Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – “Pantun teka-teki merupakan sebuah wadah hiburan yang membentuk pemikiran dan menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat terutamanya generasi muda.”
Demikian kata-kata Encik Azimin Daud ketika mengulas sewaktu dalam Program Bicara Karya; Pantun Teka-teki Fikir dan Tafsir, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM), bersempena dengan Pesta Buku Melaka 2023 di Pusat Beli-belah The Shore, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan buah tangan terbaharunya ini seakan memberi nafas baharu dalam menjadikan penulisan berirama tradisi begini dengan garapan santai bersama visual-visual bermakna.
Hal ini kerana buku ini dihadirkan dengan visual doodle yang mampu mendorong pembaca berfikir dan mentafsirkan sesuatu ketika membacanya. Ujarnya;
Selain memberi pemahaman mengenai struktur pantun, buku ini turut memberikan pengetahuan, menambah perbendaharaan kata dan juga istilah tertentu .
Oleh itu, beliau memasukkan perkataan-perkataan jarang digunakan yang diilustrasikan oleh pelukis, iaitu Akhbar Omar dengan tujuan memberikan makna perkataan tersebut secara visual.
Kaedah begini membolehkan pembaca memahami makna perkataan tanpa perlu mencari definisi dalam ayat, sebaliknya hanya disampaikan melalui elemen visual. Pembaca akan berjaya mencipta pantun dalam acuan pantun yang benar-benar menguasai alam.
Selain berbicara tentang buku tersebut, beliau turut berkongsi pengalamannya dalam dunia penulisan, khususnya dalam mengembangkan kemampuan membuat pantun.
Bicara karya ini juga menampilkan Encik Hairul Asraf Abu Husain, atau lebih gemar dikenali sebagai Along Asyraf, yang merupakan penyampai radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka sebagai moderator bagi program tersebut.