Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  OPERA, pertubuhan yang membabitkan alumni program Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) sentiasa mengalu-alukan pembabitan dan kerjasama daripada semua penulis dalam menggerakkan sastera.

Presidennya, YBrs. Sdr. Muhammad Lutfi Ishak berkata, secara umumnya, OPERA ialah ruang selamat untuk alumni dan pengarang berkongsi idea dan harapan untuk membangunkan sastera.

Muhammad Lutfi Ishak

Dalam forum sempena Hari MASTERA minggu lalu, Muhammad Lutfi ketika ditanya oleh pemudah cara, Sdr. Mohd Nazmi Yaakub mengenai OPERA berkata, sejak Bengkel Penulisan MASTERA dimulakan sejak tahun 1997, jumlah alumninya sejak tahun 2024 sudah berjumlah ratusan orang, dengan Malaysia merekodkan sekitar 80 orang.

“Kebiasaannya, bekas peserta hanya kembali sebagai alumni, tanpa wujud sebarang mekanisme yang menyatukan mereka atau menyediakan ruang untuk bersama-sama menggembleng tenaga demi kemajuan sastera,” ujarnya dalam forum yang turut disertai oleh Naib Presiden OPERA, Sdri. Hafizah Iszahanid.

Muhammad Lutfi berkata, OPERA akan membuka langkah awalnya pada 23 Ogos menerusi Festival Sastera OPERA mengalu-alukan kedatangan semua lapisan masyarakat.

“Program sulung OPERA pada 23 Ogos nanti, umpama lagu kumpulan Nirvana, Come as You Are, sebab kami mahu menjadi ruang tengah, buat semua bertemu dan mengisi kekosongan dalam sastera,” katanya

Festival Sastera OPERA yang bertajuk Opera sebagai Benih: Ingatan kepada Rumah Kita turut menganjurkan sesi bacaan dan perbualan dengan penerima SEA Write Award 2010, Zaen Kasturi.

Sementara itu, Hafizah dalam acara sama menyebut, sejauh mana OPERA akan sama-sama membangunkan penulis dan sastera menyifatkan, setiap orang yang terbabit dalam kegiatan sastera, mempunyai cita-cita serupa.

Namun untuk mempunyai satu jawapan yang pasti, hal itu masih sukar dibuat.

“OPERA membuka ruang, dan setiap pengarang dijemput untuk membangunkannya, sama ada mereka alumni MASTERA atau sebaliknya,” katanya.

Memetik tulisan Muhammad Lutfi dalam media sosialnya, beliau menyifatkan OPERA sebagai “satu biji benih”.

“Sebagai biji benih, maka, di dalamnya ada satu potensi. Sebab itu saya sengaja menjemput semua orang, sesiapa saja yang ingin membantu dan melihat biji ini tumbuh dan kelak mengeluarkan buah, datanglah. Kita semai dan pupuk bersama-sama,” katanya.

Untuk rekod, Festival Sastera OPERA akan berlangsung pada 23 Ogos 2025 di Dewan Bahasa dan Pustaka bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam yang membabitkan empat sesi siri perbualan dengan penulis, penterjemah dan editor, manakala sesi malam bermula pada jam 8.30 malam yang dikhususkan untuk bacaan karya dan perbualan bersama-sama Zaen Kasturi.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharudin dan Za'im Yusoff
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi