14 Julai 2023, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perjalanan ialah suatu pengalaman pembelajaran. Abd. Razak Rezeki Othman menceritakan pengalamannya membawa Rosli K. Matari dari Kelantan ke Kuala Lumpur dengan pelbagai rasa, panorama dan ilmu.

Tegas Cikgu Rosli, kraf puisi ialah kesenian, keindahan dan kehalusan dalam kaedah serta langgam bagaimana mencipta puisi.

Lebih setahun lalu, penyair tersohor Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang, Saudara Abdul Hadi Yusoff telah menemani Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari (Cikgu Rosli) ke Kuala Lumpur. Pada tarikh esoknya, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Cikgu Rosli akan diumumkan sebagai penerima SEA Write Award 2021.

Beliau tidak dapat ke Kuala Lumpur dengan menaiki kapal terbang kerana belum cukup dos vaksin COVID-19. Oleh itu, beliau menumpang kereta Abdul Hadi, di samping turut ditemani oleh Usman Gumanti Ibrahim (UGI). Dari Kota Bharu, mereka bertolak petang menuju ke ibu kota, tetapi singgah untuk bermalam di daerah tempat tinggal saya, Gua Musang. Pekan di ulu Kelantan ini boleh dianggap sudah hampir separuh perjalanan ke Kuala Lumpur.

Malam itu, saya menjamu mereka dengan menu orang kampong, iaitu ikan baung gulai tempoyak yang ikannya saya pancing sendiri di Sungai Galas yang tidak jauh dari rumah. Saya berbesar hati kerana mereka bertiga menunjukkan selera yang tinggi dengan juadah yang dihidang, walaupun amat sederhana.

Namun lebih daripada itu, paling saya membayangkan ialah alangkah beruntungnya jika saya juga turut menyertai mereka ke Kuala Lumpur kerana menjangkakan Cikgu Rosli, Hadi dan UGI pasti akan berbicara soal sastera terutama puisi. Sudah tentu saya dapat mendengar diskusi mereka bertiga tentang banyak perkara, terutamanya berkaitan kraf puisi daripada Cikgu Rosli sepanjang perjalanan.

Terus terang suka saya nyatakan bahawa saya sangat dahagakan “guru” atau setidak-tidaknya rakan penyair untuk berbicara dan bertukar-tukar pandangan. Saya keseorangan di daerah ini. Tiada rakan sinergi yang boleh dijadikan sahabat sastera di Gua Musang. Begitu luas daerah ulu Kelantan, namun sebagai penyair, saya bagai sebatang kara di sini.

Kraf puisi ialah istilah yang dicetuskan sendiri dan sering digunakan oleh Cikgu Rosli dalam pertemuan-pertemuan kami atau perbengkelan sebelum ini. Tegas beliau, kraf puisi ialah “Kesenian, keindahan dan kehalusan dalam kaedah serta langgam bagaimana mencipta puisi.”

Namun begitu, walaupun disebutkan kaedah mencipta puisi, bukanlah mengikut teori yang pernah saya pelajari di universiti atau dalam buku-buku. Sebaliknya menurut beliau, “kaedah” ialah suatu kegeniusan pemikiran, pertimbangan dan penilaian yang terbit hasil daripada taakulan, pengalaman, prinsip, kecenderungan, serta usaha dalam menyerlahkan keterampilan kraf kepenyairan diri seorang penulis. Kaedah ini boleh diusahakan, selain bakat sedia ada anugerah Allah.

Kraf pula, dibezakan beliau dengan kreativiti. Proses kreativiti dianggapnya sekadar bermaksud daya usaha mencipta. Justeru, beliau lebih gemar mengungkapkan frasa “mencipta puisi” daripada menulis puisi atau mengarang puisi.

Tidak hairan, Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah dari Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM yang pernah rapat dengan beliau semasa bertugas di Universiti Malaysia Kelantan telah melabelkan Cikgu Rosli sebagai “penyair bijak” dalam kata pengantar kumpulan puisi terbaharunya, Mengingat Matahari.

Nama besar dan wibawa Rosli K. Matari sebagai penyair, semenjak dahulu lagi disegani oleh pelapis dan penyair muda untuk bimbingan bengkel puisi. Beliau disifatkan adiguru atau sifu, bahkan diri beliau bagai diburu bagi menumpahkan ilmu yang dimilikinya.

Cara beliau mengajar ilmu mencipta puisi, berbeza daripada kebanyakan bengkel penulisan lain. Peserta bengkel yang terdiri daripada penyair pemula bahkan yang sudah lama, mengagumi ketajaman beliau mengesan kelemahan dan kedangkalan yang mencacatkan puisi pada draf-draf yang dihasilkan.

