Oleh Rosli K. Matari
19 Mac 2024, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di tengah-tengah bandar satelit Kubang Kerian yang semakin pesat membangun, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari terpegun, terjumpa pembawa lori balak yang gemar berpantun. Ikuti kisah menarik ini.

Saya merenungnya. Manis wajahnya, walau sudah berusia. Lembut tutur katanya. Tetap tidak berubah sifat peribadinya, sebagaimana pada zaman mudanya, zaman ketika saya masih kanak-kanak dahulu.

Maka kemudian, pada mana-mana hari minggu, ketika saya kebetulan sempat datang dan singgah lagi di kedai kopi Abang Hashim, saya tidak dapat ketemu beliau. Kadang-kadang, saya cuba acap datang, tetapi tidak juga berpeluang ketemu lagi.

“Abang Sof selalu datang. Kadang-kadang, tiap-tiap pagi,” Abang Hashim memberitahu, “tetapi tidak kebetulan masa dengan Cikgu Li.” Kadang-kadang, pada jawapan lain, Abang Hashim mengagak, “Mungkin dia sudah ke bukit.”

Panjang menung saya. Hendak minta tolong tetapkan janji bagi bertemunya, saya sendirilah yang paling tidak berani berjanji. Selalu ada pelbagai hal di sekolah.

Usahkan pagi mengajar, petang pula dengan pelbagai kelas tambahan dan kokurikulum, bahkan biasa sehingga kelas malam pun harus bersedia, jika mungkin untuk membantu ganti, ketika sudah sibuk dengan kelas tambahan.

Apatah lagi, saya memeriksa latihan harian pelajar dan kertas peperiksaan. Semua itu bagai ombak menerpa datang. Selalu saya berkata pada diri, ‘Siapa kata mudah menjadi guru? Siang, malam.’

Sesekali, pada senggang masa, saya selalu terkenang pada salah satu larik daripada pantun beliau, “Dinihari embun pun jatuh.”

Alangkah, indahnya ungkapan itu. Romantik. Namun luas untuk renungan. Sebagai indahnya landskap alam yang bening. Juga sebenarnya, sekali gus melankolik. Jika dapat direnung dan dibayangkan mendalam pada diksi ‘dinihari, ‘embun’ dan ‘jatuh’ itu, cukup merawan hati.

Bahkan, lebih besar maknanya walau selarik sahaja ungkapan itu. Tidakkah jika dihayati dengan mendalam, dapat juga membawa pada keinsafan, ketakwaan? Mengingat pada hakikat bahawa hidup di dunia ini sekejap sahaja. Tiada sampai beratus-ratus tahun. Bahkan, usia sebatang pokok balak, jauh lebih lama daripada usia manusia.

Selarik ungkapan itu menerawangkan saya pada sebuah pantun lain juga – indah dan halus makna yang sudah sedia dikenal dan diketahui daripada warisan orang tua Melayu, iaitu pantun yang berikut:

Tanam halia semalam-malaman,
……………Di barat sahaja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
……………Akhirat jua akan sesungguhnya.

Pada sesekali waktu, jika kebetulan serba-serbi lapang ketika hari minggu, saya tetap cuba datang lagi ke kedai kopi Abang Hashim. Akan tetapi, kerana bagai sekadar mencuba, tetap tidak mudah juga untuk bertepatan masa untuk berpeluang bersua dengan Abang Sof lagi.

Paling saya kecewa, ketika Abang Hashim mengeluh panjang, “Baru saja dia pergi.” Oh! Sepatah itu – suara hati saya. Tidak terkata apa-apa yang boleh menggambarkan rasa kesal, kecewa pada diri sendiri.

“Dinihari, embun pun jatuh.”

Selalu, spontan, larik itu menggema dengung ungkapannya dalam ingatan saya, sendirian di meja, di kedai kopi Abang Hashim.

Juga, beberapa baris lain lagi, termasuk “Kayu bakar dibuat arang”, “Bagai rumah tidak berdinding”, “Baik-baik belayar rakit”, “Tumbuh melata si pokok tebu”, “Buah pala boleh dipetik”, dan “Buah lone (buah nona) di dalam baldi. Semua ungkapan baris itu pernah saya dengar di kedai kopi itu.

