Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDi tengah-tengah bandar satelit Kubang Kerian yang semakin pesat membangun, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari terpegun, terjumpa pembawa lori balak yang gemar berpantun. Ikuti kisah menarik ini.
Ketika singgah di kedai kopi ini, saya pernah secara kebetulan, sempat dua tiga kali berpeluang mendengar seorang lelaki yang sudah jauh usia, mengungkapkan beberapa buah pantun. Beliau di hujung meja lain, di hadapan kawan-kawannya. Kadang-kadang, pantun itu dilafazkan kepada anak-anak muda di mejanya.
Langit cerah awan membiru,
_______Dinihari embun pun jatuh;
Sulit sungguh menanggung rindu,
_______Di dalam air badan berpeluh.
Pantun di atas diungkapkan oleh seorang lelaki yang sudah berusia 70 tahun, di sebuah kedai kopi. Kedai kopi itu berhampiran dengan simpang empat utama, lampu lalu lintas, yang kini dinamakan sebagai Persimpangan Tok Kenali. Terletak di tengah-tengah bandar satelit Kubang Kerian, kira-kira 6.4 km dari Kota Bharu.
Membahasakan dirinya dengan panggilan Abang Sof, nama penuh beliau ialah Yusoff Mat. Dilahirkan lima tahun sebelum kemerdekaan tanah air, pada 13 Julai 1953. Berasal dan menetap di Kampung Pulau, sekitar pinggir lingkungan Kubang Kerian.
Kubang Kerian ialah tempat lahir atau asal saya. Saya baru kembali semula ke Kubang Kerian, kira-kira lima tahun lepas, iaitu setahun awal sebelum genap usia bersara wajib sebagai pendidik.
Hampir 20 tahun, saya meninggalkan daerah tempat asal ini. Selepas meninggalkan sekolah swasta Akademi Kenali di Kubang Kerian, saya berkhidmat dengan Yayasan Islam Kelantan pula dengan mengajar di Maahad Amir Indra Petra. Maahad itu terletak di daerah Bachok, lantas menetap di sana, tanpa perlu untuk berkejar berulang-alik, walau tidaklah jauh sangat.
Namun begitu, saya biasa pulang, menjenguk kedua-dua orang tua dan adik-beradik. Apabila pulang, sudah menjadi kebiasaan, saya akan singgah di sebuah kedai kopi yang dikenali sebagai kedai kopi Abang Hashim.
Inilah kedai kopi tertua di bandar Kubang Kerian yang masih tinggal. Sebagai saki-baki zaman dari sekitar hujung dekad 60-an lalu, semenjak saya masih lagi kanak-kanak. Dahulu, disebutkan kedai kopi Pak Ya (Zakaria), iaitu gelaran nama bapa Abang Hashim.
Andai majlis daerah tempatan dan kerajaan negeri cakna pada kepentingan sejarah tempatan, kedai kopi tertua ini bolehlah terus kekal di sini, sekiranya tidak diganggu oleh perubahan pesat pembangunan.
Namun di seberang jalan, mendepani kedai kopi Abang Hashim, kini tampaknya sudah bermula tapak mendirikan cerucuk konkrit, yang kelak akan tersergam kondominium mewah lebih 40 tingkat, mercu tertinggi di Kelantan nanti.
Ketika singgah di kedai kopi ini, saya pernah secara kebetulan, sempat dua tiga kali berpeluang mendengar seorang lelaki yang sudah jauh usia, mengungkapkan beberapa buah pantun. Beliau di hujung meja lain, di hadapan kawan-kawannya. Kadang-kadang, pantun itu dilafazkan kepada anak-anak muda di mejanya.
Sesiapa pun akan tertarik mendengar, walaupun anak-anak muda. Mereka akan terpegun sejenak. Justeru, terutama tidak mudah lagi kini untuk mendengar pantun dituturkan, secara spontan di hadapan khalayak. Mereka benar-benar tampak seronok mendengar, menikmati, ingin memahami, malah mungkin menghayati.
Beberapa buah pantun akan dituturkan oleh lelaki yang sudah berusia itu. Kadang-kadang bagai dendang, berintonasi.
“Lagi …”
Selalunya begitu. Sesiapa yang mendengarnya akan memintanya agar diteruskan dengan beberapa buah pantun lain.
Saya ikut tersenyum. Dengan beberapa perasaan. Geli hati kerana berasa lucu mendengar suara benar-benar begitu mendesak, meminta ulang atau diteruskan. Namun selepas itu, nescaya diri yang diam ini juga akan terus mendesak ingin mendengar pantun yang lain lagi.
