Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerjalanan ialah suatu pengalaman pembelajaran. Abd. Razak Rezeki Othman menceritakan pengalamannya membawa Rosli K. Matari dari Kelantan ke Kuala Lumpur dengan pelbagai rasa, panorama dan ilmu.
Tahulah saya, nyata benar kata-kata Cikgu Rosli semalam apabila saya menebak adakah beliau pemenang utama. Rupa-rupanya, keputusan siapa pemenang utama adalah rahsia penganjur sehinggalah diumumkan oleh pengacara majlis. Dan, Cikgu Rosli tidak berolok-olok kepada saya.
Kami tiba di ibu kota sebelum jam 3.00 petang, lalu terus menuju ke Rumah GAPENA. Cikgu Rosli suka menetap di Rumah GAPENA. Saya tahu, beliau memiliki sebuah manuskrip kumpulan puisi, hasil draf sekian lama yang ditulisnya sedikit demi sedikit, setiap kali menginap di Rumah GAPENA. Sejak rumah itu di lokasi lama dulu lagi.
Jika tidak silap ingatan saya, beliau memberitahu tajuknya ialah “Sajak-sajak dari Rumah Gapena”. Akan tetapi, tajuk itu belum muktamad. Tiada siapa yang tahu, beliau menyimpan rasa sentimental dan nostalgia yang mendalam terhadap Rumah GAPENA. Mungkin kerana di sini, pelbagai cetusan ilhamnya sudah tercurah. Sampai sekarang, beliau masih tidak tergesa-gesa ingin menerbitkannya.
Pada kreativiti beliau, terdapat draf yang disimpan selama lebih 10 hingga 20 tahun. Hal ini suatu ketabahan yang luar biasa. Tidak hairan jika Nun Bulan yang merupakan kumpulan puisi pertamanya diterbitkan selepas 32 tahun keberadaannya dalam peta puisi tanah air. Tampak Cikgu Rosli seperti tidak ghairah menghambat kemasyhuran.
Dari Rumah GAPENA, sekitar jam 4.30 petang, kami bertolak ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menggunakan perkhidmatan Grab. Majlis pengumuman pemenang Hadiah Puisi T. Alias Taib dijadualkan berlangsung jam 5.00 petang. Ketika itu, jalan raya di pusat bandaraya sesak sekali.
Kami tiba di Pintu Utama WTCKL, lambat kira-kira 20 minit. Daripada menggagau tersesat tak tahu tempat di mana lokasi majlis berlangsung, Cikgu Rosli menelefon staf Kata-Pilar agar datang untuk mendapatkan kami di tepi reruai Dewan Bahasa dan Pustaka, agar beliau dapat tiba dengan segera ke sana.
Sebaik saja kami ditemui, majlis sudah bermula. Saya mengekori rapat di belakang, di celah-celah para pengunjung. Sambil berjalan di celah-celah orang ramai, saya menangkap pertanyaan Cikgu Rosli kepada staf Kata-Pilar berkenaan.
“Abang dapat nombor berapa?”
Akan tetapi, staf itu tetap berahsia, “Sekejap saja lagi akan diumumkan. Nanti Abang tahu sendiri.”
Tahulah saya, nyata benar kata-kata Cikgu Rosli semalam apabila saya menebak adakah beliau pemenang utama. Rupa-rupanya, keputusan siapa pemenang utama adalah rahsia penganjur sehinggalah diumumkan oleh pengacara majlis. Dan, Cikgu Rosli tidak berolok-olok kepada saya.
Beliau menyertai pertandingan semata-mata mengharapkan manuskrip kumpulan puisinya mendapat peluang untuk diterbitkan, di samping sebagai menghormati Allahyarham T. Alias Taib. Bukanlah sangat mengharap pada Hadiah Utama. Beliau tidak takut atau malu untuk kalah. Kegembiraannya hanyalah semata-mata dapat (dan sempat) menyiapkan sebuah manuskrip.