Sudah tentu saya tidak mungkin dapat menghafaz untuk mengingat semua pantun yang diungkapkan itu. Lagipun, sebagai sekali lintas sahaja saya mendengar. Lagi pula, agak banyak pantun yang diungkapkan oleh Abang Sof. Semuanya, pantun berlainan.

Ah, “Dinihari, embun pun jatuh.” Luluh sungguh. Hati saya mengeluh.

Di seberang jalan bertentangan dengan kedai kopi Abang Hashim, mega kemodenan dan konkrit kelabu mula memejalkan wajahnya.

Masa berlalu. Sehinggalah akhirnya tiba masa, saya bersara mengajar. Setelah kembali, pulang menetap di Kubang Kerian, rupa-rupanya saya bagai sudah tidak harus menghambat masa untuk mudah pula ketemu Abang Sof. Syukur, alhamdulillah.

Saya tahu dan memerhati ketika dulu itu lagi, Abang Sof tidaklah berlama-lama di kedai kopi Abang Hashim. Sekadar tempoh masa menghirup secawan minumannya.

Beliau hanya akan menutur pantun, jika ada sesiapa yang mencetuskan kata “Abang Sof. Nak dengar pantun, sedikit.” Suara itu tentulah daripada sesiapa yang sudah biasa mengenalinya. Atau, kadang-kadang galak “penaik angin” daripada Abang Hashim sendiri.

Sesekali, Kak Wan sambil menghidangkan nasi berlauk, ikut menyampuk, “Pantun cinta la getek (juga).” Saya gelak. Lucu membayang, pantun cinta untuk orang berumur tua.

Justeru berasa sudah mudah masa untuk terserempak, oleh itu, saya tidak perlu untuk mengejar beliau lagi. Bahkan, saya sengaja melonggarkan masa, tidak bergegas untuk mendokumentasi. Membiarkan saja beliau berpantun.

Saya ingin mendengar lagi ungkap dendang pantunnya. Ingin menyaksikan dan menikmati sepenuhnya akan suasana meriah dan indah berpantun di kedai kopi itu, sebagaimana yang dinikmati oleh para pengunjung yang singgah di situ juga.

Akhirnya, saya mendekati Abang Sof. Bersalaman. “Bang, semua pantun itu, eloknya harus disimpan.”

“Nak simpan macam mana?” Beliau tersenyum panjang, mendongak dari kerusi tempat duduknya, cepat mesra menyambut suara saya.

Beliau membalas kata lanjut lagi, “Orang tua. Rumah kata pergi. Kubur kata mari. Kalau sudah meninggal, pantun itu pun hilang ghaib juga.” Rawan juga hati saya mendengar kata-kata itu. Lebih merawan hati adalah pada ungkapan kata “Pantun itu pun hilang ghaib juga.”

Saya merenungnya. Manis wajahnya, walau sudah berusia. Lembut tutur katanya. Tetap tidak berubah sifat peribadinya, sebagaimana pada zaman mudanya, zaman ketika saya masih kanak-kanak dahulu.

Saya senyum, mengangguk. Memahami isi kata-katanya itu. Bermaksud, usianya sudah lanjut.

Namun pada kias “pantun itu pun hilang ghaib juga” bukan sekadar ingin menerangkan bahawa apabila meninggalnya seseorang penutur pantun, maka hilang lenyaplah pantun yang pernah dilisankan itu. Hal itu juga sebenarnya membawa makna pantunnya sudah tiada sesiapa lagi yang berminat untuk mewarisinya, apatah mengamalkan tradisi lisan itu.

Beliau awal-awal bagai dapat meneka pada bayang hasrat yang tersimpan dalam niat hati saya. Diujarkannya, “Cikgu Li ambil, tulislah, simpanlah.”

Rupa-rupanya, beliau memang sedia mengenal saya. Diingatinya saya, sejak zaman kanak-kanak dahulu lagi, suka bermain di sawmill. “Tak ganggu Cikgu Li sebab tengok dok ralit baca buku,” beliau mengimbas ketika pernah melihat saya berada di kedai kopi Abang Hashim. Saya senyum, gelak. Memang di kedai kopi pun, saya tetap membaca buku.

