Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAhmad Farihan Abdul Manan menampilkan bagaimana perubahan neurokimia, teknologi digital dan sistem pendidikan mempengaruhi cara manusia berfikir, membaca dan membina makna kehidupan.
Di sinilah lahir satu paradoks zaman moden, iaitu kita hidup dalam limpahan maklumat, tetapi semakin miskin keupayaan memberikan perhatian …
Hari ini kita hidup dalam zaman satu ayat panjang di halaman buku dianggap sebagai memenatkan, malah satu perenggan tanpa gangguan visual terasa keterlaluan. Jari lebih pantas menatal daripada mata mentafsir maksud. Bukan kerana manusia hari ini malas berfikir, tetapi kerana cara otak dilatih telah berubah. Setiap notifikasi, setiap video pendek, setiap kemas kini segera membentuk satu kebiasaan baharu, iaitu kebiasaan menginginkan kepuasan tanpa penangguhan.
Akibatnya, membaca teks sastera sering terhenti di tengah jalan. Novel dibuka lalu ditinggalkan. Esei dimulakan tetapi tidak diselesaikan. Soalannya bukan lagi sama ada manusia suka membaca atau tidak, tetapi sama ada otak masih mampu bertahan untuk membaca dengan sabar sehingga menuju titik penamat.
Fenomena ini bukan hanya isu budaya, tetapi berkait rapat dengan neurokimia dopamin. Dopamin ialah sejenis bahan kimia dalam otak yang berfungsi sebagai pengantara sistem ganjaran dan motivasi manusia. Ia sering disalah anggap sebagai “hormon keseronokan”, sedangkan peranannya lebih kompleks. Dopamin tidak hanya sekadar membuatkan kita berasa seronok, tetapi lebih penting, ia membentuk jangkaan terhadap ganjaran. Apabila otak menjangkakan sesuatu yang menyeronokkan akan berlaku, dopamin dilepaskan untuk mendorong kita bertindak.
Dalam konteks kehidupan moden, rangsangan digital seperti notifikasi, tanda suka, video pendek, dan kemas kini media sosial mencetuskan pelepasan dopamin secara kerap tetapi kecil. Setiap rangsangan memberikan isyarat kepada otak bahawa satu ganjaran sedang atau akan diterima. Lama-kelamaan, otak menyesuaikan diri dengan corak ini dan mula menginginkan kepuasan yang cepat serta berulang.
Kesan neurokimia ini menjadikan aktiviti yang memerlukan tumpuan jangka panjang seperti membaca teks sastera atau menulis dengan mendalam terasa lebih sukar. Bukan kerana aktiviti tersebut kurang bermakna, tetapi kerana hal itu menangguhkan ganjaran. Otak yang telah terbiasa dengan dopamin segera cenderung resah apabila ganjaran tidak muncul dengan cepat.
Dalam erti kata lain, dopamin mempengaruhi cara manusia memberikan perhatian. Apabila sistem dopamin dilatih untuk bertindak balas terhadap rangsangan pantas, keupayaan untuk bertahan dalam proses perlahan menjadi semakin lemah. Inilah sebab mengapa dalam zaman digital, masalah perhatian bukan semata-mata isu disiplin, tetapi berkait rapat dengan biologi otak itu sendiri. Di sinilah lahir satu paradoks zaman moden, iaitu kita hidup dalam limpahan maklumat, tetapi semakin miskin keupayaan memberikan perhatian.
Dalam ekonomi perhatian, fokus manusia menjadi sumber yang diperebutkan. Algoritma tidak bekerja untuk mendidik kita berfikir lebih dalam, tetapi untuk memastikan kita terus berada dalam kitaran rangsangan. Sastera pula bergerak dengan logik yang bertentangan. Prosesnya tidak memikat dalam beberapa saat pertama, tidak menawarkan ganjaran segera. Urusannya menuntut penangguhan, penyesuaian dan kesetiaan terhadap proses membaca.
Dari sudut sains kognitif, membaca teks sastera melibatkan tumpuan berpanjangan dan pemprosesan makna yang kompleks. Usaha ini mengaktifkan rangkaian neural yang berkait dengan empati, imaginasi dan refleksi. Hal ini berbeza dengan kandungan segera yang melatih otak untuk melompat dari satu rangsangan ke rangsangan lain tanpa sempat membina makna mendalam. Maka, membaca sastera sebenarnya ialah latihan neurologi untuk menahan godaan kepuasan segera.
Namun di sinilah letaknya ketegangan yang jarang-jarang dibicarakan. Sastera hari ini tidak kalah kerana miskin nilai, tetapi kerana menuntut sesuatu yang semakin asing yakni kesabaran. Dalam dunia yang memuja kepantasan, kesabaran bukan lagi sifat neutral sebaliknya menjadi tindakan yang melawan arus. Membaca teks panjang kini seolah-olah satu bentuk keengganan untuk tunduk sepenuhnya kepada logik dopamin segera.
Atas sebab itu, sastera sering dituduh tidak praktikal, terlalu berat, atau tidak relevan. Tuduhan ini sebenarnya mendedahkan keadaan pembaca, bukan kelemahan sastera. Apabila keupayaan memberi perhatian semakin menipis, apa-apa sahaja yang memerlukan masa akan dianggap membebankan. Dalam konteks ini, sastera bukan gagal, sebaliknya berfungsi sebagai cermin yang memantulkan krisis perhatian manusia moden.
Membaca sastera sebenarnya ialah latihan neurologi untuk menahan godaan kepuasan segera …
Kolum sastera dalam majalah seperti Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka wajar dibaca bukan sebagai ruang nostalgia, tetapi sebagai medan wacana yang mempertahankan nilai membaca secara mendalam. Penerbitannya bukan bertujuan untuk bersaing dengan kelajuan media digital, tetapi menawarkan alternatif iaitu pengalaman berfikir yang tidak tergesa-gesa, pengalaman makna yang tidak boleh diringkaskan.
Mungkin kita tidak mampu menghentikan dunia daripada terus mempercepatkan diri. Skrin akan terus bercahaya, dan notifikasi akan terus memanggil perhatian. Namun begitu, kita masih boleh membuat pilihan kecil tetapi signifikan seperti membaca sehingga habis satu halaman, satu esei mahupun satu karya. Dalam tindakan kecil itu, otak dilatih semula untuk bertahan, menangguh dan memahami.
Jika pada awalnya zaman ini membentuk manusia yang sukar membaca, maka sastera hadir bukan untuk mengalah, tetapi untuk membina semula keupayaan itu. Usaha ini tidak menjanjikan keseronokan segera, tetapi menawarkan sesuatu yang lebih mendalam, iaitu keupayaan untuk berfikir tanpa tergesa-gesa.
Dan, mungkin di situlah peranan sastera yang paling mendesak hari ini. Sastera bukan hanya menyampaikan cerita, tetapi melatih manusia agar tidak sepenuhnya diperintah oleh dopamin.
Jika perhatian ialah medan perebutan zaman ini, maka membaca sastera sehingga selesai ialah satu bentuk keteguhan yang senyap dan itulah kicau paling bermakna yang masih mampu kita suarakan.
_________________________
Ahmad Farihan Abdul Manan ialah guru mata pelajaran Kimia di sebuah sekolah menengah dan penulis puisi serta rencana yang meneliti pertembungan antara sains, sastera dengan budaya moden.