Beliau membimbing pada seni, dan yang ditekankan ialah kraf mencipta. Bukan menerang akan hal-hal asas seperti tema, persoalan, bentuk, gaya bahasa, dan sebagainya, yang lazim dalam unsur struktural atau aspek intrinsik puisi. Cikgu Rosli cukup berkebolehan pada selok-belok ilmu kraf puisi.

Sebaik sahaja saya mengenali beliau sekitar tahun 2007, ketika saya dilantik menyertai barisan fasilitator PPSB-PLKN, Cikgu Rosli merupakan salah seorang ketua fasilitator. Bermula dari situ, saya mendengar kawan-kawan dalam kalangan sahabat penulis di Kelantan, sama ada serius mahupun bergurau memberikan beliau jolokan gelar sebagai “Profesor Puisi”.

Karakter Cikgu Rosli yang gemar bersenda atau berlucu menjadikan beliau mudah mesra. Di samping wibawa dan ketokohan beliau itu, saya membayangkan, betapa beruntung kedua-dua sahabat (Hadi dan UGI) berpeluang berbahas, malah bagai sesi berbengkel tidak rasmi tetapi cukup eksklusif kerana berlangsung di dalam kereta, apatah lagi ketika bermusafir.

Saya hampir-hampir menyuarakan hasrat untuk sama-sama menyertai mereka, namun apabila memikirkan komitmen saya dengan tugas di sekolah, saya pendamkan sahaja. Apalagi, mereka bertiga tidak pula mempelawa walaupun sekadar ajak-ajak ayam.

Hal itu lebih setahun lalu.

Usman Gumanti, Cikgu Rosli dan Abdul Hadi singgah sebentar ke rumah penulis (kedua dari kanan) di Gua Musang setahun yang lalu.

Saya tidak persoalkan tujuan beliau ke Kuala Lumpur, cuma mengagak sudah tentu ada terkait hal yang mustahak. Benar, Cikgu Rosli dijemput oleh penerbit Kata-Pilar ke majlis pengumuman keputusan Hadiah Puisi T. Alias Taib, kerana beliau dimaklumkan secara rahsia sebagai salah seorang pemenangnya. Majlis berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), pada petang 26 Mei.

Dua minggu yang lepas, hasrat yang sekian lama tersimpan di hati saya, benar-benar menjadi kenyataan apabila saya berpeluang menemani Sasterawan Negeri Kelantan Darul Naim ini ke ibu kota.

Cikgu Rosli menelefon, dengan suara lirih memberitahu bahawa beliau ingin ke Kuala Lumpur dan mengajak saya untuk menemaninya. Katanya, beliau bercadang menaiki bas ke Gua Musang, kemudian bersama saya berkereta ke Kuala Lumpur.

“Bila Abe Li nak mari?”

“Malam esok,” sayup suara beliau di hujung telefon.

Mujur sudah bermula cuti sekolah. Tidaklah saya tidak terkekang sangat pada hal tugas di sekolah. Itu pun, mujur beliau juga bernasib baik. Sempat membeli tiket terakhir, kerusi di belakang sekali dalam bas. Semua jenis tiket habis kerana cuti sekolah sudah bermula.

Saya pantas bersetuju. Saya tidak persoalkan tujuan beliau ke Kuala Lumpur, cuma mengagak sudah tentu ada terkait hal yang mustahak. Benar, Cikgu Rosli dijemput oleh penerbit Kata-Pilar ke majlis pengumuman keputusan Hadiah Puisi T. Alias Taib, kerana beliau dimaklumkan secara rahsia sebagai salah seorang pemenangnya. Majlis berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), pada petang 26 Mei.

“Abang pemenang Hadiah Utama, ya?” saya menebak, sekadar ingin tahu.

“Demi Allah, Abang tidak tahu, tak diberitahu begitu.”

Kecuali kami para sahabat akrab di Kelantan, orang lain tidak mengetahui Cikgu Rosli sampai kini tidak pandai memandu kereta. Suatu perkara yang sengaja diabaikan dalam hidupnya. Memiliki dua buah kereta tetapi hanya untuk kegunaan isteri dan anaknya.

Saya menunggu beliau di Hentian Gua Musang. Beliau tiba waktu sudah tengah malam, kira-kira jam 1.30 pagi. Cikgu Rosli menaiki bas ekspres Mutiara selama empat jam dari Kota Bharu ke Gua Musang. Biasanya perjalanan mengambil masa sekitar tiga jam sahaja.

“Jalan sesak ke, Bang?”

