4 Januari 2024, 13:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Naim al-Kalantani “merungut” tentang kehilangan citra penulis ikonnya, Roslan Jomel.

Saya nampak Roslan telah berubah banyak dalam penulisannya. Saya masih kurang percaya bahawa jika seseorang penulis itu semakin meningkat dewasa, dia akan semakin ‘mencari Tuhan’.

Tentu kalian ada penulis yang kalian ikuti sepanjang kepengarangannya. Sama seperti saya, saya ada kisah yang panjang dan bersifat peribadi dengan Roslan Jomel. Secara ringkasnya, selepas percubaan membaca Selamat Datang ke Malaywood (ITBM, 2012), saya rasa teruja dengan penulis bernama Roslan Jomel.

Mungkin ketika menjumpai karya tersebut, tidak ada karya realisme magis yang dapat memikat hati saya waktu itu (atau mungkin saya tak pernah jumpa genre sebegitu sebelum ini, saya pun sudah lupa!).

Dunia Malaywood ialah perkenalan pertama saya bersama-sama RJ (juga saya sering menggelarnya sebagai RosJo). Selepas buku itu, saya membeli kesemua bukunya yang pernah diterbitkan. Dan, buku tulisannya yang paling nadir saya miliki ialah Namaku Epal Kuning (DBP, 2010).

Sehingga kini, saya masih “terperangkap” dalam dunia Malaywood. Terkadang, saya menelusuri Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan. Tanah Malaywood ini telah diberikan kesan magis oleh Roslan. Ditambah lagi dengan kemunculan Roden dalam dunia ini yang memang menjadi pujaan hati saya. Malaywood dan Roden juga menjadi watak cameo dalam cerpen yang saya hasilkan untuk keperluan Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif.

Jika tidak keterlaluan—tanyalah mana-mana peminat RosJo, Malaywood dan Roden punya auranya yang tersendiri.

Dalam larutan masa, RosJo mempunyai pengalaman baharu. Mungkin pengalamannya terkumpul hasil berjalan kaki di kota Kuala Lumpur. Dan tentu sekali, pengalaman pembacaannya yang pada awalnya saya persoalkan, mengapa dia membaca topik atau genre sebegitu.

Setiap penulis tentulah mempunyai fasa penulisannya yang tersendiri. Saya perlu faham dan sedar tentang hal tersebut. Fasa penulisan akan berubah mengikut masa dan pengalaman penulis. Itulah yang saya pelajari apabila membaca buku-buku daripada seorang penulis, dan sudah tentu dalam jeda masa penulisan yang berbeza.

Tentu, memang ada penulis yang membaca “di luar” penulisannya. Saya dapat tahu bacaan RosJo, tetapi saya tidaklah mahu sehingga terlepas cakap di sini.

Cuma saya mahu kongsikan bahawa bacaan RosJo sangat mempengaruhi penulisannya.

Mungkin nanti saya berjumpanya di tengah jalan kota raya, beliau tidak lagi bertopi dan berbaju flanel. Mungkin nanti akan berketayap dan di tangan kanannya memegang biji tasbih. Akan tetapi, saya berjanji, jika itu berlaku pun, saya tidak akan menjauhi lebai Roslan Jomel.

Setiap “kumcer” (kumpulan cerpen) Roslan saya ikuti. Jika tersiar cerpennya di ruangan pojok atau eceran, saya cuba membacanya juga. Kalau ada masa lapang, saya akan baca ulasan cerpennya dalam Tunas Cipta. Jika saya sedang menunggu kekasih habis kelas untuk pulang, saya akan membuka JendelaDBP Tunas Cipta, mencari-cari jika RosJo ada menulis rencana atau artikel.

Kemunculan Posmen dalam Televisyen (DBP, 2021) pada mulanya menjadikan saya teruja. Akan tetapi apabila sudah dibaca, saya terkesima. Air wajah RJ saya sudah berubah. Itulah saya menggelarnya sebagai lebai Roslan Jomel.

