buku dan sesi temu bual disusun dengan latar bacaan yang kukuh, memperlihatkan usaha memahami karya dalam konteks estetik, sosial dan kemanusiaan.
Dalam temu bual bersama-sama novelis antarabangsa seperti Olga Tokarczuk, penerima Hadiah Man Booker Antarabangsa pada tahun 2018 dan Anugerah Nobel Kesusasteraan pada tahun 2019, serta Hernan Diaz, penulis Argentina-Amerika yang memenangi Hadiah Pulitzer pada tahun 2023 melalui novel Trust (2022), Dua Lipa tidak menempatkan dirinya sebagai pakar akademik, sebaliknya sebagai pembaca yang serius dan penuh rasa ingin tahu. Soalan-soalan yang dikemukakan cenderung menyentuh proses penciptaan, kesan antara pengalaman peribadi dengan imaginasi serta tanggungjawab moral penulis terhadap masyarakat. Pendekatan ini menjadikan temu bual sebagai ruang refleksi, bukan sekadar sesi promosi karya baharu.
Konteks ini penting kerana pendekatan ini menunjukkan bahawa wacana sastera boleh dipindahkan kepada medium popular tanpa kehilangan ketelitian intelektual. Service95 berfungsi sebagai jambatan antara dunia sastera yang sering dianggap sebagai “eksklusif” dengan khalayak awam yang lebih luas, sekali gus memperlihatkan satu model komunikasi sastera yang relevan dengan ekologi media abad ke-21.

Pendekatan Temu Bual: Strategi Soalan, Nada dan Etika
Dua Lipa sebenarnya memperlihatkan satu keseimbangan yang jarang-jarang dicapai antara keterbukaan popular dengan ketelitian intelektual dalam pendekatan temu bual yang diamalkan. Strategi soalannya lazimnya bersifat terbuka dan reflektif, tidak bertindak memerangkap penulis terhadap bentuk jawapan ringkas ataupun sensasi, sebaliknya menggalakkan penceritaan tentang proses kreatif, keraguan estetik dan dilema moral dalam penulisan. Soalan-soalan seperti bagaimana sesebuah novel “bermula”, apakah pengalaman hidup yang menekan imaginasi, ataupun bagaimana penulis berhadapan dengan ketidakpastian makna, menjadikan temu bual itu sendiri sebagai sebahagian daripada wacana sastera.
Dari segi nada, temu bual kelolaan Dua Lipa mengelakkan hierarki autoritatif yang sering hadir dalam wawancara akademik. Dua Lipa memposisikan dirinya sebagai pembaca yang terlibat, bukan penilai. Sikap ini mewujudkan suasana “dialogis” yang selesa, yang membolehkan penulis berbicara secara jujur tanpa keperluan mempertahankan legitimasi estetik mereka. Dalam konteks etika, temu bual tersebut juga menghormati autonomi teks, dengan mengelakkan pendedahan berlebihan yang boleh meletakkan karya kepada sudut biografi semata-mata.
Herman Diaz terkejut dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh Dua Lipa.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa seni menemu bual novelis tidak semestinya bergantung pada bahasa teori yang berat, tetapi pada keupayaan mendengar, menyoal dengan empati dan membina perbualan yang bermakna. Di sinilah kekuatan utama model yang diperkenalkan oleh Dua Lipa, iaitu menjadikan temu bual sebagai ruang pemikiran bersama antara penulis dengan pembaca.
Impak Budaya dan Penerimaan Khalayak
Lebih penting lagi, temu bual ini berjaya membina komuniti pembaca global yang melihat usaha membaca sebagai satu amalan budaya, bukan kewajipan intelektual.
Impak budaya yang terhasil daripada pendekatan temu bual Dua Lipa dapat dilihat melalui perubahan cara khalayak awam, khususnya generasi muda, berinteraksi dengan sastera. Melalui Service95, buku dan penulis tidak lagi diposisikan sebagai wacana elit yang terasing, sebaliknya sebagai sebahagian daripada pengalaman budaya seharian. Penerimaan khalayak terhadap sesi temu bual ini menunjukkan bahawa minat terhadap sastera tidak semestinya bergantung pada kerangka akademik, tetapi boleh dipupuk melalui naratif peribadi, dialog reflektif dan hubungan emosi dengan pengarang.
Lebih penting lagi, temu bual ini berjaya membina komuniti pembaca global yang melihat usaha membaca sebagai satu amalan budaya, bukan kewajipan intelektual. Respons positif daripada pembaca dan pengkritik budaya memperlihatkan bahawa khalayak menghargai perbualan yang jujur, berfokus dan tidak merendahkan kompleksiti karya. Dalam hal ini, Dua Lipa berperanan sebagai pemangkin budaya yang memperluas ekosistem sastera, menjadikan novel dan novelis relevan dalam arus budaya popular tanpa menjejaskan kesusasteraan itu sendiri.
