Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Majlis Sambutan Hari Puisi Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Kelima yang berlangsung pada 12 dan 13 Jun 2025 di Universiti Utara Malaysia (UUM) menghargai jasa figura penting dalam lapangan kesusasteraan tanah air.
Dalam majlis sambutan yang dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, dua orang tokoh puisi diberikan anugerah atas komitmen dan sumbangan mereka memartabatkan sastera, khususnya dalam genre puisi.
YBrs. Encik Samsudin Ahmad@Pak Din menerima Anugerah PEMUISI negeri Kedah manakala YBrs. Encik Wan Aziz Wan Hamzah menerima Anugerah Tokoh Permata Budi PEMUISI.
Majlis sambutan anjuran bersama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan UUM yang mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini turut memberikan penghargaan kepada YBhg. Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (Anugerah Tokoh Pemuisi Sepanjang Hayat), YBhg. SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan (Anugerah Tokoh Ikon Pemuisi Malaysia), dan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin (Anugerah Tokoh Pejuang Puisi Malaysia).
Sepanjang dua hari tersebut, pelbagai program sastera berlangsung termasuklah pertandingan deklamasi sajak, forum sasterawan, sesi bedah buku, dan Malam Puisi MADANI yang menjadi acara kemuncak.
