18 Julai 2023, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perjalanan ialah suatu pengalaman pembelajaran. Abd. Razak Rezeki Othman menceritakan pengalamannya membawa Rosli K. Matari dari Kelantan ke Kuala Lumpur dengan pelbagai rasa, panorama dan ilmu.

Tidak usah pedulikan Abang. Jika sempat, Abang ikut masuk. Jika tidak, maka tidaklah. Yang lebih penting kamu sertai. Cubalah untuk mengejar peluang bagi kebaikan diri kamu.

Sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, saya pagi-pagi lagi sudah datang menjemput Cikgu Rosli untuk bersarapan di warung yang menyediakan gulai lemak ikan talapia dan patin. Ketika hendak memulakan perjalanan, diingatkannya, “Jangan laju-laju, Jak. Abang sudah lama tak tengok indah tanah air.”

Saya ketawa kecil. Tiba-tiba, terdetik di hati saya makna yang tersirat di sebalik kata-kata ini. Meski ada curiga, tetapi saya bersandarkan pada tawakal. Untuk tidak berprasangka saya katakan kepada diri, jangan laju-laju kerana saya harus utamakan keselamatan sekali gus dapatlah Cikgu Rosli menikmati landskap keindahan alam tanah air sepanjang perjalanan.

Memang sepanjang perjalanan, walau bersembang, beliau lebih menumpu pada pemandangan (tapi bukan di depan jalan). Kadang-kadang, jika soalan bukan berkenaan puisi, ada pertanyaan sengaja tidak dijawabnya. Entah apa yang diamatinya daripada landskap alam? Apa yang saya tahu, pengamatan, daya sensitiviti dan fikirannya tajam.

Jika bertanyakan hal puisi, satu soalan boleh diterangkan olehnya berjela-jela. Luas huraiannya dengan bukti dan contoh itu ini. Ketika itulah saya memilih diam. Terasa diri bagai kolam cetek, tetapi amat kerap beliau berlucu-lucuan.

“Seronok tengok kampung-kampung indah, tenang permai,” ujar Cikgu Rosli. Namun, saya tergelak ketika beliau menyambung kata, “Lebih seronok, bahagia kalau ada isteri di kampung-kampung ini.”

Tetapi beliaulah yang lebih tergelak-gelak ketika saya bertanya, “Banyak kampung itu, Bang. Berpuluh-puluh buah. Tak payah satu kampung satu isterilah, kalau satu daerah satu pun, sudah lebih empat.”

Begitulah antara topik kegemaran beliau bersenda sejak dahulu. Namun, dalam perjalanan itu, saya terkenangkan kemesraan beliau melayani penulis muda Kelantan, sama ada di Meja Sasterawan, Kubang Kerian atau warung kopi sekitarnya.

Betapa murni dan jernih kasihnya hati penyair besar Kelantan ini terhadap para sahabat penyair pemula dan penyair muda termasuk saya. Beliau sering melafazkan harapan tinggi agar semua mereka berjaya menjadi penyair berwibawa dan penting.

Contohnya, bagi Hadiah Puisi T. Alias Taib, beliau bersusah payah menghubungi, sesetengahnya pula pergi menemui sendiri, menggalakkan beberapa sahabat, penyair muda dan pelapis dari Kelantan agar menyertai sayembara ini. Beliau turut bertungkus-lumus membimbing dan berusaha membantu bagi menambah baik karya mereka.

Saya sendiri turut menyertai. Menurut Cikgu Rosli, saya sebagai orang pertama yang dihubungi untuk diberi galakan. Malah, saya berasa seperti dipaksa olehnya, sebenarnya. Berhempas pulas saya mengumpulkan dan menambah baik segala draf untuk menyempurnakan sebuah kumpulan dengan jumlah 50 buah puisi.

Saya sangka, sayalah satu-satunya individu yang disarankan dan digalakkan olehnya agar menyertai. Rupa-rupanya tidak. Masih ada beberapa orang penyair mapan, penyair muda dan pelapis lain lagi dari Kelantan.

Dalam perbualan lain, saya diberitahu seramai tujuh penyair Kelantan dan sebanyak lapan buah manuskrip kumpulan puisi semuanya terhasil lewat “iklan dan promosi” Cikgu Rosli, selain motivasi yang diusahakannya menerusi grup WhatsApp dan mesej peribadi. Salah seorang peserta yang didorong itu muncul dengan dua buah kumpulan puisi.

Begitu sekali kecaknaan Cikgu Rosli terhadap para penyair, iaitu generasi muda pelapis kesusasteraan Kelantan agar sentiasa aktif berkarya. Selebihnya, paling tidak, mereka ini mampu menyelitkan diri dalam arus cabaran pengkaryaan yang kompetitif.