Apakah yang Boleh Dipelajari oleh Malaysia?
Dapatan daripada fenomena Service95 menunjukkan bahawa sastera boleh dihidupkan semula melalui pendekatan komunikasi yang bersifat dialogis, terangkum dan berorientasikan khalayak. Dalam konteks Malaysia, wacana sastera masih banyak berlegar dalam ruang akademik, institusi rasmi dan acara bersifat formal, seperti seminar atau diskusi tertutup. Walaupun peranan institusi pendidikan amat penting dalam pemeliharaan mutu dan tradisi, pendekatan ini sering gagal menjangkau pembaca muda yang dibentuk oleh budaya media digital dan personaliti awam.
Apa yang boleh dipelajari daripada model Dua Lipa ialah keperluan melahirkan pengantara budaya yang mampu menjambatani sastera dengan kehidupan seharian. Malaysia mempunyai ramai tokoh seni, muzik, filem, dan kandungan digital yang berpengaruh, namun jarang-jarang dimanfaatkan secara strategik untuk menggerakkan wacana sastera. Temu bual penulis yang dikendalikan oleh figura budaya popular, dengan persediaan bacaan yang serius dan soalan yang bermakna, berpotensi memperluas khalayak tanpa menurunkan piawaian intelektual.
Selain itu, pendekatan ini mencadangkan satu anjakan paradigma, iaitu sastera tidak sentiasa dipertahankan sebagai “tinggi” melalui eksklusiviti bahasa dan ruang, sebaliknya diperkasakan melalui keterbukaan dan empati. Dalam ekosistem budaya Malaysia, strategi ini boleh membantu menghidupkan minat membaca, membina komuniti pembaca baharu, serta mengembalikan sastera sebagai sebahagian daripada perbualan budaya nasional, bukan sekadar warisan institusi.
Kritikan dan Batasan Model Temu Bual Popular
Walaupun model temu bual yang dipelopori oleh Dua Lipa memperlihatkan impak budaya yang signifikan, pendekatan ini tidak terlepas daripada beberapa batasan. Pertama, ketiadaan kerangka teori yang eksplisit menjadikan perbualan tersebut kurang sesuai sebagai rujukan akademik formal. Perbincangan tentang estetika, sejarah sastera atau aliran pemikiran lazimnya disentuh secara implisit dan tidak dihuraikan secara mendalam. Hal ini boleh menimbulkan risiko pemudahan makna sekiranya khalayak menilai karya sastera hanya melalui pengalaman peribadi penulis semata-mata.
Selain itu, model ini sangat bergantung pada karisma dan kredibiliti individu yang mengendalikan temu bual. Tidak semua figura budaya popular memiliki disiplin bacaan, kepekaan etika dan keupayaan bertanya soalan yang bermakna. Tanpa persediaan intelektual yang rapi, pendekatan serupa boleh dengan mudah terjerumus menjadi promosi kosong atau perbualan superfisial. Oleh itu, model ini tidak boleh ditiru secara mekanikal tanpa mempertimbangkan kualiti pengantara budaya itu sendiri.
Secara keseluruhan, fenomena “Daripada Pop kepada Prosa” yang ditampilkan melalui seni menemu bual novelis oleh Dua Lipa mendakan satu peralihan penting dalam komunikasi sastera kontemporari. Model ini membuktikan bahawa sastera boleh dibincangkan secara serius dalam ruang budaya popular tanpa kehilangan martabat intelektualnya. Dalam konteks Malaysia, pendekatan ini membuka kemungkinan baharu untuk menghidupkan kembali minat membaca dan memperluas khalayak sastera melalui pengantara budaya yang berwibawa. Namun begitu, keberkesanannya bergantung pada keseimbangan antara keterbukaan popular dengan tanggungjawab intelektual. Sastera bukan sekadar perlu didengar, tetapi difahami dan di sinilah seni menemu bual memainkan peranan yang menentukannya.
Audio siar Service95 Book Club with Dua Lipa boleh diikuti di sini dan di sini.
_________________________
Mohamed Nazreen Shahul Hamid (Dr.) ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia. Beliau tertumpu pada bidang kesusasteraan, budaya dan media. Kebanyakan kajiannya meliputi pengajian media dan sastera, filem dan sastera, gender dalam sastera, dan kesusasteraan bandingan. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel [email protected].