Diterbitkan pada 12 November 2024, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Teluk Intan – Wacana “Petang Condong di Menara Condong” berkenaan penyair, Suhaimi Haji Muhammad akan dibicarakan pada 23 dan 24 November ini di Dewan Alamanda, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) merangkap Ketua Dua Persatuan Penulis Peminat Sastera Perak (PENTAS), Haji Razali Mohd. Yussof, memberitahu acara berkenaan akan dimulakan dengan “Wacana Kepenyairan Suhaimi Haji Muhammad”.

Wacana tersebut akan menampilkan Dr. Mohamad Shahidan, pengkritik puisi; Dr. Zabidin Hj. Ismail, Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk); dan Puan Ratna Laila Shahidin, penyair prolifik sebagai ahli panel.

Dikendalikan oleh Usman Gumanti Ibrahim (PENYAIR) sebagai moderator, tambahnya, Dr. Mohamad akan berbicara pengalaman dengan Allahyarham semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dr. Zabidin pula membicarakan kepenyairan Suhaimi Haji Muhammad, dan Ratna memperkata beberapa pandangan Mohamad Daud Mohamad, Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai, Allahyarham Sasterawan Negara (SN) ke-11, Datuk Dr. Kemala; dan Dato’ Ahmad Sebi Abu Bakar terhadap kepenyairan Allahyarham.

Seterusnya, program ini diteruskan lagi dengan “Permata Puisi bersama SN Dato’ Rahman Shaari”  mengisi slot kedua dan program tersebut akan dikendalikan oleh Dr. Dil Froz Jan Sayed Halem Shah dari PENYAIR,” jelas Razali.

Pada sebelah malamnya pula akan diadakan “Malam Muzikal Puisi Semarak Bangsawan @ Menara Condong”, dari pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.

“Tambah menarik, pada esoknya, iaitu 24 November, para peserta akan dibawa menikmati sarapan di Pulau Bangau dalam program “Santai Puisi River Cruise Pulau Bangau” dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari,” jelas Razali lagi.

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah; AJK Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS), Karyawan Pk, PENYAIR, PENTAS dan GAPENA, serta komposer/penyanyi lagu puisi Ahmad Ramli, dan mantan penyiar RTM Zazmie Zain dijangka turut menghadiri program ini.

Untuk rekod, Suhaimi Haji Muhammad merupakan penyair mapan dan prolifik yang dilahirkan di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, pada 8 Februari 1934. Beliau meninggal dunia pada 3 Januari 2014 di Ipoh, ketika berusia 79 tahun.

Sebelum berkhidmat di DBP, beliau pernah bertugas sebagai guru dan dikenali sebagai penyair sufi dan menulis sajak-sajak kabur.

Suhaimi aktif sepanjang tahun 1951 hingga 2014, walaupun lebih mendominasi sajak dengan 21 buah kumpulan mengandungi kira-kira 1,000 buah sajak pelbagai tema dan bentuk, tetapi Allahyarham turut menulis cerpen. Cerpen pertamanya tersiar dalam sebuah penerbitan di Singapura pada tahun 1950.

Dalam penulisan selain sajak, Suhaimi atau lebih mesra dipanggil Paksu, berjaya menghasilkan tiga buah kumpulan cerpen, sebuah kumpulan kritikan sastera, drama, serta rencana-rencana umum tentang isu kemasyarakatan.

Kebanyakan antologi sajak terawalnya berunsur surealisme, namun begitu, menjelang tahun 2000, sajak-sajak Paksu kelihatan cenderung ke arah unsur sufi atau ketuhanan.

Sebuah daripadanya ialah Simfoni Perjalanan, terbitan DBP Kuala Lumpur pada tahun 1999, yang memuatkan 117 buah sajak penyucian diri daripada nafsu.

Antara kumpulan sajak karya Paksu termasuklah Jalan ke Kotaku (1959), Tulisan di Kamar Tidur (1960), Lain Jiwa Lain Wajah (1960), Kelahiran Seorang Anak (1969), Bunga di Atas Batu (1970), Bumi Hijau (1971), Lilin Seinci (1980), Bulan Purnama (1981), Menganyam Bulan (1983), Siluet (1984), Menterjemah Bintang (1985), Tulang (1986), Alam Anggur (1987), Nyanyian Undan (1991), The Songs of Pelican (1992), Wujud (1996), dan Cintamu Umi (2007).

Semasa hayat dan giat bersajak, Paksu turut menerima pelbagai hadiah dan anugerah. Antaranya ialah Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1971 dan 1987, Hadiah Puisi Berunsur Islam dari Jabatan Perdana Menteri Malaysia (1981), Anugerah Penulis Perak (1987) kerana pencapaian dan sumbangannya dalam karya kreatif dan non-kreatif, Anugerah Penulis Asia Tenggara di Bangkok, Thailand (1995), yang merupakan anugerah berprestij dalam kalangan penulis di rantau negara ASEAN khasnya, Anugerah Yayasan Kesenian Perak (1998) bersempena dengan memperingati Karyawan Perak Sepanjang Zaman, dan Ijazah Kehormat Sarjana Kesusasteraan Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI – 1980) pada Konvokesyen Sidang Kedua 2010.

Kepenyairan dan pemikiran Paksu pernah dibincangkan dan diperkata dalam beberapa seminar tertentu. Antaranya ialah Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali PK di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, anjuran bersama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI, Persatuan Karyawan Perak, dan Persatuan Penulis Budiman, pada 6 Mac 2010.

“Petang Condong di Menara Condong” dengan Kepenyairan Suhaimi Haji Muhammad ini merupakan acara kedua anjuran PENYAIR dalam siri “Kembara Petang Condong” bagi meraikan seorang tokoh penyair yang tidak didendang, sama ada masih hidup atau telah tiada, di setiap negeri di Malaysia.

Acara pertama telah dilangsungkan pada lewat tahun 2023, di Seberang Takir, Terengganu ketika mengenang Allahyarham penyair T. Alias Taib, yang meninggal dunia pada tahun 2004.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi