Oleh Weng Poh Leng
18 Januari 2024, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Weng Poh Leng memberikan reaksi pada tulisan Khoo Phau Liang tentang audio siar sastera, dengan memaklumkan beberapa program audio siar yang mungkin dapat memikat telinga para peminat sastera tempatan.

Sajak yang dibaca dan dirakamkan oleh penyair dapat menghilangkan kepenatan minda, malah si pendengar dapat menghargai dan menghayati bait-bait yang dibaca.

Setelah membaca reaksi Saudara Khoo Phau Liang, pada 14 November 2023, minda saya terlintas beberapa nama, idea dan topik yang menarik dalam industri audio siar sastera. Pengalaman menggunakan pancaindera pendengaran membuka gambaran kepada imaginasi dan persepsi berlainan daripada mata dan video.

Sebagai contoh Talk Easy with Sam Fragoso yang membincangkan pelbagai isu, selain menemu ramah pelbagai artis seniman, aktivis, karyawan, serta ahli politik secara intim. Salah satu episod yang menarik minat saya ialah episod bersama-sama penulis Sandra Cisneros, dengan himpunan puisinya selama 28 tahun, Woman Without Shame. Penceritaan Sandra amat bersahaja, malah suaranya memikat dan memukau sanubari.

Audio siar sastera yang lebih lokal dan dekat di rumah kita pula ialah Borak-borak Buku. Rancangan audio siar ini memang menjadi menu sajian bagi saya. Ahli-ahli panel giat membedah karya mengikut topik dan trend. Isu dan perbualannya sedap didengar, dengan hujah-hujah yang munasabah dan panel masing-masing berkongsi pengalaman kepengarangan dan sastera. Saya senang mendengarnya sambil mengharungi perjalanan sesak pulang ke rumah di dalam kotak besi beroda di tengah-tengah lebuh raya Kuala Lumpur.

Tidak lupa juga dengan audio siar By the Book oleh stesen radio BFM 89.9. By the Book membawa coretan dan kupasan bacaan serantau dan juga antarabangsa yang dikemudikan oleh Sharmilla Ganesan dan Lee Chwi Lynn. Perspektif, pemikiran serta pendapat yang tajam bercampur renjisan gelak ketawa cukup menyenangkan pendengaran. Namun begitu, jarang-jarang pasangan dinamik ini mengupas buku dalam bahasa Melayu, tetapi cuba dengarkan perbincangan dan temu bual mereka bersama beberapa penulis tempatan dan terbitan antologi dalam bahasa Melayu, Peluru Aksara.

Beralih ke belah utara pula, terdapat Bual Nusantara yang dikendalikan oleh Izzudin Ramli. Izzudin berbual bersama-sama para sarjana, penyelidik, penulis, aktivis, dan masyarakat umum tentang topik sastera, politik, budaya, dan seni dengan santai sekali. Saya meminati episod tentang seni persembahan tradisional yang diamalkan dan diturunkan, seperti makyung, main puteri, wayang kulit, dan menora, beberapa khazanah seni budaya yang telah dinobatkan sebagai Karya Agung Warisan Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO.

Jika saya ingin sesuatu yang sangat santai atau suasana healing kurang seminit, akan saya berkunjung ke Seminit Sajak oleh @maingayong dengan kerjasama @bilikpenyair. Sajak yang dibaca dan dirakamkan oleh penyair dapat menghilangkan kepenatan minda, malah si pendengar dapat menghargai dan menghayati bait-bait yang dibaca, lebih menusuk hati melalui deria telinga.

Saya percaya, banyak lagi audio siar yang khusus untuk sastera di luar sana yang belum sempat dicungkil. Mungkin kerana pasaran, cita rasa dan sasaran pendengar bagi media ini tidak hanya tertumpu pada sastera sahaja. Kebanyakannya membawa beberapa tema secara teras. Oleh itu, audio siar yang saya kongsikan di sini harap dapat memberikan sedikit sebanyak pendedahan kepada peminat Dewan Sastera. Jangan lupa pada rakan-rakan kita yang OKU penglihatan. Mereka juga mendapat manfaat yang begitu baik daripada audio siar sastera dan audio siar bukan sastera.

Yang elok itu budi, yang indah itu bahasa,
Yang siar itu suara, yang menarik itu sastera.

Kredit Foto: Jonathan Velasquez/Unsplash

_________________________

Weng Poh Leng atau PL Weng berasal dari Kuala Lumpur. Beliau gemar menghasilkan karya seni kreatif dan penulisan bertemakan dualisme dan gelotologi. Karyanya pernah tersiar dalam Eksentrika, Burning House Press dan majalah Samudera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.