Saya lantas teringat kata-kata semangat Abdul Hadi Yusoff. Katanya, apabila kita menyertai sesuatu pertandingan bererti kita sudah menang. Tidak menyertai itu bererti, kita sudah tewas sebelum bertanding. Bahkan, beliau mengaku banyak pengalaman berharga diperoleh selama bertahun-tahun menyertai Sayembara Puisi Kemerdekaan tidak lama dulu.

“Lebih banyak saya kalah daripada menang, tapi saya tetap masuk. Setiap kali menyertai, saya belajar sesuatu,” cerita Abdul Hadi.

Rosli K. Matari (kiri), Usman Gumanti dan Abdul Hadi Yusoff yang berangkat ke Kuala Lumpur untuk majlis pengumuman SEA Write Award 2021.

Nama peserta Hadiah Puisi T. Alias Taib yang tersenarai dalam radar Cikgu Rosli itu tidaklah mampu saya catatkan semuanya di sini, melainkan beberapa orang, misalnya Nik Mohd Hafiz Abdullah dan Khoo Phau Liang. Kedua-duanya berjaya terpilih sehingga peringkat ketiga bagi penilaian akhir.

Hal ini sudah boleh disukat tahap pencapaian mereka berdua. Sudah pasti pencapaian ini sudah boleh dibanggakan. Bukan perkara mudah kerana jumlah penyertaan melebihi 170 buah kumpulan puisi yang diterima oleh penganjur yang datangnya dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Ketika ditanya, adakah beliau juga turut menyertai, Cikgu Rosli hanya menjawab, “Tidak usah pedulikan Abang. Jika sempat, Abang ikut masuk. Jika tidak, maka tidaklah. Yang lebih penting kamu sertai. Cubalah untuk mengejar peluang bagi kebaikan diri kamu.”

Oleh itu, dalam perjalanan, saya sempat diselubungi rasa hairan. Hairan kerana, jika tidak terdapat banyak penyertaan sebagai saingan, tentulah lebih besar peluang bagi memenangi hadiah. Akan tetapi, tidak kepada Cikgu Rosli. Sebaliknya, beliau mahukan penyertaan lebih ramai, khasnya penyair Kelantan. Ternyata, jiwa beliau besar dan tidak risau untuk gagal.

Beliau menggalakkan para sahabat, penyair muda dan pelapis agar tidak melepaskan peluang menyertai sayembara ini. “T. Alias Taib ialah nama besar. Kita dapat mengenang, menghormati dan menghargai beliau. Sayembara seumpama ini belum pernah wujud di Malaysia,” saya masih ingat rangsangan daripada Cikgu Rosli.

“Tidak mengapa jika tidak menang,” katanya. Beliau menyambung, “Sekurang-kurangnya kalian dapat menyiapkan dan memiliki kumpulan puisi. Jika tidak ada pertandingan ini, atau tidak menyertai, sudah pasti kumpulan puisi kita tidak akan pernah diusahakan untuk ada.”

Benar kata-katanya itu.

“Sekalipun tidak menang, kita masih ada peluang untuk diterbitkan pada cara dan usaha yang lain,” terangnya lagi.

Beliau akan mengkritik dan mencabar orang yang dibimbingnya supaya menyanggah pendapat atau pandangannya. Beliau terbuka dengan memberikan peluang muridnya untuk mempertahankan puisi sendiri.

Dalam perjalanan itu saya diberitahu, selama hampir dua bulan beliau berkorban masa sebelah malam dan petang, membantu mereka itu pada memilih, selain membimbing dan menambah baik karya. Sebahagian mereka hadir bersemuka dengan beliau bagi tujuan ini.

Katanya lagi, beberapa orang menghubung melalui e-mel, kerana tidak berpeluang untuk berdepan kerana tinggal berjauhan. Terbayang pada saya, tentu tidak mudah bagi beliau membantu, melainkan semata-mata kerana kegigihannya. Membimbing dan mengajar, menambah baik karya puisi melalui e-mel menuntut ketabahan yang tinggi.

Saya terus termenung sambil mendengar penjelasan beliau. Barangkali atas keikhlasan, kemurnian, wawasan dan pengorbanan Cikgu Rosli itu terlangsai balas oleh kemenangan beliau merangkul Hadiah Puisi T. Alias Taib.

Beliau sanggup mengorbankan sedikit masa peribadi dan merebut masa keluarganya. Usaha, kesanggupan serta pengorbanan seperti ini jarang-jarang dimiliki oleh sesiapa dalam dunia kesusasteraan khususnya di Kelantan, melainkan atas rasa keprihatinan yang tebal.

Nik Mohd Hafiz Abdullah pernah menyentuh perkara ini dalam Dewan Sastera Disember 2022 mengenai aktiviti bimbingan puisi oleh Cikgu Rosli di Meja Sasterawan di sebuah kafe Kubang Kerian saban malam. Sebagai seorang pensiunan, Cikgu Rosli telah mengisi masa lapangnya dengan mengajar puisi di kedai kopi.