Saya nampak Roslan telah berubah banyak dalam penulisannya. Saya masih kurang percaya bahawa jika seseorang penulis itu semakin meningkat dewasa, dia akan semakin “mencari Tuhan”.

Cerpen-cerpen RJ dalam kumcer itu banyak yang mencari Tuhan. Jika tidak mencari Tuhan pun, Roslan akan membebel seperti berkhutbah atau berwacana. Adakah roh Faisal Tehrani meresap ke dalam jiwa RosJo?

“Jiwa” Roden dan Malaywood terhakis dalam Posmen dalam Televisyen. Mereka ada, cuma semakin hilang. Dan saya rasa hal ini tidak menyeronokkan.

Usai membacanya, saya teringatkan kata-kata Hishamuddin Rais, “Jangan jadi lebai sebelum kamu dilebaikan.”

Keghairahan saya membaca sudah hilang apabila Roslan Jomel menjadi seorang lebai. Bagi saya, dunia Malaywood sangat besar. Saya masih tidak puas menikmatinya. Mengapa Roslan Jomel menulis perihal agama pula dalam cerpennya?

Memanglah, memasuki daerah agama itu tidak salah, menulis hal itu pun tidak salah. Tiada siapa pun yang melarang. Akan tetapi, saya (mungkin kami) perlukan RosJo yang dahulu. Kembalilah wahai Roslan Jomel! Cukuplah kita perlukan seorang sahaja Faisal Tehrani di negara ini!

Penulis cerpen atau novel tidak perlu menjadi lebai. Biarlah tugas ustaz-ustaz sahaja yang menulis perihal agama dan kepercayaan. Itulah tugas mereka dan jika saya memilih untuk membaca buku agama, saya akan membelek buku-buku ustaz ini dan tidak perlu membelek buku yang bertanda nama “Roslan Jomel”.

Kecewa saya melarat sehingga terbitnya buku Pujangga Kontemporari (Nusa Centre, 2023). Dengan tak fikir panjang, saya terus beli pada hari pertama di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023.

Saya mahu sembuh. Saya cuba mahu hilangkan kekecewaan. Saya rindu pada Malaywood dan Roden. Akan tetapi, dalam kumcer itu juga, sekali lagi Roslan Jomel menjadi lebai.

Banyak perkara yang dibebelnya dalam kumcer yang satu ini. Nama-nama seperti Spinoza, Hawking, Darwin, al-Ghazali, dan petikan-petikan ayat al-Quran merisaukan saya pada pertengahan buku.

Hal itu disambung lagi dengan pelbagai khutbah yang bercampur baur dengan nama Aristotle, tarekat, cerita Nabi Muhammad, Hamid Fahmi Zarkasyi, Adian Husaini, supra-agama, Hamka, Russell, Marx, Nietzsche, dan banyak lagi.

Saya faham penulisan sebegini. Roslan ingin menyatakan ideanya dan idea itu disokong oleh sarjana lain. Akan tetapi, ada di beberapa tempat tampak seperti tempelan sahaja. Gagasan ideanya besar dan terkadang seronok juga dibaca “maklumat tambahan” daripada sarjana-sarjana tersebut. Akan tetapi, apabila sudah terlampau banyak, tiba-tiba bayangan Faisal Tehrani muncul menggantikan Roslan Jomel.

Di manakah hilangnya Roden? Di manakah hilangnya Malaywood? Itulah yang saya cari selama ini. Kini, dua kali saya dikecewakan. Saya memohon dengan penuh takzim, moga Roslan Jomel selepas ini tidak lagi menjadi lebai. Insaflah. “Tanggalkanlah kopiah” dan pakailah topi kembali.

Kumpulan cerpen Posmen dalam Televisyen boleh dibeli di sini.

_________________________

Naim al-Kalantani merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini, dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di tempat yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.