Oleh Fauzi Naeim
3 Ogos 2023, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fauzi Naeim menyambung pemerhatiannya melihat bagaimana ahli falsafah Jerman, Nietzsche melalui karya-karyanya (seolah-olah seperti teks sastera) menyelongkar naluri terdalam manusia, iaitu keinginan untuk berkuasa.

Mitos menjaminkan kelangsungan politik bagi mereka yang berkuasa dan yang dikuasai. Naratif politik hilang sengatnya tanpa mitos.

Ada banyak istilah yang diperkenalkan oleh Nietzsche dalam karya-karyanya. Dalam Zur Genealogie der Moral (On the Genealogy of Morals, 1887), Nietzsche memperkenalkan tema ressentiment. Perkataan ini asalnya dari bahasa Perancis dan digunapakai dalam bahasa Inggeris sebagai resentment, yang membayangkan maksud “tidak puas hati”.

Buku On the Genealogy of Morals yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1887.

Resentment ialah perasaan emosi yang tidak baik terhadap perlakuan seseorang. Ressentiment ialah bahasa yang kerap digunakan oleh Nietzsche untuk menyampaikan kenapa berlakunya kerangka moral yang menyebabkan perbezaan status dalam masyarakat. Baginya lagi, pertembungan manusia sesama manusia lain dalam masyarakat membentuk kerangka moral tetapi ini semuanya terhasil daripada perasaan membuak tidak puas hati terhadap status seseorang itu dalam stratifikasi sosial.

Kadangkala, tiada perlakuan apa-apa pun, tetapi kerana permainan minda yang keruh, perasaan tidak puas hati tetap juga berlaku! Saya terjemahkan ressentiment kepada bahasa Melayu sebagai “cemburu-hina”. Adakah pernah wujud manusia yang mempunyai perasaan yang tidak pernah tidak puas hati? Di sini ego dan imaginasi manusia memainkan peranan penting untuk memastikan kelancaran cemburu-hina.

Menetap di bumi bererti manusia berada dalam keadaan yang sering dipersalahkan dan menyalahkan; maka manusia merasakan dia boleh mempunyai sebab untuk bersifat tidak puas hati. Paderi merupakan watak yang sering dijelmakan oleh Nietzsche sebagai mereka yang melembikkan akhlak masyarakat Eropah yang memandu budaya ressentiment.

Sebagai contoh penyataannya:

Paderi ialah bentuk pertama haiwan yang lebih halus, yang menghina lebih mudah daripada membenci.”[i] Ia bukan pasal benci; tetapi memandang hina lagi cemburu. Ia perasaan yang timbul apabila ada sesuatu yang timbul di dalam hati, perasaan yang tidak senang diri, terhadap sesuatu yang baginya boleh membawa kekecewaan dan kegelisahan.

Dalam wacana kebiasaan Nietzsche, masyarakat bukan lagi suatu bentuk kumpulan/pengumpulan bagi mendapatkan keselamatan atau keseimbangan hak, tetapi ia ialah tempat kekuatan kendiri diukur dan dilaksanakan terhadap satu sama lain.

Nietzsche memperkatakan bagaimana masyarakat sering terjerat dalam kekuasaan dan mitos.

Ini sebabnya beliau menghujah:

Dalam dialog sosial, tiga per empat daripada soalan dan jawapan dirangka dengan tujuan untuk menyakiti sedikit pesertanya; inilah kenapa ramai manusia begitu sekali dahagakan masyarakat: ia memberikan suatu perasaan tentang kekuatan mereka.”[ii]

Masyarakat ialah ruang yang amat sesuai untuk keinginan berkuasa mengaturkan pencarian identiti. Seorang lelaki dewasa yang berkehendakkan makanan daripada seorang lelaki dewasa lain dalam satu komuniti bererti beliau telah meletakkan pengharapan di atas bahu orang lain supaya dapat memenuhi impiannya.

Di sini, wujud suatu sistem, yakni, buli-membuli boleh dan kerap berlaku. Mengimpikan sesuatu yang ‘tiada’ bererti juga melaksanakan impian untuk menguasai sesuatu, atau lebih tepat lagi, membenarkan penguasaan ‘sesuatu yang tiada’ kepada harapan seseorang.

