30 Jun 2022, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kolumnis Muhammad Lutfi Ishak mendalami cabaran pragmatisme, materialisme dan hedonisme sebagai cabaran luar terhadap perkembangan sastera yang sihat.

Pragmatisme, materialisme dan hedonisme ialah tiga faham yang menekankan nilai gunaan, kebendaan dan keseronokan. Biarpun ada sedikit perbezaan pada tahap yang asas, ketiga-tiganya menolak nilai kekekalan …

Daripada dua cabaran luaran yang belum dibincangkan, Sekilas kali ini akan mendahulukan cabaran faham pragmatik, kebendaan dan hedonis. Hal ini kerana ketiga-tiga faham tersebut mengakibatkan cabaran yang akan dibincangkan kelak, iaitu masyarakat yang berpusatkan politik.

Pragmatisme, materialisme dan hedonisme ialah tiga faham yang menekankan nilai gunaan, kebendaan dan keseronokan. Biarpun ada sedikit perbezaan pada tahap yang asas, ketiga-tiganya menolak nilai kekekalan dan meremehkan unsur kerohanian.

Biarpun diremehkan, hal ini tidaklah bermakna nilai kerohanian ditolak secara tuntas. Unsur kerohanian itu diterima dan diiktiraf dengan syarat dan keadaan tertentu. Maknanya, unsur kerohanian tidak diakui sebagai memiliki hakikat ontologi. Sebab itulah, syarat dan keadaan mengawali kedudukannya.

Sebagai contoh, jika dengan menerima unsur kerohanian A masyarakat menjadi lebih sentosa, maka, unsur kerohanian A menjadi penting kerana fungsinya sebagai alat. Justeru, kelestariannya bukanlah bergantung kepada aspek kebenaran yang melekat pada unsur kerohanian A itu, tetapi kerana aspek kegunaannya pada waktu tersebut.

Sudah pasti, sukar untuk meletakkan masyarakat Malaysia menganut ketiga-tiga nilai tersebut. Lebih-lebih lagi latar belakang setiap kaum yang mewarisi agama-agama besar. Malah, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan kedua-dua fakta tersebut, bagaimanakah ketiga-tiga faham tadi boleh dihujahkan sebagai sebahagian daripada pertimbangan utama masyarakat kita?

Biarpun kedua-dua merupakan kenyataan, namun, tidaklah bermakna dalam setiap tindakan seseorang atau organisasi dalam masyarakat tersebut akan sentiasa dipandu olehnya.

Rasuah bertentangan dengan semua agama. Namun, bukankah rasuah merupakan salah satu isu genting di Malaysia? Begitu juga dengan kes-kes pencemaran dan penerokaan alam yang tidak terkawal. Apakah ada mana-mana agama yang menyarankan penganutnya mencemari dan meneroka alam tanpa had?

Malah, dalam hal yang lebih halus tetapi sebenarnya menimbulkan kekeliruan dalam pemikiran insan, boleh diteliti cara sesetengah pihak yang menggunakan sebahagian fakta secara semberono sekadar meraih kemasyhuran dan keuntungan jangka pendek.

Sebagai contoh, sesetengah pihak berpendapat bahawa kursus tertentu di universiti tidak relevan lagi dan patut digugurkan. Mereka menyarankan demikian kerana berpendapat kursus berkaitan tidak memberi nilai tambah kepada mahasiswa di alam pekerjaan.

Antara kursus yang disebutkan itu berkait rapat dengan agama Islam dan sejarahnya di wilayah Kepulauan Melayu-Indonesia. Dengan pengguguran kursus-kursus berkaitan, tempoh pengajian akan lebih pendek. Kebijakan ini akan memberikan pelbagai kebaikan, termasuk menjimatkan kos dan tempoh pengajian para mahasiswa.

Sebenarnya, pendapat sebegini amatlah daif dan naif. Jika itulah alasannya, maka, pelbagai hal yang diperjuangkan oleh pihak tertentu juga patut ditiadakan.

Sebagai contoh, apakah penting mahasiswa diberikan kebebasan pendapat? Jika menurut logik tersebut, mahasiswa kejuruteraan antara yang tidak perlu diberikan kebebasan pendapat. Kebebasan memberikan pandangan, terutamanya berkaitan politik semasa, tidak menambah kefahaman seorang mahasiswa kejuruteraan tentang cara enjin berfungsi.

Begitu juga dengan hak berpolitik di universiti. Kenapa perlu mahasiswa didedahkan dengan dunia politik? Berpolitik tidak menjamin mahasiswa perubatan akan lebih cepat menghafal anatomi tubuh manusia dan kelak lebih cekap melakukan pembedahan di dalam dewan pembedahan.

Dengan menyoal begitu sahaja sudah tampak naif dan daif. Tetapi isu ini sengaja diangkat kerana penting untuk difahami alur pemikirannya. Hal ini kerana, untuk sampai kepada pendapat sebegitu, pihak yang mengutarakannya mesti terlebih dahulu bertolak daripada beberapa premis.

Pertama, universiti hanyalah pusat melatih pekerja, bukan insan. Dua, pencapaian kebendaan lebih utama daripada ilmu. Tiga, kebendaan merupakan jalan penyelesaian segala masalah.

Ketiga-tiga premis tersebut bukanlah premis agama.