“Tidak juga. Baru awal cuti. Cuma pada sesetengah tempat.”

Saya sengaja tidak menempah rumah tumpangan atau hotel, walau telah dipesannya lebih awal. Saya membawa beliau menginap di rumah anak lelaki saya yang kebetulan bersendirian kerana isterinya pulang bersalin di Terengganu.

Subuh hari, saya membuka whatsApp. Terdapat kiriman daripada Cikgu Rosli. Sebuah teks draf puisi. Dikirimkan pada hampir jam 4.00 pagi. Beliau tidak tidur, rupa-rupanya. Apakah Cikgu Rosli tidak tidur itu kerana penginapan yang tidak selesa di situ? Sedangkan rumah anak saya itu ada tiga bilik yang kosong. Dan tiada siapa pun di rumah itu selain anak lelaki saya.

Akan tetapi saya segera teringat, itulah antara sisi peribadi Cikgu Rosli. Beliau pernah mengaku kepada kami rakan-rakan dalam grup whatsApp penulis muda Kelantan Gulai Haruan Daun Kesum, “Abang tak suka tidur. Kalaupun Abang tidur, itu kerana letih. Bukan kerana jadual.”

Ungkapan “Abang tak suka tidur” itu amat kelakar pada saya. Sehingga beberapa hari kemudian lahir sebuah sajak yang saya tulis pasal tidur bertajuk Tiga Spesies Tidur. Saya perturunkan rangkap pertama sajak mbeling ini yang memaksudkan diri beliau.

dia penyair tersohor
dia tidak suka tidur
tetapi dari malam ke pagi
dia setia meniduri
puisi demi puisi

Saya sudah lama mengetahui daripada kalangan sahabat, waktu Cikgu Rosli membaca atau menulis bermula pada jam 2.00 pagi. Tidurnya pula, jam 4.00–6.00 pagi, dua jam sahaja. Antara disiplin lain, beliau membaca tidak kurang tiga buah buku seminggu.

Saya membaca seimbas lalu sahaja kiriman draf puisi itu. Tajuknya, “Gua Musang 26 Mei 23”. Saya sedikit tergugah kerana ada tercatat nama saya di bawah judul sebagai orang yang didedikasikan. Draf puisi itu kelak tentunya ditambah baik lagi oleh beliau. Membaca tajuk itu pun, saya dapat mengagak bahawa tajuk ini mungkin sementara.

Dalam kebanyakan puisi Cikgu Rosli, saya selalu kagum dan tertarik pada judul. Berbalik pada draf puisi yang beliau kirim itu, satu rangkap secara jelas menyerlahkan bahawa beliau begitu “menghayati” suhu dan muka bumi Gua Musang selaku “Tanah Hujung Sederet Bukit” yang baru dilewatinya kala malam, pada malam tadi:

Bukit pada tidur, melupakan
sehari yang telah luluh
seperti daun ditanggalkan
oleh angin, harus jatuh
melengkapkan
noktah,
catatan tanah.

Terbayang sesuatu pula pada saya. Mungkin penyair ini keluar ke halaman, mengamati landskap sekeliling sambil memetik kata rasa untuk memaknakan suasana yang disaksikan. Lebih-lebih lagi, tidak jauh dari rumah penginapan itu ada bukit tersergam, sebagaimana tercetus pada salah satu rangkap draf itu.

Gaya Cikgu Rosli mencipta puisi yang sering saya kesan ialah beliau gemar membariskan keindahan rentak pada hujung rima. Hal ini menjadikan sesebuah puisi itu terasa merdu. Draf puisi kirimannya itu pun lengkap sepenuhnya berentak keindahan rima akhir.

Saya pernah mendengar seseorang mengaitkan Cikgu Rosli sebagai Mozart dalam dunia perpuisian tanah air. Gelaran ini seakan-akan mahu membenarkan definisi puisi sebagaimana yang dinyatakan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, bahawa “puisi adalah muzik bahasa”.

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Refleksi |

Kredit Foto: Nik Radzli/Unsplash

_________________________

Abd. Razak Rezeki Othman atau nama sebenarnya Abdul Razak bin Othman ialah guru Kesusasteraan Melayu Komunikatif Tingkatan Enam, juga merupakan Setiausaha 2 Persatuan Penulis Kelantan. Beliau pernah memenangi beberapa hadiah sastera peringkat nasional, termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2013) dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (2001, 2008 dan 2016). Antara buku yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi Pesan Seorang Luqman (ITBM, 2013) dan kumpulan cerpen Aura Haji Mahar (ITBM, 2015). Beliau ialah Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.02/2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.