Oleh Ilham Budiman
7 Ogos 2023, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Patani – Kerjasama sememangnya penting dan harus ditingkatkan secara lebih kukuh dan padu dalam lingkungan hubungan serantau Wilayah Timur Laut.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC), Laksamana Somkiat Phoprayoon menegaskan demikian, dalam ucapan merasmikan Kolokium Antarabangsa Peradaban Wilayah Timur Laut di Bangunan Diraja, Universiti Fatoni (FTU) pada 5 Ogos yang lalu.

Wilayah Timur Laut tersebut melibatkan wilayah Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Kemboja, dan Vietnam.

Tegas beliau, “Hanya dengan cara demikian, kita semua dapat terus meningkatkan kemajuan secara bersama dan bermakna yang menyeluruh dalam pelbagai bidang dan aspek.

“Hal ini tidak hanya pada ekonomi dan pelancongan, tetapi termasuklah pada wawasan mendinamikkan persuratan, kesusasteraan, bahasa, dan seni budaya kerana semua bidang ini juga tidak dapat dinafikan signifikan besarnya pada mana-mana negara.”

Kesusasteraan ialah dampak penting dalam sesebuah negara. Kesusasteraan mendinamikkan pemikiran, falsafah, kehalusan nilai moral, rakaman sejarah, kesedaran muhibah, dan sebagainya.

Laksamana Somkiat Phoprayoon merasmikan Kolokium Antarabangsa Peradaban Wilayah Timur Laut 2023.

Beliau juga menegaskan, konteks kedinamikan Wilayah Timur Laut tidaklah terbatas kemajuannya dalam lingkungan wilayah ini sahaja, tetapi sekali gus akan memberikan perkaitan dampak kepentingannya terhadap ASEAN secara menyeluruh.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Abd. Rahman pula berkata, sebenarnya, jika mengimbas kembali sejak ratusan tahun lalu, lembaran Kelantan-Patani telah lama terjalin.

Bahkan, ada yang menganggap Kelantan-Patani sebagai “Kembar Siam”. Hal ini dapat diperhatikan daripada sejarah kesultanan, sosiobudaya, adat resam, adat tatasusila, bahasa, sastera, dan warisan kesenian yang meliputi gugusan geografi Wilayah Timur Laut, jelas beliau lagi.

Rektor FTU, Syeikh Ismail Lutfi al-Fatoni diberikan penghormatan menyampaikan ucap utama bertajuk “Islam Agama Rahmat, Benar, Tolak Ansur dan Salam”.

Kolokium antarabangsa ini merupakan siri kelima yang dianjurkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan FTU, dengan kerjasama Pusat Kajian Tamadun Melayu Islam Patani (PUSTANI) di FTU, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan MAIK.

Di samping itu, kolokium ini turut menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PERADABAN dengan PUSTANI dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Medan, Indonesia.

Acara menandatangani MoU antara PERADABAN dengan PUSTANI dan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara, Medan, Indonesia.

Kolokium yang berfokuskan tema Wibawa Sosiobudaya, Ekonomi dan Pelancongan Wilayah Timur Laut ini disertai seramai 260 orang peserta dan 71 pemakalah yang membentang kertas kerja secara sidang selari di 10 bilik kuliah di FTU.

Subtema makalah kolokium kali ini mencakupi aspek sejarah, bahasa, budaya, ekonomi, pelancongan, dan persuratan.

Para peserta dan pemakalah, selain dari Selatan Thailand dan Malaysia, turut disertai dari Indonesia, Singapura, Kemboja, Uzbekistan, Australia, dan Rusia.

Kolokium berlangsung sepanjang tiga hari (4–6 Ogos), bermula sehari lebih awal sebelum perasmiannya.

Kredit Foto: Ariza Ismail

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.