Kami bagai tidak jemu-jemu mendengar pantunnya. Kebanyakan pantunnya belum pernah didengar atau diketahui. Di samping itu, saya berasa kagum kerana lelaki yang sudah berusia itu mahir benar berpantun, malah begitu fasih dan lancar.
Hal yang menjadikan saya lebih terpegun ialah beliau begitu arif untuk tidak gopoh pada kaedah mengungkapkan pantun. Beliau pandai untuk berhenti sejenak pada jarak ruang wakaf (jeda) di tengah-tengah baris pantun. Memang begitulah cara yang benar, tepat dari segi kaedah melafazkan pantun.
‘Alang-alang ini,’ ujar hati saya, terpikat kagum pada cara berpantunnya. Ketimbang, sesetengah lafaz pantun yang biasa saya dengar, tidak mahir untuk mengutamakan kaedah dan tertib pengucapan. Lurus bagai kereta api sahaja. Tiada serinya, khususnya pada seni keindahan pengungkapan pantun.
Tutur suaranya pula, lembut, halus, sekali gus menunjukkan bahawa beliau seorang yang berpekerti tertib dan bersopan santun.
Hal yang lebih membuatkan saya termenung ialah – merenung dan membanding pada perubahan pesat zaman, bahawa kini sudah tidak mudah lagi untuk menemukan orang tua yang gemar mengungkapkan, atau pandai mencipta pantun, sekalipun jika di desa.
Apatah lagi, dalam suasana di tempat saya, situasi bandar di Kubang Kerian yang sudah semakin meluru membangun. Sementelah, bandar ini kini sudah pun ditingkatkan taraf dan diisytiharkan sebagai Bandar D’Raja Muhammadi.
Kami bagai tidak jemu-jemu mendengar pantunnya. Kebanyakan pantunnya belum pernah didengar atau diketahui. Di samping itu, saya berasa kagum kerana lelaki yang sudah berusia itu mahir benar berpantun, malah begitu fasih dan lancar.
Getus saya dalam bisik hati sendirian, ‘Siapa kata, pantun tidak pernah menawan hati?’
Saya merenung pada situasi khalayak di kedai kopi Abang Hashim yang sejenak terpegun, minat menyediakan diri untuk mendengar pantun.
Apabila beliau berpantun, saya memerhati sekeliling, dan mendapati semua – sesiapa sahaja di mana-mana meja – akan terhenti menghirup minuman. Meletakkan cawan. Meletakkan sudu. Atau, terhenti menyuap nasi berlauk. Wah! Menumpu sepenuh perhatian.
Bahkan, orang yang datang membeli nasi berlauk bungkus, sekalipun sudah siap dibungkus oleh isteri Abang Hashim, Kak Wan, tidak akan bergegas pergi. Mereka menunggu, walau sejenak, untuk sempat mendengar dua tiga buah pantun itu. Atau terpaku, menunggu pada tambahan pantun lain lagi. Jelas sekali, mereka kagum.
Mereka mendengar sepenuhnya. Menikmati, menghayati. Mengangguk, senyum. Atau, kemudian tergelak-gelak, jika yang diungkapkan itu pantun berunsur lawak. Kalangan wanita pula, tersipu-sipu, jika kebetulan pada mana-mana pantun itu terkena sebagai sindiran atau tempelakan terhadap golongan mereka.
Begitu sekali, menarik dan menawannya mendengar pantunnya di kedai kopi. Pada zaman yang kini, tidak mudah berpeluang ditemui lagi, suasana indah, meriah pantun, dalam suasana spontan sedemikian. Terasa di juring hati saya, kalaulah keindahan ini dapat digambarkan, diabadikan pada lukisan.
Saya berhasrat untuk mendekati dan mengenali beliau. Lebih berhasrat lagi ialah ingin mencatat dan merakamkan pengucapan pantunnya. Tentu berguna, malah dapat disimpan abadi sebagai dokumentasi. Terutama kelak, pada apa-apa kepentingan penyelidikan dan kajian warisan bangsa yang wajar kekal. Besar faedahnya.
Namun begitu, saya terkekang pada dua tiga kali peristiwa beliau berpantun.
Sehabis sahaja berpantun, beliau bergegas pergi. Malah, baik hatinya, meletakkan wang, membelanjakan makan minum sepenuh meja itu. Maka, lebar panjanglah senyuman anak-anak muda, berterima kasih kepadanya.