“Sudah ada manuskrip, kalah sekalipun, nanti kita tetap berpeluang menerbitkannya juga. Kalau tak ada manuskrip, setitik noktah pun tidak dapat diterbitkan,” ujarnya.
“Lagipun jika kalah,” katanya sambil ketawa, “kita tidak akan malu apa-apa. Penganjur tidak akan senaraikan dan memberitahu umum, siapa individu yang kalah.”
Sebaik sahaja nama Rosli K. Matari diumumkan oleh pengacara sebagai pemenang Hadiah Utama bagi Hadiah Puisi T. Alias Taib, dan beliau melangkah menaiki tangga pentas, saya memerhatikan momen bersejarah itu sehingga terlupa untuk mengetik foto. Sesudah kelima-lima pemenang dibariskan di pentas bersama-sama VIP serta penganjur, baru saya terdetik untuk turut merakam gambar.
Hari itu, Cikgu Rosli berpakaian kebangsaan lengkap. Kelihatan kacak dan tampan. Apatah lagi dengan pakaiannya berwarna merah darah ikan. Bagai tidak terkalah dengan adik-adik muda pemenang di sebelahnya. Beliau terlupa membawa kain samping dan juga pengecas telefon.
“Pertama kali, Abang memakai samping menggunakan kain pelikat,” ujarnya ketika bersiap-siap di Rumah GAPENA petang itu.
Sejurus saya menghantar teks WhatsApp kepada grup Gulai Haruan Daun Kesum yang mengumpulkan ramai penulis Kelantan untuk mengkhabarkan kemenangan beliau sebagai pemenang Hadiah Utama. Tidak lama kemudian, saya memuatkan foto kelima-lima pemenang itu dengan kapsyen yang bermaksud terbalik, “Antara lima pemenang ini, Abe Li paling muda. Pemenang lain tua-tua belaka.”
Di samping beliau yang berjaya sebagai pemenang Hadiah Utama dengan kumpulan puisinya Mengingat Matahari, empat pemenang Hadiah Penghargaan merupakan penyair yang relatifnya muda. Mereka ialah Khanafi dari Indonesia (Bunga Bengkok di Dada), Sarah Ross (Empat Musim di Bibir Emak), Naseer Mikraj (Luka Mencair sebagai Sunset), dan Afiifah Shariha (Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok).
Hari kedua di Kuala Lumpur, pada jam 11.00 pagi–1.00 tengah hari, Cikgu Rosli dijadualkan berada di reruai buku penerbit Kata-Pilar di WTCKL. Tujuannya untuk bersua wajah dengan para pembeli bukunya sambil menurunkan tanda tangan. Pagi itu juga, kami terlewat setengah jam.
Kelewatan itu disebabkan oleh pemandu Grab yang menggunakan kenderaan “teksi”, menurunkan kami jauh dari lobi utama WTC, kononnya dia tidak dapat masuk ke situ, disebabkan oleh kesesakan. Kami berasa seperti tertipu. Ditokok pula Cikgu Rosli tidak dapat menghubungi staf Kata-Pilar kerana telefonnya kehabisan bateri. Sementara saya tidak memiliki sebarang nombor telefon orang Kata-Pilar termasuk, Dr. Fahd Razy.
Kami berjalan kaki, menyeberang jalan dengan menggunakan jejantas yang mengambil masa pula selama setengah jam ke Pesta Buku Aantarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Sebaik memasuki ruang pameran, kami seakan tersesat. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Staf Kata-Pilar terpaksa dipanggil lagi untuk menunjukkan arah ke reruainya.
Di PBAKL hari itu, penulis bagaikan artis popular. Cikgu Rosli menyantuni para pembeli bukunya yang meminta autograf dan foto bersama.
