Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDalam tulisan kali ini, Sdr. Muhammad Lutfi Ishak menjelaskan mentaliti negatif sastera sebagai masalah inti dan bentuk hubungannya dalam konteks cabaran dalaman dan luaran dengan individu dan dunia sastera.
Kisah ini mengisyaratkan satu kenyataan: Penyelesaian memiliki tertib dan sangat terikat dengan hukum sebab akibat. Jika diabaikan, pengakhirannya umpama kisah bangkai di dalam telaga …
Suatu hari, sebuah telaga dicemari bangkai lembu. Pemilik telaga segera merujuk seorang budiman. Dia disuruh untuk menimba telaga sehingga lenyap bau busuk. Selagi saranan itu tidak dikerjakannya, air di dalam telaga tidak boleh digunakan untuk apa-apa pun tujuan.
Seminggu kemudian, pemilik telaga kembali. Dia menjelaskan bahawa enam hari suntuk air ditimba. Namun, zat airnya bukan saja tidak berubah, malah bertambah busuk dan kotor. Hairan dengan keadaan itu, segera orang budiman mengusul tentang kedudukan bangkai. Ternyata, bangkai lembu belum dikeluarkan.
Kisah ini mengisyaratkan satu kenyataan: Penyelesaian memiliki tertib dan sangat terikat dengan hukum sebab akibat. Jika diabaikan, pengakhirannya umpama kisah bangkai di dalam telaga tadi—air kekal busuk sementara usaha yang dilakukan tidak memperlihatkan sebarang hasil.
Jika dalam perkara sekecil itu pun menuntut aturan dan berkait rapat dengan hukum sebab akibat, maka, apalagi jika yang disentuh sekarang ialah permasalahan dan kemelut dalam dunia sastera mutakhir.
Maknanya, pengetahuan tentang hujung pangkal masalah ialah satu kewajiban. Hal ini dengan sendiri mengandaikan setiap masalah memiliki bahagian awal dan akhir, luar dan dalam, kulit dan inti. Justeru, sesiapa yang ingin menyelesaikan masalah perlu tahu inti atau masalah sebenar. Pengetahuan tersebut akan mengakibatkan lahirnya aturan: Mereka akan tahu mana yang perlu diawalkan dan mana yang perlu diakhirkan, mana satu yang mesti diselesaikan dahulu dan mana pula yang boleh diselesaikan kemudian.
Tiga tulisan terawal Sekilas sebelum ini telah didahului dengan perbincangan tentang mentaliti negatif sastera. Hal ini didahulukan untuk membuktikan bahawa mentaliti negatif sastera itu memang wujud. Mentaliti negatif sastera dirujuk sebagai masalah dalaman.
Kemudian, empat tulisan memperkatakan masalah dan cabaran luaran yang memberikan kesan kepada perkembangan dunia sastera. Sekilas Mac memperkatakan pendidikan terpisah, yang menjadi ciri utama sistem pendidikan kita. Pendidikan terpisah telah pun menjadi salah satu punca utama kelahiran mentaliti negatif sastera. Sekilas Mei pula memperincikan kemajuan teknologi dan kesannya kepada pembentukan landskap dunia sastera. Landskap sastera ini menyebabkan wajah sastera semakin asing daripada apa-apa yang ada dalam peradaban.
Sementara itu, Sekilas Jun memperkatakan faham pragmatis, hedonis dan kebendaan yang menjadikan sastera kurang bermakna dalam kehidupan. Kedudukan sastera menjadi lebih genting kerana masyarakat yang begitu berpusatkan politik. Dalam situasi masyarakat sebegini, sastera yang mempunyai pengertian ketamadunan telah difahami sebagai alat politik. Hal ini telah dihuraikan sedikit sebanyak dalam Sekilas Julai.
Sejak Februari, istilah dalaman dan luaran digunakan secara bersilih ganti tanpa penjelasan yang mencukupi. Sedikit penjelasan telah diberikan pada Sekilas Mei. Namun, penjelasan yang lebih perlu diberikan agar kemudian pembaca budiman dapat mengaitkan dengan keseluruhan permasalahan yang diperkatakan.
Apabila mentaliti negatif sastera digunakan untuk menjelaskan hubungannya dengan dunia sastera, dalaman di situ bermaksud punca yang menjadi cabaran utama kepada kemajuan sastera mutakhir. Daripada konteks inilah kemudian timbulnya pengertian luaran.