Nik Mohd Hafiz sendiri adalah antara penyair lapis muda yang lahir dari meja sasterawan itu. Lebih awal lagi, saya dimaklumkan daripada cerita kawan-kawan termasuk bicara beliau sendiri menerusi bengkel dan seminar, bahawa Cikgu Rosli, pernah membimbing Allahyarham Rahimidin Zahari dalam menekuni kraf puisi ketika hayatnya.

Menurut Cikgu Rosli, beliau tidak mengajarkan semudah mencedok air dari kolah. Sebaliknya, bagai sukarnya seseorang itu berenang dan menyelam di lautan. Adakalanya, sengaja beliau susah-susahkan “muridnya” dengan memberi peluang menaakul dan berfikir serta menimbang berkali-kali setiap kali memilih diksi.

Tiada akan beliau coreng baiki, lalu digantikan ungkapan pada draf puisi itu oleh Cikgu Rosli. Alasan beliau, “Jika Abang mencoreng, itu akan menjadi puisi Abang. Walau jika sebaris, itu sudah dikira tidak asli sebagai karya kamu sendiri.”

Beliau akan mengkritik dan mencabar orang yang dibimbingnya supaya menyanggah pendapat atau pandangannya. Beliau terbuka dengan memberikan peluang muridnya untuk mempertahankan puisi sendiri.

Jika tidak dapat menjawab atau memberikan alasan untuk mempertahankan, barulah beliau akan menerangkan dan mencadangkan perkara yang harus difikirkan, ditambah baik sendiri.

Pada perbincangan hari berikutnya akan diteliti lagi. Begitulah seterusnya, sehingga beliau berpuas hati. Begitulah cara Cikgu Rosli menegur ajar, membimbing kraf puisi. Penulis muda dan pelapis memerlukan ketekunan luar biasa. Rahimidin Zahari, menurut beliau telah dibimbingnya selama tujuh tahun.

Oleh itu, muridnya memperoleh ilmu, pengetahuan dan meningkat kemahiran dari semasa ke semasa, walaupun tidak akan setanding atau sehandal kraf kreativiti beliau. Beliau tegas sekali, keras, malah garang dan tidak pernah berkompromi terhadap soal mutu puisi. Kadang-kadang, karya yang dilihat itu disuruhnya buang sahaja. Terpaksalah digumpal ke tong sampah.

Anehnya, Cikgu Rosli membimbing tanpa pen. Hanya jari menunjuk-nunjuk pada perkataan atau baris tertentu. Semasa berbincang itu, muridnya yang harus menconteng sendiri.

“Supaya kamu dapat lebih cerdas fikiran. Mengingat lebih dalam. Berfikir lebih tajam,” ujar beliau, pada alasan tanpa pen.

Pada kali lain pula, beliau berkata, “Supaya tidak ada bukti tulisan tangan Abang dan sesiapa tidak tahu kamu belajar daripada Abang.” Beliau ketawa, “Belajar dengan Abang, bukan sesuatu untuk dihebohkan, apalagi untuk dibanggakan.”

Pengalaman saya, paling saya tidak lupa ialah saya melihat cara beliau tersenyum ketika bimbingan berlangsung. Kadang-kadang panjang juga, senyum lebarnya, membuatkan kami terdiam. Ironinya, setiap kali beliau senyum begitu, kami tahu bahawa senyuman itu mengandungi erti kesalahan, kesilapan atau kekeliruan kami.

Tidak hairan, saya pernah tahu, Nik Mohd Hafiz misalnya, pernah sampai 22 kali membaiki draf. Mengeluh panjang Nik Mohd Hafiz, namun dia tetap tekun dan tabah.

“Baikilah, walau sampai berpuluh-puluh kali. Kita harus sedar bahawa puisi adalah mahal untuk kekal sepanjang zaman,” itu kata-katanya. Semua itu menerawang dalam ingatan, pengetahuan dan kenangan saya, sepanjang perjalanan.

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Refleksi |

Kredit Foto: Nik Radzli/Unsplash

_________________________

Abd. Razak Rezeki Othman atau nama sebenarnya Abdul Razak bin Othman ialah guru Kesusasteraan Melayu Komunikatif Tingkatan Enam, juga merupakan Setiausaha 2 Persatuan Penulis Kelantan. Beliau pernah memenangi beberapa hadiah sastera peringkat nasional, termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2013) dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2001, 2008 dan 2016). Antara buku yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi Pesan Seorang Luqman (ITBM, 2013) dan kumpulan cerpen Aura Haji Mahar (ITBM, 2015). Beliau ialah Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.02/2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.