16 September 2023, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Membakut – Program Bicara Pemikiran Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil telah diadakan di Dewan Seri Wawasan Kg. Pimping, Membakut, pada 13 September lepas bersempena dengan “Mahrajan Persuratan dan Kesenian Nusantara Sabah Kali ke-13″.

Tiga orang pembicara yang membicarakan perkara tersebut ialah YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Encik Mohammad Fazril Saleh, dan Encik Abdul Manap Mahmud. Seramai lebih 100 orang hadirin yang terdiri daripada para pelajar dan masyarakat awam telah menghadiri program ini.

Encik Mohammad Fazril Saleh yang juga merupakan Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerusi pembentangannya bertajuk “Memorabilia Sang Guru Umat: Legasi Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil” mengakui ketokohan Siddiq Fadzil (almarhum) sehingga menggelarkannya sebagai pemikir, pendidik dan pemimpin yang bitara.

Encik Mohammad Fazril Saleh, Setiausaha Agung ABIM.

Lanjutnya lagi apabila membicarakan tentang keperibadian almarhum, Siddiq Fadzil juga merupakan seorang yang tawaduk dan banyak berdiam diri dalam sebarang mesyuarat dan perbincangan. Menurut almarhum, tiada gunanya bermesyuarat jika seseorang itu merupakan ketua tetapi akhirnya hanya dia yang banyak bercakap dan membuat keputusan. Selain itu, almarhum juga pernah menyatakan bahawa pendirian yang tepat perlu dibuat sesuai dengan isu yang ditimbulkan.

Seterusnya, YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan yang juga merupakan Ahli Dewan Negara, lebih menumpukan kepada peranan bahasa dan sastera dalam membangunkan tamadun bangsa menerusi pembentangannya bertajuk “Bahasa, Sastera, Budaya dan Transformasi Sosial: Peranannya dalam Pemerkasaan Tamadun Bangsa.”

YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara.

Dalam pembentangan tersebut, beliau membincangkan perihal pengaruh bahasa dalam Tamadun Melayu Kuno, kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa pengajian agama dan bahasa perhubungan, serta sistem pemerintahan beraja dalam Tamadun Melayu Klasik yang menandakan bermulanya sistem kesultanan.

Selanjutnya, Encik Abdul Manap Mahmud yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Kota Kinabalu pula membentangkan kajiannya bertajuk “Prinsip-prinsip Pembinaan Bangsa dari Perspektif Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan: Menelusuri Pemikiran Siddiq Fadzil”.

Encik Abdul Manap Mahmud, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Kota Kinabalu.

Dalam bicaranya itu, beliau menyentuh tentang kritikan almarhum terhadap konsep “bingkai kesatuan” Malaysia yang masih terasa rapuh walaupun setelah lebih 60 tahun merdeka. Menurutnya, keseragaman identiti dapat dibina berasaskan titik kesepakatan yang berkaitan dengan nilai kemanusiaan sejagat, Rukun Negara, bahasa kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara.

Selain itu, menurut Encik Mohammad Fazril Saleh, terdapat sebuah ungkapan yang menjadi pegangan almarhum. Ungkapan tersebut datangnya dari salah seorang pemimpin Indonesia, iaitu Mohamad Roem:

Saatnya aku masih bernafas, jangan ada yang menulis tentang diriku, kerana aku juga bisa berubah.

Kata-kata amanat ini dipegang oleh almarhum sehinggakan tiada satu pun penyelidikan tentang “pemikiran Siddiq Fadzil” dihasilkan ketika hayatnya. Dalam bicaranya lagi, beliau menyebut bahawa almarhum menegaskan bahawa manusia berubah dan beliau juga mungkin berubah. Oleh itu, bagi almarhum, selagi hayat dikandung badan maka tidaklah wajar secara spesifik pemikirannya diungkapkan dalam bentuk penulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.