Semua buku yang ditandatangani oleh Cikgu Rosli tidak ditulis dengan kata-kata yang sama. Semua ungkapan ditulis berbeza-beza. Antara yang sempat saya ingat: “Bacalah lambat-lambat”, “Semuanya masih indah di situ, walau tidak ada lagi” dan “Hujan dan dinihari adalah indah”.
Walaupun sehingga kini belum ada universiti yang menawarkan beliau sebagai pensyarah jemputan, Karyawan Tamu atau seumpamanya untuk memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada beliau menurunkan ilmunya, saya fikir beliau mampu. Secara diam-diam, saya berdoa agar beliau diberi kepercayaan oleh mana-mana institusi akademik suatu hari nanti, ketika hayatnya masih dikandung badan.
Usai solat asar petang itu, kami meninggalkan Rumah GAPENA dan bertolak pulang ke Gua Musang. Sepanjang perjalanan pergi dan balik, sampailah hajat saya selama ini untuk bersembang sambil menimba ilmu sebanyak-banyaknya daripada Cikgu Rosli.
“Berbengkel” puisi di dalam kereta – suatu pengalaman yang menyeronokkan. Harus saya akui, sepanjang perbengkelan itu, saya tidak mencatat apa-apa. Tugas saya memandu kereta. Mustahil saya dapat menghafal atau mengingat kembali setiap kata yang terluahkan dari bibir beliau ketika itu.
Maka ketika tulisan ini saya galurkan, kerap kami berhubung menerusi telefon untuk beliau ulangi kembali beberapa ujaran serta mengumpul semula segala pandangannya untuk dipetik dan dikongsikan dengan para pembaca budiman. Seboleh mungkin saya tidak mahu mencicirkan satu pun buah fikiran Cikgu Rosli semasa “bengkel” tersebut.
Jam 10.00 malam ketika melewati kawasan sunyi di antara Raub dan Kuala Lipis, hati saya sebak apabila beliau berpesan, “Jak, kalau Abang dah tak ada, jagalah Kelantan sebagai lubuk puisi.”
Begitu sekali cakna, kasih dan wawasan serta tinggi harapannya terhadap kesusasteraan Kelantan. Pada fikiran saya, kegigihan Cikgu Rosli ini sudah memperagakan ciri-ciri seorang legenda atau tokoh puncak dalam peta puisi Kelantan. Saya berani mengatakan hal ini atas pertimbangan wibawa dan pencapaiannya yang sudah mencecah tahap berprestij pada masa ini.
Lebih sayu lagi apabila beliau mengungkapkan kata, “Abang sudah tua.”
Kami berhenti untuk makan malam di Kuala Lipis. Sambil menunggu makanan yang dipesan, saya membelek buku Mengingat Matahari yang memenangi Hadiah Utama untuk Hadiah Puisi T. Alias Taib itu. Saya sempat membaca puisi di bawah ini pada halaman 6–7:
“After all, Tommorow is Another Day”
“kulupakan matahari,” kata daun
“seperti kulupakan embun.”
senja resap, senyap, dan lenyap
malam bergegas dengan gelap
sehari cepat luluh, hancur
juga ditinggalkan, nisan dan kubur
jauh, tengah malam
kurenung – erti gelita, kelam
aku tidak pernah ada
jawapan
lebih dalam, makna
kegelapan
ketika ada bintang
angin, atau ribut
hujan lebat, memanjang
atau esok, kabut
semua itu,
hari lain di depanku
tetapi
akhir nanti
seperti daun itu
aku juga tahu
di celah-celah hari
ada satu sahaja, kata-kata ini:
“aku menunggu luruh,
suatu yang tidak pernah jauh.”
Sederhana sekali pengucapannya, namun terasa indah dan halus. Diciptanya dalam gaya yang puitis.
Saya segera teringat penjelasan Dr. Nasirin Abdillah yang menulis kata pengantar buku ini semasa kami berbual sambil makan di restoran mamak pada tengah hari Sabtu itu. Katanya, Rosli K. Matari menulis puisi Islam melalui idionsinkrasi beliau: bayang, daun, masa, usia, maut, dan kubur. Beliau tidak menggunakan istilah atau kata-kata besar dalam kosmologi Islam ataupun bahasa Arab.
