Oleh Nimoiz T.Y.
9 Januari 2023, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nimoiz T.Y menceritakan tentang latar belakang, impian dan gagasan Teo Wei Sing yang baru-baru ini ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) dan Munsyi Dewan (Sastera).

Teo Wei Sing telah berkarya hampir 20 tahun dalam bahasa Melayu. Minat utamanya adalah dalam bidang puisi. Sehingga kini, beliau telah menulis ratusan karya sama ada diterbitkan dalam buku persendirian, majalah mahupun antologi bersama dengan penulis lain

Keterpaksaan dalam kemanjaan sebenarnya boleh dilembutkan dan dilenturkan oleh kecintaan terhadap bahasa dan sastera. Itulah patriotik lahiriah yang diperlukan di Malaysia”, ujar Munsyi Teo Wei Sing ketika ditanya tentang patriotik dalam konteks penulisan.

Tahun 2022 menjadi detik paling manis dan bersejarah bagi Teo Wei Sing kerana ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Sastera) dan Munsyi Dewan (Bahasa) dalam satu majlis gilang-gemilang anjuran badan bahasa terulung, yakni Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara pada 19 Disember 2022.

Penulis kelahiran Pahang ini mencipta rekod tersendiri apabila menjadi penulis berbangsa Cina pertama yang ditauliahkan dua gelaran Munsyi. Untuk rekod, beliau menerima tauliah sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) 2021, kemudian berjaya juga menerima tauliah sebagai Munsyi Dewan (Sastera) 2022. Beliau yang aktif menulis karya kreatif dalam bahasa Melayu percaya bahawa dua pentauliahan yang signifikan ini bakal menyuntik lagi semangatnya untuk berkarya. Ujarnya lanjut,

Pentauliahan ini akan menjadi pendorong dan motivasi untuk saya terus menulis. Saya yakin dan percaya bahawa bahasa Melayu mampu terus utuh berdiri dan menyatupadukan kaum di Malaysia.

Teo Wei Sing telah berkarya hampir 20 tahun dalam bahasa Melayu. Minat utamanya adalah dalam bidang puisi. Sehingga kini, beliau telah menulis ratusan karya sama ada diterbitkan dalam buku persendirian, majalah mahupun antologi bersama dengan penulis lain. Malah, beliau juga merupakan penulis prolifik yang giat menghasilkan puluhan buku rujukan dan buku kerja untuk kegunaan pelajar sekolah menengah di Malaysia.

Beliau yakin bahawa pengiktirafan dua gelaran Munsyi Dewan ini akan menjadi batu loncatan untuknya mencambahkan dan mengembangkan lagi bakat. Malah, kesungguhan beliau dalam memanfaatkan ilmu sedia ada akan menjadi lebih rancak dalam usaha pemartabatan bahasa dan sastera Melayu.

Munsyi Dewan merupakan penceramah bahasa Melayu yang dilantik khas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat berkaitan dengan bahasa dan sastera Melayu bagi sektor awam dan sektor swasta. Tugas utama Munsyi adalah sebagai pakar rujuk bagi membantu DBP dalam usaha mengembangkan dan memperkasakan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sesungguhnya, untuk muncul sebagai seorang Munsyi Dewan yang bertauliah bukan satu perkara yang mudah. Calon perlu melalui beberapa peringkat saringan dan temu duga serta pembentangan bagi meyakinkan panel penilai.

Teo Wei Sing yang diangkat sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) dan Munsyi Dewan (Sastera) telah menerima watikah pelantikan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 19 Disember 2022. Turut diangkat dalam majlis yang sama ialah enam lagi Munsyi Dewan (Sastera) yang baharu iaitu Hafizah Iszahanid, Dr. Ariff Mohamad, Dr. Kaithiri a/p Arumugam, Prof. Madya. Dr. Nasirin Abdillah, Mohd Faizal Jamil dan Azura Mohd Halid. Majlis penuh bersejarah ini telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga merupakan pensyarah kepada Teo.

Ketika ditanya tentang harapan dan azam tahun baharu 2023, Teo dengan penuh semangat berhasrat untuk terus giat menulis karya kreatif dan membantu DBP membimbing penulis muda dalam lapangan kesusasteraan Melayu. Tambahnya lagi, beliau juga berimpian menggalas peranan bagi membuakkan minat bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat Cina, terutamanya murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta sekolah swasta. Jelasnya,

Kedua-dua gelaran Munsyi Dewan (Bahasa dan Sastera) ini merupakan pengiktirafan yang sangat besar. Saya akan terus memberikan komitmen yang besar kepada DBP dalam mengangkat bahasa dan persuratan Melayu ke takah yang lebih tinggi. Kalau kita sendiri yang tidak berjuang memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, siapa lagi? Untuk tahun 2023, saya bercadang untuk terus-menerus mengumpulkan karya baharu bagi penerbitan akan datang terutamanya dalam percubaan beberapa tema baharu yang berkaitan dengan alam sekitar, perubahan iklim, tokoh pejuang dan kenegaraan.

Teo Wei Sing yang kini merupakan Pegawai Khas kepada KDYTM Tengku Mahkota Pahang sebelum ini merupakan seorang guru. Beliau pernah bertugas di SMK Teluk Chempedak (2007 – 2011) dan SMJK Tanah Puteh (2011 – November 2021). Pengalaman mengajar ini banyak membentuk jati diri beliau untuk terus menyumbang khidmat bakti.

Sebelum memulakan karier sebagai guru Bahasa Melayu, beliau pernah menyandang jawatan sebagai pensyarah subjek Kenegaraan Malaysia di Kolej Taylor pada tahun 2007. Anak jati Pahang ini juga merupakan mantan pensyarah sambilan Open University of Malaysia (OUM) di samping merupakan deklamator jemputan yang aktif sama ada di dalam negara mahupun di luar negara.

Paling membanggakan, beliau pernah mewakili negara Malaysia mendeklamasikan sajak Melayu di ibu pejabat UNESCO di Paris, Perancis sekali gus menerbitkan kumpulan puisi tribahasa (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis) yang bertajuk Sejiwa untuk dibawa ke negara Perancis sebagai bekalan mempromosikan kesusasteraan Melayu pada peringkat global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.