Hal ini kerana, apabila dihubungkan dengan dunia sastera, istilah luaran bermaksud cabaran yang berada bukan di dalam dunia sastera. Maka, masalah dan cabarannya menyumbang kepada kemunduran sastera semasa dari luar dunia sastera. Dalam konteks itulah, pendidikan terpisah, perkembangan teknologi, faham pragmatik, hedonis dan kebendaan, serta masyarakat yang berpusatkan politik diletakkan sebagai cabaran.
Apabila mentaliti negatif sastera digunakan dalam hubungannya dengan diri insan pula, dalaman di situ bermaksud suatu pandangan yang keliru terhadap sastera yang bertempat dalam akal insan, atau lebih tepat lagi, dalam akal fikiran.
Menyelesaikan masalah, bermaksud menyelesaikan punca, bukan akibatnya.
Setakat yang diperjelaskan tentang mentaliti negatif sastera dalam hubungan dengan konteks ini, ia adalah akibat pendidikan terpisah dan amalan pendidikan sastera semasa yang tidak menggambarkan wajah dan keperibadian sastera dalam peradaban di Kepulauan Melayu-Indonesia. Wujudnya sudah tentu bersifat iktibari—yakni adanya mentaliti tersebut di dalam diri yang dikenal pasti berdasarkan gejalanya di luar diri.
Sebab itulah, penzahiran mentaliti negatif sastera menjadi pelbagai bentuk. Hal ini bergantung pada konteks atau kedudukan diri yang terbabit. Misalnya, apabila merujuk kebanyakan penulis sastera, hasilnya ialah puisi atau prosa yang cuma menekankan khayalan dan rekaan sehingga membelakangkan hakikat insan yang menjadi tujuan sastera itu ditulis. Sesetengahnya tanpa segan silu mengaku sebagai pengarang sastera, biarpun teks yang dihasilkan tidak mencapai tahap sastera.
Apabila merujuk masyarakat umum, hasilnya ialah mereka menjauhi teks yang difahami sebagai sastera kerana tidak membijaksanakan diri. Di peringkat sekolah, mereka tidak membaca teks sastera, sebaliknya menghafal aspek tertentu untuk tujuan lulus peperiksaan. Apabila merujuk pentadbir sastera atau mereka yang diberikan kekuasaan untuk mengembangkan sastera, teks-teks yang dipilih itu menyalahi pengertian sastera yang sebenar ,seperti yang ada dalam tamadun Kepulauan Melayu-Indonesia.
Malah, kekeliruan itu juga boleh dijejak apabila usaha untuk menjadikan sastera kembali relevan di universiti, akhirnya disempitkan kepada sastera yang dikatakan mampu membantu menyediakan seorang mahasiswa di alam pekerjaan. Kekeliruan ini juga boleh dilihat dalam usaha sesetengah pihak yang memperlakukan teks sastera sebagai teks sains murni.
Pemisahan antara cabaran dan masalah dalaman dengan masalah luaran ini dilakukan dengan tiga tujuan. Yang pertama, untuk menegaskan bahawa mentaliti negatif sastera itu ada dalam akal fikiran. Sama ada dihubungkan dengan dunia sastera atau diri insan, mentaliti negatif sastera ialah masalah inti.
Yang kedua, terdapat kaitan yang rapat antara masalah dalaman dan luaran apabila dihubungkan dengan dunia sastera. Hubungan antara kedua-duanya boleh diumpamakan seperti paku dan penukul. Ketika paku sudah tertancap ke dalam kayu, pukulan daripada penukul akan membuat paku semakin kejap di dalam kayu.
Yang ketiga, pemisahan tersebut dilakukan untuk memperjelaskan bahawa kita sekarang berhadapan dengan dua cabaran yang berbeza. Biarpun kedua-duanya begitu getir, namun apabila kita bercakap untuk memajukan dunia sastera, maka, masalah dalamanlah yang perlu terlebih dahulu menjadi keutamaan untuk diselesaikan. Itulah punca permasalahan. Menyelesaikan masalah, bermaksud menyelesaikan punca, bukan akibatnya.
Jika kembali kepada anekdot pada awal tulisan ini, mentaliti negatif sastera umpama bangkai lembu di dalam telaga. Itulah punca zat di dalam telaga sastera kita yang tidak berubah. Persoalannya sekarang, bagaimanakah bangkai tersebut boleh dikeluarkan? Hal inilah yang menuntut komitmen semua.
Wallahualam.
Kredit Gambar: Birmingham Museums Trust/Unsplash
_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.