Dr. Nasirin selanjutnya menjelaskan kepada saya serta beberapa rakan di meja itu tentang falsafah Cikgu Rosli yang digarap dalam puisi. Beliau menyatakan bahawa hakikat kewujudan bayang yang bersifat sementara, daun yang akhirnya gugur ke tanah, perjalanan masa yang tidak pernah menunggu, usia hidup sepanjang mana pun pasti akan berakhir, dan kesedaran pada soal ajal maut serta tanah kubur yang sedang menanti, semua ini dapat berkait pada ketakwaan dan keinsafan (Mengingat Matahari, 2023:xvi).
Berbalik pada puisi di atas, saya memberanikan diri untuk bertanya soalan yang agak provokatif kepada Cikgu Rosli: Mengapa judul puisi itu dalam bahasa Inggeris? Walaupun soalan itu agak bodoh, beliau menjawab secara baik serta tertib. Sebelum menjawab, beliau terlebih dahulu tersenyum sinis. Lebih-lebih lagi apabila saya mengasak beliau dengan pertanyaan, “Tidakkah judul puisi dalam bahasa Inggeris, isi dalam bahasa Melayu ini bagaikan seekor unggas berkepala ayam, berkaki itik?” Sengaja saya mengelak untuk menyebut ungkapan yang bunyinya lebih kasar, iaitu “sekerat ular, sekerat biawak”.
Beliau terlebih dahulu memberitahu, “Abang sangat lewat menemukan dan membaca novel Gone with the Wind. Tetapi pernah menonton filemnya. Lakonan Clark Gable. Pelakon wanita, heroin, Abang sudah lupa namanya. Soalan Jak, kenapa dan tidak bolehkah menggunakan bahasa Melayu? Jawapannya adalah benar dan wajar. Mesti menggunakan bahasa ibunda, bahasa kebangsaan,” lazim Cikgu Rosli. Jika beliau menerangkan sesuatu yang serius, beliau akan bertutur dalam bahasa Melayu standard. Bukan dialek Kelantan.
“Namun, masih ada jawapan lain,” tegasnya lagi.
“Maksudnya?”
“Pengekalan kata-kata dalam bahasa Inggeris itu adalah sebagai konteks menghormati dan menghargai pengarangnya. Kata-kata asal. Hal ini boleh direlatifkan.
“Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh pernah menjudulkan puisinya ‘The Road Not Taken’. Abang percaya, beliau juga berfikiran begitu.
“Itu adalah puisi karya Robert Frost yang amat masyhur di pelosok dunia. Sengaja tidak diterjemahkan, pada judul itu, oleh Prof. Muhammad. Tentu juga untuk menghormati dan menghargai,” ujarnya.
Saya diam, dan sejurus kemudian beliau bersuara lagi. “Jika diterjemahkan, bukan mustahil, bahawa kekuatan kesan asal dan signifikannya itu akan menjadi longgar dan pudar. Akan tetapi, jika menggunakan bahasa Inggeris sebagai judul secara wewenang adalah suatu keangkuhan, yang sebenarnya adalah suatu kebodohan.”
Mengatakan ini, suaranya kedengaran tegas, berserta dengan gaya gerak tangannya sekali. Cikgu Rosli memang garang apabila mengajar, keras menegur pada sesuatu yang baginya bersifat tidak tepat dan benar.
“Berbengkel” dengan Cikgu Rosli pada sepanjang perjalanan, banyak pencerahan tentang kraf puisi yang saya peroleh. Namun begitu, saya sedar, kreativiti diri ini tidak akan setangkas beliau. Sungguhpun begitu, walau tidak mampu mempraktikkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya saya beroleh pengetahuan dan pengalaman.