Langit cerah awan membiru,
……………Dinihari embun pun jatuh;
Sulit sungguh menanggung rindu,
……………Di dalam air badan berpeluh.

Itulah pantun pertama yang diungkapkannya, tertutur di hadapan saya untuk disalin dan disimpan. Masya-Allah. Terkedu. Terharu saya. Bagai diketahui, walau kebetulan, bahawa larik pantun itulah yang selama ini menerawang dalam ingatan, kenangan awal saya pada pantunnya.

Cepat-cepat saya menyalin kerana memang saya sudah bersedia untuk mengambil simpan pantun beliau. Diundur ulang tuturnya, bagi memudahkan saya menyalin, tanpa perlu bertanya-tanya.

Saya pula, sengaja tidak berkata – siap atau sudah disalin – pada mana-mana baris rangkap yang diungkapkan itu. Hal ini penting bagi memastikan salinan adalah tepat. Dengan tutur diundur ulang sendiri oleh beliau, dapatlah saya fokus tepat pada salinan. Sementelah pula, sengaja mahu mendengar suara dan cara tutur pantunnya.

Embun sekarang sudah bercampur dengan segala macam asap.

Sejak itu, setiap kali kebetulan bertemu Abang Sof di kedai kopi Abang Hashim, sambil minum dan berehat, beliau akan berpantun di hadapan saya. Meski, biasanya beliau tidaklah bergegas untuk terus mengungkapkannya. Manakala saya pula menyambutnya dengan senyum, memang selalu bersedia untuk menyalin.

Saya tidak pernah mencuba atau mencadangkan janji bagi tarikh untuk dapat bertemu dengannya, bagi mana-mana hari seterusnya. Hanya, jika kebetulan masa, kami bersama-sama bertemu di situ.“Tengoklah nanti, kalau kebetulan jumpa lagi,” beliau pernah memberitahu begitu, sewaktu hendak melangkah pergi.

Abang Sof

Saya tahu, beliau tidak dapat mengikat dirinya, bagi janji masa bertemu. Beliau masih membawa lori balak, sehingga usianya kini yang sudah menjangkau 70 tahun. Suatu yang cukup mengagetkan saya, memikirkan dan membandingkan kerja tersebut dengan usianya itu.

Namun, alhamdulillah. Dikuniakan oleh Allah tubuh badan yang masih segar-megar. Pada usia sejauh itu, masih mampu gagah membawa lori balak. Atau pada kata lain, sebenarnya, memunggah balak.

“Kalau tidak bergerak, nak makan apa?” katanya, merendah diri, “kita orang miskin.” Beliau enggan disara oleh anak-anaknya. Walaupun anaknya ramai, lapan orang, semua sudah bekerja sendiri. Malahan, limanya anak lelaki.

“Asalkan, anak-anak senang,” tambah beliau, pada maksud tidak ingin mengganggu atau menyusahkan anak-anak yang sudah pun berkeluarga. Isterinya pula, baru meninggal setahun lepas.

Sungguhpun begitu, saya dapat menjangka, beliau bukanlah hidup dengan pendapatan kecil, jika hendak dibandingkan pada zaman mudanya, ketika sebagai buruh sawmill dahulu. Kini, walau sebagai pembawa lori balak, lori itu miliknya sendiri.

“Di sawmill itu, tahun 60-an, gaji abang sebanyak RM2 sehari,” ujarnya, mengenang zaman lalu.

Berdikit-dikit jimat, berserta dengan azam tinggi untuk meningkatkan taraf hidup, akhirnya beliau mampu membeli lori yang dimilikinya itu dengan harga RM35,000, pada tahun 1978.

Sehingga kini, beliau masih meredah bukit bukau di Hulu Kelantan. Lazimnya di Gua Musang dan Kuala Krai, memunggah balak, dibawa keluar ke mana-mana sawmill di Kelantan, terutamanya di Machang. Bahkan juga, sehingga sejauh ke Padang Tengku di Pahang. Beliau masih gagah, mampu memandu jauh.

Lorinya disewa atau dibayar upah oleh para pengusaha balak. Saya tahu, pendapatan itu agak lumayan. Namun dalam sembang, saya tidaklah mengorek sehingga harus mengambil tahu hal keuntungan.

