Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanting – Tiga penyair mapan dipilih untuk menerima Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) 2025 pada Hari Puisi Nasional (HPN) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga 13 Julai bertempat di Hotel Villea Morib.
Penyair tersebut ialah, Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, penerima SEA Write Award (Malaysia) 2005, Sdr. Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), dan Sdr. Wan Ahmad @ Wan Adnan Wan Daud (Wadi Leta S.A.).
Memetik sebuah laporan berita, pemilihan itu sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar hayat kepenyairan yang panjang, di samping pembabitan aktif mereka dalam kegiatan GAPENA.
Siti Zainon ialah seorang penyair, ilmuwan dan pengkaji seni budaya yang banyak menghasilkan buku ilmiah dalam bidang seni lukis, tekstil busana, reka bentuk seni Alam Melayu, malah telah terlibat dengan kegiatan seni budaya sejak tahun 1970-an bersama-sama Anak Alam.
Berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang seni lukis, penulisan, kebudayaan dan warisan Melayu, kegiatan beliau diiktiraf dengan pelbagai anugerah, antaranya termasuk Hadiah Sastera Malaysia (1976 – 2015), SEA Write Award (1989), anugerah Gelar Chut Nyak Fakinah, Aceh (1990), Prof. Luar Biasa, Universiti Jabal Ghafur Acheh Pidie (1996), Hadiah Wanita Evon-Tan Sri Fatimah, dan Anugerah Budayawan Selangor dan Daerah Gombak.
Abdul Ghafar pula penyair kelahiran Selangor yang pernah menjadi rakyat Malaysia pertama menjadi penulis tamu di International Writing Program, School of Letters, Universiti of Iowa, Iowa City, Iowa, Amerika Syarikat pada tahun 1974.
Beliau menulis dalam beberapa genre sastera termasuk puisi, drama, sketsa, wawancara, esei, dan rencana, selain dikenali sebagai seorang pelukis.
Puisi Abdul Ghafar pernah diterbitkan dalam bentuk antologi pada peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa, di samping pernah terpilih bersama-sama penulis lain sebagai bahan kajian buku teks Sekolah Menengah, Sijil Pelajaran Malaysia, dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.
Manakala Wan Ahmad atau Wadi Leta S.A. ialah seorang aktivis seni yang tidak asing di Kelantan, yang pernah menjadi pembimbing penulisan puisi dan juri deklamasi puisi peringkat negeri berkenaan.
Selain puisi, beliau juga menulis kira-kira 50 buah cerita kanak-kanak dan lebih 100 buah esei.
HPN kali ini buat pertama kali diadakan bersama-sama Hari Puisi Kebangsaan dengan tema “Manusiawi dalam Puisi” anjuran GAPENA dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Objektif penganjuran HPN bertujuan bagi memasyarakatkan puisi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan melestarikan peranan puisi dalam pembinaan bangsa yang bertamadun.
HPN mula diperkenalkan sejak tahun 1971 dan kali terakhir diadakan adalah pada tahun lalu bertempat di Alor Setar, Kedah.