Contohnya, tentang penggunaan diksi. Umum hanya sekadar menggunakan istilah sebagai diksi, tetapi tidak pada penyair bijak ini. Beliau mencipta kosmos pemahamannya sendiri, membuka atmosfera makna secara jitu yang memberi kesan yang mendalam.
Antara istilah yang beliau sarankan dalam pemilihan diksi ialah diksi sejajar, diksi dinamik, diksi taksa, diksi laras pemikiran, diksi latar zaman, dan sebagainya. Cikgu Rosli menyifatkan, diksi yang semberono, diksi bersetentang dan diksi tohor pula sebagai ciri-ciri diksi yang cacat, daif, lemah, dan buruk. Daripada segala jenis pemahamannya sendiri berkaitan jenis-jenis diksi inilah, beliau mampu memperkuatkan dan mengelak kelemahan puisinya.
Beliau juga sempat mengajarkan saya apakah yang dikatakannya sebagai “dominasi struktur mantap” (istilah ini dimunculkan daripada pemikirannya sendiri, bukan dipinjam daripada mana-mana sarjana). Misalnya, jika sajak yang kita tulis itu terkait dengan tema budaya atau latar tradisi (sebagai dominasi), maka amat tidak serasi andai ada suatu diksi dalam sajak itu yang menggunakan perkataan moden atau kata pinjaman bahasa asing, sekalipun istilah itu telah dimelayukan. Hal ini diberi perhatian olehnya bagi mengejapkan bentuk puisi dan mengurangkan kedangkalan diksi.
Pada mulanya, saya pernah diajarinya dahulu tentang perkara itu, tetapi ditukasnya, “Bukan. DahuIu itu tentang keperluan struktur total baris ganjil. Jika rasional, bertujuan diselarikan dengan kosmologi Islam.”
Walaupun sehingga kini belum ada universiti yang menawarkan beliau sebagai pensyarah jemputan, Karyawan Tamu atau seumpamanya untuk memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada beliau menurunkan ilmunya, saya fikir beliau mampu. Secara diam-diam, saya berdoa agar beliau diberi kepercayaan oleh mana-mana institusi akademik suatu hari nanti, ketika hayatnya masih dikandung badan.
Pada soal mendraf pula, beliau berpegang pada prinsip “draf sekali harung” ialah puisi yang buruk. Jika melepasi tiga draf, baru menuju ke anak tangga pertama – puisi yang baik. Akan tetapi, andai melepasi lima draf, boleh dirasakan puisi bermutu telah mulai terhasil.
Manakala, apabila melepasi tujuh draf pula ialah tahap penghasilan puisi yang berkualiti tinggi. Di samping itu, pesanan beliau, sentiasalah tabah menyimpan karya pada tempoh lama dan sanggup terus menambah baik dari masa ke semasa agar puisi bernilai tinggi bakal muncul.
Tokok beliau lagi, cara mendraf dan membaiki draf sajak pula bukanlah pada hari yang sama. Walaupun seharian itu dibaiki sehingga sepuluh kali, dianggapnya sebagai satu draf sahaja. Mendraf dan membaikinya perlu pada hari yang berlainan. Sebaik-baiknya, berjarak hari, minggu dan bulan, malah tahun. Hal ini bakal menatijahkan pemikiran yang lebih segar.
Selesai itu semua, draf tersebut hendaklah disimpan lagi bagi penelitian semula. Sebaik-baiknya, disimpan selama lebih setahun. Termenung saya mendengarnya. Bukan pada soal keterampilan kraf mencipta sahaja, tetapi pada soal ketabahan mendraf itu sahaja pun, saya mencongak diri sendiri – adakah saya dan penyair muda atau penyair pelapis mampu setabah orang ini?
Saya mengetahui cara beliau mendraf dalam perbualan kami. Mengetahui misalnya, berapa lama beliau menyimpan sesebuah puisinya. Namun begitu, bukanlah untuk diceritakan di sini. Beliau menghasilkan sesebuah puisi dengan tungkus-lumus dan ketekunan yang tidak mudah.
