Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLokman Hakim meneliti persoalan moral dan etika dalam kepintaran buatan yang menyerupai manusia yang menulis.
Selaku pengarang atau dalam konteks diri selaku manusia, sewajarnya ada semacam maruah ataupun kebanggaan dalam diri supaya tidak dialahkan oleh kepintaran buatan.
Dalam anime Kaiju No.8, penonton disajikan dengan idea penggunaan sut pakaian berteknologi yang mengaplikasikan kekuatan kaiju terhadap pengguna pakaian, lantas memberinya kekuatan yang melangkaui kebolehan manusia biasa.
Namun begitu, senario itu tidak terpakai terhadap Superman, apabila pakaiannya yang ketat membalut otot itu bukanlah berfungsi memberinya kekuatan luar biasa. Pakaiannya hanya berfungsi untuk meleraikan perwatakan seorang individu kepada dua – yakni Clark Kent dan juga Kal-El.
Mutakhir ini, berdasarkan pengamatan, bilangan pengarang prolifik agak meningkat. Kerja-kerja terjemahan juga ligat dilakukan. Saya terlibat dalam penilaian cerpen remaja dan juga cerpen pelajar sekolah menengah untuk beberapa sayembara penulisan. Sering kali saya menemukan cerpen mentah dan ada juga yang begitu baik, terlalu terkehadapan daripada tahap usia dan latar belakang penulisnya.
Saya tertanya-tanya, adakah terdapat penipuan di sini? Kini, penulisan karya kreatif boleh diciptakan melalui ChatGPT dan aplikasi setaranya.
Justeru, seiring dengan kemajuan teknologi, saya merenung kembali fungsi ChatGPT selaku pembantu utama dalam penghasilan karya sastera. Saya menggunakan ChatGPT ketika menyediakan modul kursus kontraktor kerja jambatan dan jalan kerana saya percaya aplikasi ini tidak menuntut kreativiti dan sentuhan manusiawi. Fasilitator bengkel ketika itu juga secara terang-terangan meminta para peserta bengkel untuk menggunakan ChatGPT untuk menyiapkan modul-modul tersebut. Kesuntukan masa dan juga keperluan untuk menyiapkan modul yang boleh diguna pakai dalam waktu terdekat menuntut para penulis modul untuk menggunakan teknologi sebaik mungkin.
Saya cuma harus pintar menggubah pertanyaan demi pertanyaan yang akan dijawab oleh kepintaran buatan atau dalam erti kata mudah, menulis prompt. Selaku pengarang kreatif, menulis prompt yang berkesan untuk menghadirkan teks yang dikehendaki agak mudah. Berdasarkan pengalaman kerja selama berbelas tahun dalam industri pembinaan, saya menyemak semula keseluruhan teks yang disediakan oleh ChatGPT demi memastikan maklumat yang disuguhkan itu seiring dengan senario sebenar dalam dunia pembinaan di Malaysia.
ChatGPT, andai kata digunakan dalam versi berbayar, ia boleh dimuat naik dengan bahan penulisan seseorang pengarang untuk kepintaran buatan membuat analisis lantas menyerap gaya penulisan seseorang itu untuk diaplikasikan. Sebagai contoh, aplikasi ini boleh digunakan untuk menterjemah karya klasik dengan menggunakan laras bahasa pengarang yang dikehendaki. Bayangkan, ambil sebuah novel klasik – sebagai contoh, Dracula karya Bram Stoker. Muat naik keseluruhan teks asal novel tersebut ke dalam ChatGPT dan muat naik juga beberapa contoh tulisan pengarang yang hendak ditiru gaya bahasanya untuk dianalisis. Setelah itu, bolehlah dikerah ChatGPT untuk menterjemah teks asal novel itu ke dalam bahasa yang pengarang gunakan.
Hasilnya? Laras bahasa yang agak mengejutkan kekemasannya. Pastilah ada ayat yang tunggang-langgang. Namun begitu, usaha memperbetulkan ratusan ayat yang tunggang-langgang tetapi masih utuh maknanya itu serasanya lebih mudah daripada membuat penterjemahan secara tradisional, lebih-lebih lagi setelah tenaga otak diperah sehabis mungkin untuk mencari perkataan-perkataan yang sesuai untuk digandingkan dengan perkataan-perkataan dalam bahasa asing.
Bagaimana pula dengan penulis prolifik? Saya boleh mengambil contoh diri saya sendiri yang telah menghasilkan puluhan cerpen dan novel. Saya muat naik bahan-bahan penulisan yang saya hasilkan lalu meminta ChatGPT membuat analisis gaya kepengarangan saya. Dan saya boleh meminta ChatGPT untuk menghasilkan karya yang saya ingini dengan sekadar suatu arahan prompt yang rinci.