Pernah saya mengusik, “Abang, sambil-sambil bawa lori masuk bukit, berpantun juga?”

Beliau tertawa. “Adalah juga, sekali-sekali. Buat hilang puas. Hibur-hibur hati. Lagipun, umur sudah dimakan tua. Kalau tak berpantun, ulang-ulang, boleh hilang ghaib pantun itu.”

“Pantun cinta, di celah-celah bukit?”

Beliau tertawa lagi. “Ada juga. Kalau di rumah, nak berpantun cinta, marahlah bini.”

Kami gelak. Tentulah jawapan itu bermaksud, sebelum isterinya berpulang ke rahmatullah, walau jawapannya sebagai gurauan.

Meski sudah berusia tua, beliau seorang yang berperwatakan selalu jangok (tampan dan bergaya).

Sentiasa berkopiah, berbaju gumbang (baju Melayu) dan berpelikat atau berseluar. Saya tidak pernah melihat beliau berbaju gumbang yang agak lusuh, kerana sentiasa kelihatan bagai baharu atau berseri. Inilah gaya berpakaian lelaki berumur yang tipikal di Kelantan, walaupun gaya ini kini sudah mulai longgar dek arus perubahan zaman.

Pada setiap pertemuan dan sembang kami, tidaklah sebagai khusus berkaitan pantun sahaja. Sering juga meluas terhadap hal-hal lain. Kenangan hidup. Jerih perih kehidupan. Hal balak. Hal bukit bukau. Pengalaman ngeri. Pengalaman seram. Perbezaan hidup zaman dahulu dengan zaman kini. Semua itu tetap berguna juga untuk pengetahuan.

Pernah saya gelak, berasa lucu sungguh, apabila diceritakannya tentang berapa banyak barang yang boleh dibeli dengan sekeping wang samas, samah atau syiling 50 sen pada zaman dahulu. Di Kelantan, sampai kini pun, sekeping syiling 50 sen disebutkan samas, samah. Warisan sebutan dari zaman lampau, bermaksud sekeping duit sebagai se-emas, satu emas.

Malah, zaman dahulu, ada duit syiling bernilai setengah sen. Saya tercengang mendengar Abang Sof memberitahu, setengah sen itu pun, kadang-kadang masih boleh membeli sehingga dua tiga barangan.

Kemudian, zaman berubah lagi. Makan pagi nasi berlauk hanya 20 sen, sebelum kepada 50 sen. “Pada masa itu, gaji abang kerja di sawmill RM3.50 sehari,” ujarnya. Saya gelak, walau tahu gaji itu berpatutan ketika zaman itu. Kini, sebungkus atau sepinggan nasi berlauk sudah berharga tidak kurang empat ringgit.

“Zaman – dinihari embun pun jatuh,” ujar beliau. Bagai mengambil sempena baris pantun yang beliau tahu, saya memang suka pada pantun tersebut untuk mengenang zaman dahulu itu.

“Tetapi, sekarang pun, embun masih jatuh, semasa dinihari,” saya senyum, menyampuk.

“Embun sekarang sudah bercampur dengan segala macam asap,” tukas beliau.

Kami bersama-sama ketawa.

Pada ketika salah satu pertemuan, saya pernah bertanya, “Semua pantun itu, apakah ada termasuk pantun yang abang cipta sendiri?” Beliau menjawab tidak. “Abang pilih, mana-mana yang pernah didengar dan diingat untuk Cikgu Li simpan,” jelasnya.

Saya bertanya, jika mungkin beliau turut mahir mencipta pantunnya sendiri. Beliau menjawab – Tidak berapa pandai. “Namun, bolehlah kalau sedikit-sedikit hendak cuba karang pantun,” ujarnya, “cuma harus ambil masa, kena fikir.” Saya kagum, beliau menggunakan istilah “karang”.

Beliau menceritakan kisah dan pengalamannya cuba mengarang pantun sendiri. Pernah, terjaga tengah malam. Terfikir akan pantun. Lalu, segera bingkas bangun dan cuba mengarangnya. “Payah juga,” beliau gelak, “walau akhirnya dapat juga karang beberapa buah pantun.”

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Refleksi |

Kredit Foto: Rosli K. Matari

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.