“Ada sebuah puisi Abang baru tulis, mengenang sahabat Abang, Allahyarham Cikgu Ilmin. Rasanya, Abang akan kirim nanti. Tak simpan lama. Agar para sahabat dapat ikut sama-sama mengenang Ilmin,” ujarnya ketika kami bersarapan di warung berhampiran Menara DBP. Allahyarham Ilmin yang dimaksudkannya adalah antara sahabat karibnya. Demikian, terserlah kasih mulianya pada sahabat.
Hal yang menjadikan saya lebih terkesima apabila beliau dapat mengingat apa-apa yang pernah diterangkannya kepada saya. Padahal, hal itu suatu masa lama dahulu, dengan apa-apa yang belum pernah diterangkannya.
Walaupun saya mengenali karakter Cikgu Rosli sebagai insan yang suka berseloroh dan bersenda pada perkara yang remeh, namun pada bab mencipta puisi, beliau mampu menghasilkan puisi yang berkualiti tinggi. Hal inilah yang saya kagumi. Beliau benar-benar bijak. Ilmu, pengetahuan, keterampilan dan pengalamannya begitu tinggi.
Satu ketika, saya minta beliau jelaskan apa itu “titik getar” dalam kreativiti puisi yang pernah disebutnya sebelum ini. Saya katakan, saya semacam faham tetapi tidak begitu jelas. Menurut Cikgu Rosli, titik getar bukanlah soal rentak atau rima. Elemen titik getar merupakan puncak dan keperluan terakhir wajib yang terdapat dalam sesebuah puisi yang diciptakan.
“Adakah titik getar itu semacam klimaks untuk plot cerpen?”
Pertanyaan saya tidak dijawabnya “ya” mahupun “tidak”. Sebaliknya, beliau menghuraikan, “Sesebuah puisi itu memikat kerana ada titik getar. Sehabis-habis kurang ialah satu titik getar harus ada dalam puisi. Dahulu, Allahyarham Rahimidin Zahari adalah antara penyair muda yang sempat belajar tentang titik getar ini daripada Abang.”
Pernah pada beberapa bulan yang lalu, saya zahirkan hasrat untuk berguru dengan beliau. Cikgu Rosli tergelak, kerana tahu pertemuan kami pagi itu, saya tidak boleh berlama-lama dan sekitar sejam lagi saya akan meminta diri untuk bertolak pulang ke Gua Musang.
“Tak dapat untuk selayang pandang saja, Jak,” beliau bersuara rendah, mungkin berasa belas pada saya. “Tidak semudah pakai sepatu. Harus terlebih dahulu, belajar mengetahui aspek dan fokusnya, serta memahami konsep dan dampaknya.”
Selesai itu semua, draf tersebut hendaklah disimpan lagi bagi penelitian semula. Sebaik-baiknya, disimpan selama lebih setahun. Termenung saya mendengarnya. Bukan pada soal keterampilan kraf mencipta sahaja, tetapi pada soal ketabahan mendraf itu sahaja pun, saya mencongak diri sendiri – adakah saya dan penyair muda atau penyair pelapis mampu setabah orang ini?
Kami tiba di Gua Musang malam itu jam 1.00 tengah malam. Saya menyarankan agar Cikgu Rosli bermalam di rumah anak saya. Akan tetapi, beliau nyatakan yang beliau mahu terus menyambung pulang. Saya boleh menduga, beliau tidak mahu menyusahkan saya.
Bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu akan tiba di Hentian Gua Musang sekitar jam 1.00–2.00 pagi. Kami segera ke kaunter tiket, tetapi staf kaunter memberitahu, tiket atau tempat duduk semua sudah habis diisi oleh penumpang di Kuala Lumpur lagi. Oleh itu, Cikgu Rosli terpaksa bermalam di Gua Musang lagi.