Tanpa moral dan rasa bangga diri seorang manusia, seseorang itu akan mengambil tindakan-tindakan yang saya sarankan itu lalu menghasilkan karya demi karya dan menghantarnya ke media untuk disiarkan. Pastilah para editor majalah dan portal media kreatif yang harus menyemak karya-karya yang dihantar untuk disiarkan dan dibukukan ini akan mendepani kesukaran, lebih-lebih lagi untuk mengenal pasti hasil karya para penulis prompt yang arif akan potensi aplikasi itu.
Selaku pengarang atau dalam konteks diri selaku manusia, sewajarnya ada semacam maruah ataupun kebanggaan dalam diri supaya tidak dialahkan oleh kepintaran buatan. Dan, kita selaku manusia harus memahami bahawa kepintaran buatan tidak mengguna pakai pengetahuan baharu melainkan yang sudah sedia ada dimuat naik ke alam maya. Maka, dari segi kreativiti, hal ini bukan lagi isu sama ada kepintaran buatan itu boleh diguna pakai kerana ia mirip dan dapat meniru kreativiti manusia – tetapi lebih kepada isu keengganan manusia untuk membenarkan dirinya diganti oleh kepintaran buatan.
Sastera sepatutnya menjadi suatu alat untuk manusia menemukan dirinya sendiri, lantas membentuk sahsiah yang lebih baik selaku manusia. Malangnya, setiap orang menjadi pengarang dengan hasrat yang berbeza-beza. Bagi yang mahu menempa nama dalam arus kesusasteraan negara, barangkali dia akan melihat teknologi ini selaku jalan pintas untuk tekal berkarya saban tahun.
Mengesampingkan isu maruah dan kebanggaan diri, terbit suatu pertanyaan: sejauh manakah kepintaran buatan mampu meniru kreativiti manusia? Roh kepengarangan, sesuatu yang tidak boleh ditiru tetapi tidak semua pembaca dapat mengenal pastinya. Tidak mudah juga mahu menjelaskan bagaimana mahu mengecam tulisan yang dihasilkan oleh ChatGPT. Hal ini menuntut suatu pemahaman cara ChatGPT bekerja dan juga bagaimana pengarang kreatif bekerja.
Saya melihat ChatGPT selaku alat yang merakam pengetahuan manusia sedia ada sekali gus mengadunnya sebaik mungkin berdasarkan apa-apa jua kemungkinan yang terhitung secara matematikal – maka, ia harus dilihat selaku alat untuk menapis sebarang ketidaktulenan dalam perolehan idea mahupun garapan karya. Dalam erti kata lain, pengarang yang punya kebanggaan peribadi pada sentuhan manusiawinya dalam pengkaryaan akan memastikan idea-ideanya itu tidak mampu dikemukakan oleh ChatGPT. Ia mampu menjadi alat untuk menyemak ketulenan karya yang dihasilkan. Secara mudahnya, ChatGPT sepatutnya menjadi penanda aras untuk para pengarang dalam memastikan karya-karyanya cukup manusiawi dan unik. Agak memalukan sekiranya pengarang menyerahkan ChatGPT untuk menghasilkan karyanya lalu meletakkan namanya sendiri pada karya tersebut – ibarat suatu isyarat bahawa dirinya itu tidak lagi punya nilai dan maruah selaku manusia.
Memahami kesukaran para editor majalah sastera untuk menangani krisis karya yang dihasilkan oleh kepintaran buatan ini, saya percaya, hal ini hanya dapat ditangani selagi para penulis mempunyai keinginan untuk memanusiakan dirinya melalui sastera.
Pastilah teknologi akan mampu mengejar dan menakluki kreativiti manusia tetapi haruslah diingatkan, adakah benar umat manusia secara tuntasnya bersetuju yang diri mereka sanggup digantikan oleh kepintaran buatan sepenuhnya? Malangnya, kedangkalan segelintir manusia akan membenarkan dirinya digantikan secara tidak langsung, perlahan-lahan sehingga kenihilan nilai manusiawi menjadi realitinya sendiri.
Tanpa mantel, Superman kekal perkasa. Tanpa sut berkuasa, para penghapus kaiju dalam Kaiju No.8 hanyalah manusia biasa. Tanpa sastera, manusia hanyalah lompong kosong dalam masyarakat dan tidak punya nilai untuk diperjuangkan sama sekali.
_________________________
Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.