Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKami siarkan kembali esei Fokus Muhammad Lutfi Ishak yang pernah tersiar dalam Dewan Sastera Bil.12/2023. Esei ini diubah suai daripada kertas kerja yang dibentangkan dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-3 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 17 Disember 2011. Esei ini memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013.
Sebagai sesuatu yang sudah sedia sempurna, maka, pandangan alam Islam berlawanan dengan konsep pandangan alam Barat yang sentiasa dalam proses mencari kesempurnaan dan dipengaruhi oleh alam, sejarah, sains, dan kebudayaan.
Dalam tradisi sastera dan persuratan agung, pembentukan cita-cita seseorang penulis tidak terbentuk oleh cita rasa peribadi yang subjektif atau cuba menjuarai isu-isu kelompok yang tribalistik. Cita-cita itu terbentuk hasil pertimbangan matang yang didasarkan oleh makna hidup, kesedaran perjuangan dan bertunjangkan ilmu. Lu Xun pada asalnya ialah seorang penuntut perubatan di sebuah universiti di Jepun. Tetapi, beliau membuat keputusan untuk berhenti dan menjadi penulis kerana beranggapan masyarakat Cina pada zamannya bukan menghidapi penyakit fizikal, tetapi penyakit jiwa. Untuk itu, beliau mahu menyembuhkan penyakit tersebut dengan karyanya.
Sewaktu Nabi Muhammad SAW melaksanakan misi kenabian, baginda telah dikecam dan diejek dengan pelbagai cara, termasuk oleh para penyair dengan syair-syiar yang penuh penghinaan. Untuk itu, Hasan bin Tsabit mencipta syair yang tajam untuk menghujat syair-syair tersebut dan mendapat pengiktirafan daripada Nabi Muhammad SAW.
Kedua-dua tindakan tersebut dipandu oleh cita-cita yang unggul dan melangkaui cita-cita peribadi. Kedua-duanya juga tidak dirangsang oleh kehendak yang subjektif tetapi oleh kesedaran diri terhadap pelbagai cabaran yang mesti didepani. Kedua-duanya berasa bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas kepenulisan mereka untuk berhadapan dengan tentangan zaman. Namun begitu, teras kepada rasa tanggungjawab itu mempunyai dasar yang berbeza.
Dalam kes Hasan bin Tsabit, tindakannya membela misi kenabian Nabi Muhammad SAW ialah satu tindakan alamiah yang dimanifestasikan oleh pandangan alam Islam. Dalam kes Lu Xun pula, rasa tanggungjawabnya diasaskan oleh pandangan alam yang sekular. Memiliki pandangan alam yang ampuh pada asasnya menjadi satu persediaan yang kukuh buat setiap penulis dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Pandangan Alam dan Kebertanggungjawaban
Pandangan alam ditakrifkan oleh Hashim Musa sebagai satu tanggapan seseorang atau satu kelompok manusia dalam satu kumpulan budaya, tentang alamnya yang boleh dinamakan sebagai faham alam. Tanggapan tersebut dilakukan berdasarkan tiga persoalan utama, iaitu (1) Apakah kejadian dan sifat alam semesta dan kedudukan diri manusia di dalam alam ini dan peraturannya yang mengawal kelakuannya, (2) Apakah konsep luar biasa yang menjadi Pencipta alam ini dan mentadbir serta menguasainya, dan (3) Apakah matlamat dan destinasi terakhir manusia dalam penghidupan di dalam alam ini?
Dalam konteks pandangan alam Melayu pula, ketiga-tiga persoalan tersebut boleh disimpulkan ke dalam enam prinsip, iaitu (1) Alam ini hasil ciptaan dan tadbiran Allah SWT yang meliputi alam arwah, alam dunia dan alam akhirat, (2) Islam ialah panduan yang diturunkan Allah SWT sebagai al-Din, (3) Allah SWT sebagai Tuhan semesta alam diyakini sepenuhnya, (4) Wawasan, misi, objektif, niat, strategi, dan operasi segala bidang kerja hendaklah sahih, benar dan mematuhi syariah Islam, (5) Nilai tertinggi ialah semua perkara yang membantu pembentukan insan yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia, dan (6) Kehidupan pertengahan dan seimbang antara jasmani, akal dan rohani (2008:21-22).
Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas pula (selepas ini al-Attas sahaja), pandangan alam Islam ialah pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan. Sebagai sesuatu yang sudah sedia sempurna, maka, pandangan alam Islam berlawanan dengan konsep pandangan alam Barat yang sentiasa dalam proses mencari kesempurnaan dan dipengaruhi oleh alam, sejarah, sains, dan kebudayaan. Hal ini kerana pandangan alam Islam “bersumberkan Wahyu, yang diisbatkan oleh agama dan diikrarkan oleh asas-asas kebenaran akali dan kalbi” (al-Attas, 2007:17-22). Akibatnya, visi kehidupan tidak terpecah-pecah, sebaliknya saling berkait dan terpandu. Antara dua kutub tersebut, tidak ada konflik atau pergerakan yang bertentangan. Sifat ini memberikan satu jawapan yang tetap terhadap persoalan asasi kehidupan dan makna diri insan.