Pada sisi saya pula, jika hendak terus menahan beliau pergi, terasa tidak sopan pula. Segan, sementelah kerana tidak mengenalnya rapat. Tambah lagi, mungkin beliau sudah ada urusan lain.
Saya bertanya kepada Abang Hashim “Siapa?” sesudah orang tua itu cepat melangkah pergi.
Abang Hashim menjawab, namun bagai menduga saya, “Takkan tak kenal? Tak ingat? Dia …”
Abang Hashim membawa saya menelusur ingatan jauh. Masa dahulu.
Namanya Abang Sof. Bekerja di sawmill. Kami di Kubang Kerian, kilang kayu balak disebut sebagai “sawmill”. Dia lama bekerja di situ. Sejak seawal usia muda. Buruh. Kemudian, pembelah kayu balak di mesin. Seterusnya, pembawa lori balak.
Oh. Zaman saya bersekolah rendah … Mujur juga, tidaklah semua perkara pada zaman kanak-kanak akan lesap daripada ingatan. Termasuklah sawmill itu. Memang tidak asing, tidak terlupakan, walau sawmill itu kini sudah lama tidak wujud. Tapaknya pun sudah penuh dengan banglo-banglo mahal.
Saya ingat benar, sebahagian tempat yang menjadi kawasan seronok bermain petang bersama-sama kawan-kawan ialah di kawasan sawmill itu. Selalunya, selepas asar, bagi mengelak panas kerana kawasan itu lapang terbuka.
Walaupun ada tempat yang teduh, iaitu bangsal besar tempat simpanan kayu, jarang-jarang kami bermain di situ. Takut menggelongsor pula susun timbun papan, ular, serangga berbisa, atau kadang-kadang dimarahi orang tua.
Kami seronok mencongak jumlah balak. Kami berani bermain dengan meniti di atas balak (sesekali dilarang atau dihambat oleh pekerja), bermain “abuk gergaji” (abuk kayu balak) dan melihat balak dibelah oleh mesin gergaji besar.
Malah, kami menduga-duga, “Bagaimana rupa buah balak?”, “Sedap atau tidak buahnya?”
Kami pernah juga menyangka, tentu buahnya sebesar tong sampah. Bunganya pula, besar sedepa. Tergelak-gelak saling meneka dan mengagak jawapan yang tidak pun pernah kami tahu.
Ketika itu, kami tidak mengetahui, sebenarnya balak boleh sahaja daripada pelbagai jenis pokok, asalkan batangnya besar. Maka, dikatakan “balak” hanyalah sekadar sebutannya sahaja.
Paling seronok, jauh-jauh kami dapat melihat batang balak, sebegitu besar, entah berapa pemeluk, merudum dan berdegum dilepaskan terjun dari lori “setewong”. Lori itu tampak buruk tetapi gagah. Bergegar tanah dihempap balak. Bagai hendak gempa bumi.
Pernah kami terperanjat. Seekor musang besar, bersembunyi tidur tidak jauh dari tempat itu, melenting dan berkeriau kerana begitu terkejut. Bagai sasau, nanar lari. Lintang-pukang, susup-sasap. Takut benar mendengar balak berdegum-degum menghempap tanah, bertalu-talu. Kami ketawa terkekeh-kekeh, melihat gelagat musang itu. Bagai tolol siang hari.
Saya cuba mengingat. Cuma tidak dapat mencerap pada nama beliau – Abang Sof. Kemudian, dapat saya ingat. Memang beliau. Antara pembawa lori balak itu.
Lelaki itu berbadan sasa. Dapat saya ingat wajahnya, pada zaman mudanya dahulu. Beliau berwajah manis. Lembut sopan. Suka senyum kepada kami, kanak-kanak. Tidak mengherdik marah. Cuma, sering kata-katanya kepada kami ialah, “Main jauh-jauh, Awang. Jangan dekat sangat. Sini banyak marabahaya.”
Itulah pertama kali, saya mendengar sebutan kata ‘marabahaya’. Biasa didengar hanyalah perkataan ‘bahaya’ sahaja.
Memang, beliaulah.
Sifat peribadinya yang lembut sopan tutur kata dan berwajah manis, tetap kekal sehingga usia tuanya. Masya-Allah. Saya sama sekali tidak menyangka, beliau gemar dan mahir menuturkan pantun. Malah, bukan sedikit pantun dalam ingatannya.
Saya benar-benar berhasrat ingin mencatatkan dan mengumpulkan pantun-pantunnya, daripada akhirnya hilang begitu sahaja.
Baca Bahagian Kedua dan Ketiga Refleksi |
Kredit Foto: Rosli K. Matari
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.