Subuh itu, saya membelek whatsApp, menduga-duga, tentu akan ada apa-apa teks daripada beliau. Benar. Sebuah lagi draf puisi, tetapi tanpa judul dikirimkan. Salah satu bait, sebagai rangkap ketiganya ialah:
Sajak tidak semesti hal besar. Debu juga
boleh berdendang, asal ada erti. Makna
dari kelmarin dulu, tidak luluh
untuk direnung dengan lebih kukuh,
sekalipun pada abad akan datang.
Tidak ada satu noktah akan hilang.
Bersahaja tetapi menyerap. Beliau mampu mencipta puisi yang indah, kuat dan bernilai, dengan memanfaatkan kata-kata biasa sahaja. Tanpa perlu penuh dihias jargon berwarna-warni.
Seawal jam 7.00 pagi, Cikgu Rosli sudah berdiri di halaman, siap menunggu kedatangan saya. Kami berkejar untuk sarapan pagi sebelum beliau menaiki bas henti-henti, merentas desa menghilir daerah pada jam 8.00 pagi. Saya menjangka, beliau akan tiba di Kota Bharu pada jam 12.00 tengah hari.
“Jak sempat baca draf sajak yang Abang kirim?”
“Ya.”
“Ada atau tidak, rangkap yang Jak rasa tertarik?”
“Ada. Terkesan.”
“Yang mana?”
Lalu, saya menyebut beberapa frasa secara tidak tersusun, memaksudkan rangkap ketiga seperti yang saya petik di atas. Lebih kurang begini saya sebutkan: “Sebutir noktah … akan beri erti … apabila berada dalam puisi”. Lantas beliau tersenyum. Lambat-lambat memberitahu, “Pada rangkap itulah ada terdapat titik getar. Cuba Jak baca lagi dan perhati, di mana ia berada.”
Saya sekadar mampu membalas senyum dan mengangguk. Namun masih tetap belum boleh menangkap pengertian, konsep atau hakikat titik getar dalam puisi. Belum mampu menangkapnya, masih terasa semacam misteri dan tidak pasti. Hanya sekadar tahu, titik getar itu bukanlah pada soal rentak atau rima. Seperti yang saya katakan tadi, semacam nampak tapi tidak jelas.
Beliau senyum. Tentu beliau tahu, saya masih kabur tentang titik getar itu. “Mudah-mudahan, suatu hari nanti, sempat Abang ajarkan,” ujarnya, bagai memberi harap.
Sebaik beliau menaiki bas, lima minit sebelum bertolak, saya mengambil dua foto badan bas itu yang tertera nombor plat. Saya menjangkakan foto itu akan dikirim kepada isterinya bagi memudahkan pengecaman yang akan menjemput beliau sebaik bas tiba di stesen Kota Bharu.
Saya terus berdiri di sisi kereta, menunggu sehingga bas bergerak meninggalkan medan Hentian Gua Musang. Terharu saya untuk melepaskan beliau pergi. Entah bila pula peluang begini bakal berulang.
Walau terlalu panjang tulisan ini, masih banyak hal yang terkurang untuk saya rakamkan semuanya sebagai catatan dan ingatan. Selebihnya, biarlah saya simpan dalam memori peribadi.
Baca Bahagian Pertama dan Kedua Refleksi |
Kredit Foto: Nik Radzli/Unsplash
_________________________
Abd. Razak Rezeki Othman atau nama sebenarnya Abdul Razak bin Othman ialah guru Kesusasteraan Melayu Komunikatif Tingkatan Enam, juga merupakan Setiausaha 2 Persatuan Penulis Kelantan. Beliau pernah memenangi beberapa hadiah sastera peringkat nasional, termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2013) dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2001, 2008 dan 2016). Antara buku yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi Pesan Seorang Luqman (ITBM, 2013) dan kumpulan cerpen Aura Haji Mahar (ITBM, 2015). Beliau ialah Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.02/2023.