Kekurangan aspek estetika akan mencacatkan nilai sesuatu karya, namun, penafian terhadap aspek kebenaran akan mencacatkan sesuatu karya, biarpun sesuatu karya itu dihadirkan dalam bentuk yang cantik dan indah.
Sebaliknya, pandangan alam Barat cenderung melihat segala sesuatu dalam konteks yang terpisah-pisah dan binari. Dalam pembabakan sejarah Barat, mazhab-mazhab seperti rasionalisme, empirikisme dan relativisme lahir dalam konteks proses penafian. Cara pandang yang bersilih ganti itu menjuzukkan faham kehidupan yang pelbagai dan sementara. Pada akhirnya, satu ketetapan tidak dapat diambil bagi menjawab soalan asasi kehidupan yang menyebabkan mereka menjadi nomad moden yang sentiasa terbuka kepada perubahan dan menjadikan perubahan sebagai satu-satunya kebenaran hidup. Faham ini dirumuskan oleh al-Attas sebagai sekularisasinisme (secularizationism) (1993:46-47). Pandangan alam yang didasarkan pada keyakinan ini akhirnya mewujudkan satu tragedi dalam kehidupan di Barat apabila mereka terus berada dalam kondisi pencarian tanpa akhir, satu situasi yang menafikan kemampuan memiliki satu makna diri yang absolut lagi kekal.
Hal ini sangat berbeza dengan kesimpulan yang dibuat berdasarkan pandangan alam Islam. Sebagai contoh, salah satu perkara penting yang menjadi subjek pengkaryaan golongan penulis adalah tentang kehidupan. Dalam pandangan alam Islam, makna kehidupan itu tidak sahaja “apa-apa yang berlaku sekarang dan di sini”, malah tercakup juga “kehidupan yang silam dan yang akan datang”. Sebelum dilahirkan, insan telah melafazkan janji Asali yang memperakukan keesaan Ilahi (ayat 172 Surah al-A’raf).
Kelahiran dan kehidupan insan di dunia ini ialah satu bentuk pembayaran hutang berdasarkan petunjuk yang diberikan oleh Allah SWT melalui nabi-nabi-Nya. Sejarah kehidupan insan tidak bermula saat dilahirkan di dalam bilik-bilik bersalin di hospital dan berakhir di kuburan, sebaliknya bermula di alam roh dan akan berakhir pada hari pembalasan. Oleh itu, ekspresi dan tanggapan tentang kehidupan dalam wilayah kesusasteraan dan persuratan dilihat dalam ruang lingkup tersebut.
Karya-karya yang berasaskan pandangan alam Islam seperti yang tergambar dalam sejarah memperlihatkan banyak perbezaan dengan karya yang berasaskan pandangan alam Barat. Dalam tradisi Islam, hasil sastera tidak semata-mata berfungsi sebagai hiburan, tetapi juga dikelompokkan dalam sfera-sfera tertentu seperti yang dilakukan oleh Braginsky (1994:1-2). Muatan yang terkandung dalam hasil karya sastera itu akan menentukan martabat kewujudannya. Malah, karya sastera yang mendapat kedudukan tertinggi mempunyai kesepaduan estetika dan ilmu, serta memainkan fungsi yang vital dalam soal kebenaran. Misalnya, dalam konteks kepulauan Melayu, al-Attas (1972) menegaskan bahawa karya sastera khususnya syair-syair Hamzah Fansuri, berfungsi mengislamkan pandangan alam penduduk di kepulauan Melayu-Indonesia melalui Islamisasi bahasa.
Dalam konteks tradisi penulisan Islam secara lebih luas, kaitan antara logika dengan estetika dalam hasil karya sastera, merupakan satu ciri khas sastera Islam. Menurut Seyyed Hossein Nasr, hasil sastera bukan sahaja berasal daripada sumber yang sama iaitu intelek, tetapi turut melangkaui fungsi estetika; yang digunakan untuk motif kesarjanaan dan spiritual. Oleh sebab itu, sastera tidak bertentangan dengan logika dan tidak digunakan untuk mereduksi pengalaman penulis (penyair) yang subjektif, sebaliknya turut dimanfaatkan oleh para ahli kerohanian untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam perjalanan spiritual mereka (1993:103).
Keakraban antara logika dengan syair, seperti yang dijelaskan oleh Seyyed Hossein Nasr tersebut menggambarkan satu bentuk pandangan alam dalam dunia sastera yang menafikan dualisme, seperti memisahkan antara bentuk dengan makna. Antara bentuk dengan makna, tidak wujud konflik atau nada penafian akan kepentingan tahap-tahap kewujudannya, malah, karya sastera yang baik, memiliki kedua-dua perkara tersebut.
Kekurangan aspek estetika akan mencacatkan nilai sesuatu karya, namun, penafian terhadap aspek kebenaran akan mencacatkan sesuatu karya, biarpun sesuatu karya itu dihadirkan dalam bentuk yang cantik dan indah. Hal ini kerana, kecacatan bentuk tidak mencatatkan manfaat isinya, dan kerana itu masih boleh dimanfaatkan. Akan tetapi, kecacatan isi menyebabkan sesuatu karya itu hilang fungsinya dan tidak boleh dimanfaatkan lagi.
Baca Bahagian Kedua dan Ketiga Sekilas |
Kredit Gambar: Nick Brunner/Unsplash
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.