Sebab itu, kalaupun sukar untuk menyatakan masyarakat semasa terpengaruh dengan ketiga-tiga faham tersebut, namun, tidaklah sukar untuk mengenal pasti kaitan sesetengah tindakan dan amalan individu atau organisasi dengan nilai-nilai terbabit.

Akhirnya, apabila tujuan membaca ialah keseronokan, aktiviti membaca tidak menjadi keutamaan lagi kerana ada banyak aktiviti lain yang lebih menghiburkan.

Mungkin sesetengah pihak mempertanyakan kaitan antara nilai tersebut kepada perkembangan kesusasteraan sehingga boleh menjadi cabaran luar sastera.

Untuk tujuan itu, akan dibincangkan kegiatan membaca. Jika ditanya, apakah tanggapan masyarakat umum tentang membaca, sebahagian besar akan menyatakannya sebagai hobi. Namun, apakah kesannya apabila membaca dianggap sebagai hobi?

Pertama, membaca hanya dilakukan pada waktu senggang. Biarpun ada orang di dunia ini sanggup melaksanakan hobi bukan pada waktu lapang, biasanya keadaan itu berlaku setelah hobi tersebut menjadi punca pendapatan. Golongan ini amatlah kecil.

Apa-apa pun, apabila hakikat membaca cuma hobi akibat waktu senggang, maka jika tiada waktu senggang, tidak perlulah membaca.

Kedua, anggapan membaca sebagai hobi juga menyebabkan membaca setaraf dengan hobi yang lain. Misalnya, membaca sama tarafnya dengan memancing atau mengumpul setem. Lebih teruk, sesetengah pihak mempunyai hobi yang pelik dan bertentangan dengan nilai agama dan kemanusiaan. Justeru, membaca sama sahaja dengan hobi yang pelik dan tiada memiliki nilai yang luhur tersebut.

Seterusnya, bahan bacaan mestilah menghiburkan  kerana asas hobi dilakukan adalah untuk mencari hiburan. Akibatnya, bahan bacaan yang tidak memenuhi tujuan tersebut, dengan sendirinya diketepikan. Sebab itu, tidaklah pelik sesuatu bahan bacaan tidak mendapat sambutan, biarpun kandungannya amat penting dalam kehidupan manusia.

Akhirnya, apabila tujuan membaca ialah keseronokan, aktiviti membaca tidak lagi menjadi keutamaan. Malah, ada banyak aktiviti lain yang lebih menghiburkan, khususnya dalam konteks semasa.

Daripada penelitian singkat tadi, pembaca budiman sudah pasti dapat melihat bagaimana faham kebendaan, pragmatis dan hedonis beroperasi, dan seterusnya membentuk tingkah laku pembaca terhadap bahan bacaan sastera.

Secara peribadi, saya melihat ekosistem dan perkembangan sastera yang kurang baik dalam 10 tahun belakangan adalah berkait rapat dengan beberapa nilai tadi. Salah satu manifestasi nilai-nilai tersebut ialah pendekatan pengatur kekuasaan sastera yang mengukur pencapaian golongan pengarang secara sangat mekanikal dan instrumental.

Sastera ialah hasil akal budi insan. Semakin maju daya akliah, maka, semakin rumit dan rencam hasil pemikiran sastera sesuatu bangsa. Suatu ukuran yang didasarkan kepada pendekatan yang begitu mekanikal dan instrumental, pada hakikatnya anti-sastera.

Jika pendekatan sebegini terus diguna pakai, maka kemajuan kesusasteraan akan terencat. Hari ini kita memperkatakan gejala brain drain – puluhan ribu tenaga pakar Malaysia mencari rezeki di tanah orang. Namun, kegagalan kita mengatur dan menilai sumbangan penulis, akan menyebabkan gejala yang tidak banyak berbeza. Hal ini kerana mereka keluar dan menyumbang bakti di luar ranah kesusasteraan berbahasa Melayu.

Tidak ada orang yang rasional akan masuk ke dalam satu dunia di mana bakat dan sumbangannya tidak dihargai. Sastera Malaysia sudah memiliki Azizi Haji Abdullah, yang sampai ke hujung usia, tidak mendapat sebarang pengiktirafan.

Sastera Malaysia juga sudah memiliki T. Alias Taib dan Rahimidin Zahari, dua penyair besar yang telah pergi, bukan sahaja tanpa sebarang pengiktirafan yang bermakna, malah semasa hidup, buku-buku mereka tidak pernah pun dilancarkan dalam acara gilang-gemilang.

Itulah sejarah gelap Sastera Kebangsaan yang dirakam zaman. Itulah sejarah gelap yang terhasil akibat penilaian yang mekanikal dan instrumental—suatu manifestasi faham pragmatik, hedonisme dan materalisme.

Jika hal ini dibiarkan terus berlangsung, tidak mutahil, suatu masa nanti, bekas Perdana Menteri akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, biarpun secara faktanya, baru menulis beberapa catatan seakan puisi dan pernah meluluskan peruntukan khas jutaan ringgit untuk dana penerbitan, membesarkan pejabat penggiat sastera, serta pelaksanaan beberapa seminar sastera dan bacaan sajak.

Wallahualam.

Kredit Foto: Mick De Paola/Unsplash

_________________________

Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.