Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Pembentang dan orang ramai dipelawa untuk menyertai Kolokium Antarabangsa Peradaban Wilayah Timur Laut 2023 yang akan berlangsung di Universiti Fatoni (FTU), Patani, Selatan Thailand, selama tiga hari (4–6 Ogos 2023).
Kolokium ini merupakan anjuran oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Patani (PUSTANI), Universiti Fatoni dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia.
“Wilayah Timur Laut” yang dimaksudkan dalam konteks kolokium ini ialah wilayah timur laut Semenanjung Malaysia yang melingkari negeri Kelantan, Terengganu, Selatan Thailand, serta negara Kemboja, Vietnam dan Laos.
Semua negeri dan negara dalam konteks wilayah ini mewarisi pengalaman sejarah, bahasa asas, kehidupan budaya dan seni yang hampir sama, serta ada juga pertalian keturunan yang sama.
Presiden PERADABAN, Dato’ A. Aziz Deraman berkata, “Wujud keperluan pada kolokium ini dari segi kedinamikan kajian dan pengajian tentang perkembangan peradaban di kawasan Timur Laut ini, khususnya hubungan antara peradaban Melayu dengan sejarah, tradisi kesenian dan persuratan antara negeri-negeri di pantai timur Semenanjung, khasnya Kelantan dan Terengganu, serta juga negara Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos.
“Penemuan berasaskan kajian akan membawa makna yang sangat bererti dalam konteks perbandingan kemajuan tamadun dalam sesuatu bidang tadi,” ujar beliau lagi.
Kolokium ini merupakan urutan siri ke-5 dan kali ini dengan tema “Dinamika Sosiobudaya, Ekonomi dan Pelancongan Wilayah Timur Laut” dengan cakupan subtema Sejarah, Bahasa, Budaya, Ekonomi, Pelancongan, dan Persuratan.
Bagi kolokium kali ini, PERADABAN menggariskan lima objektif berikut:
Kolokium ini mempunyai sejarah yang panjang. Kesinambungannya sejak 23 tahun lalu lagi, apabila DBP ketika itu mengambil inisiatif menganjurkannya pada tahun 2001.
Sebanyak 200 peserta termasuk pemakalah pernah menyertainya, manakala 70 kertas kerja sudah dibentangkan setakat ini.
Semua kertas kerja tersebut sudah pun dibukukan dan diterbitkan oleh PERADABAN.
Tarikh akhir penerimaan abstrak pada 2 Mei 2023, notis penerimaan abstrak pada 5 Jun 2023 dan penerimaan kertas kerja penuh pada 3 Julai 2023.
Di samping itu, orang ramai yang turut berminat sebagai peserta, dialu-alukan bagi memperoleh peluang menimba ilmu dan memperkaya pengetahuan.
Sharrul Rizal Hashim selaku Setiausaha PERADABAN memberitahu, yuran pembentangan bagi setiap seorang pemakalah sarjana, calon kedoktoran dan individu berpengalaman ialah RM400 (ThaiB3100, USD90), manakala peserta ialah RM350 (ThaiB2500, USD85).
Takrif bagi “setiap seorang” juga meliputi maksud bagi setiap individu, walaupun pembentangan secara kumpulan.
Hal ini adalah kerana kos tanggungan penyertaan adalah secara individual, terang beliau.
Yuran ini merangkumi kos perjalanan pergi balik, bermula dari Kota Bharu, penginapan (3 hari 2 malam), makan minum sepanjang kolokium, dan lawatan.
Menurut beliau, kadar yuran berkenaan tidaklah mahal kerana sebenarnya belum mencukupi bagi kadar kos tanggungan, namun PERADABAN akan berusaha mendapatkan ehsan bantuan biaya, terutamanya atas kecaknaan dan wawasan DBP pada signifikan kolokium ini.
Beliau turut memberi peringatan, peserta berasal dari Kelantan sahaja yang boleh menggunakan pas lawatan terhad ke Patani, manakala dari luar Kelantan dan luar Malaysia diwajibkan membawa pasport.
Pemakalah dan orang awam yang berminat sudah boleh mendaftar penyertaan kolokium.
Keterangan lanjut boleh hubungi Penolong Setiausaha PERADABAN, Muhammad Ikhram Fadly Husin melalui telefon 012-290 8429 (waktu pejabat sahaja). Tarikh tutup penyertaan pada 2 Mei 2023.
Kredit Foto: psu.mooc/wikimedia.org