Lantas Nietzsche tidak bersetuju bahawa wujud hubungan yang neutral antara benda. Memandangkan keinginan berkuasa ialah sifat lahiriah bagi benda, maka setiap hubungan benda adalah hubungan berkepentingan.

Setiap hubungan hamba-tuan dalam masyarakat, bagi Nietzsche, adalah apa yang menggerakkan persefahaman moral. Sang tuan memerlukan hamba untuk menggerakkan keinginannya, manakala hamba memerlukan tuan sebagai suatu kehidupan yang ideal.

Pemikir Greek klasik, Aristotle (384 BC- 322 BC).

Manusia, kata Aristotle sejak lebih 2000 tahun yang lampau, ialah binatang berpolitik.[iii] Bukan sahaja manusia mempunyai fitrah untuk berpolitik, manusia juga mempunyai fitrah untuk hidup berkelompok, tinggal bersama di dalam polis.[iv]

Dalam kehidupan moden lagi digital kini, manusia adalah binatang kota. Namun untuk boleh hidup dengan baik di dalam kota, manusia amat memerlukan mitos untuk mengekalkan kuasa, kelestarian keamanan dan penghormatan. Mitos menjaminkan kelangsungan politik bagi mereka yang berkuasa dan yang dikuasai. Naratif politik hilang sengatnya tanpa mitos.

Kekuasaan, yang senantiasa tumbuh amat bersandarkan kepada cerita dongeng dan cerita hikayat supaya kuasa politik bukan sahaja dapat dikekalkan tetapi dapat menambahkan aura bagi yang berkuasa. Contohnya, tanpa ada semangat nasionalisme orang putih, tidak mungkin Donald Trump boleh menjadi Presiden Amerika.

Mitos menyebabkan pengekalan sistem kekastaan dalam sesebuah masyarakat. Nietzsche pernah menulis:

Namun tanpa mitos, kesemua budaya hilang kuasa kreatif semula jadinya; hanya satu ufuk dikelilingi mitos yang boleh menyatukan kesemua pergerakan kebudayaan.[v]

Sekiranya para pembaca menyangkakan bahawa “berfikir secara rasional” dapat membawa kita ke puncak bahagia, Nietzsche pula berpendapat sebaliknya.

Menurutnya:

Keyakinan kepada kategori- kategori rasional ialah punca nihilisme. Kita telah mengukur nilai dunia melalui kategori-kategori yang merujuk kepada dunia fiksyen semata-mata.”[vi] Apakah yang dimaksudkan oleh nihilisme di sini? Jawapan Nietzsche: Nihilisme ialah ideal kepada darjah tertinggi kekuatan rohani, hidup yang ‘terlebih kaya’ – sebahagiannya merosakkan, sebahagiannya ironi.”[vii]

Nihilisme ialah lebihan ilmu daripada Barat. Ia mengajukan bahawa tiada nilai yang benar-benar bernilai. Dalam erti kata lain, ia meraikan semangat mencurigai amalan dan sistem sedia ada. Nihilisme ialah falsafah bercuriga yang sangat aktif!

Nietzsche bukan sahaja amat mencurigai sistem nilai Eropah, tetapi juga tidak mempercayai autoriti kerajaan dan agamawan dalam mendasari moral secara am. Elemen nihilistik dalam falsafah Nietzsche mencerminkan peribadi beliau yang begitu aktif sekali berprasangka! Ini sama seperti kata pemikir Amerika William James,

Sebuah falsafah ialah ekspresi bagi karakter dalaman seseorang.[viii]

Ahli falsafah Amerika, William James (1842-1910).

Falsafah dan berfalsafah bagi Nietzsche adalah perkara yang amat intim. Melontarkan hujah tentang suatu sistem pemikiran adalah sama seperti melontarkan prejudis seseorang dalam perkara tersebut. Nietzsche tidaklah meraikan sangat keobjektifan ilmu seperti Kant atau Descartes. Bodohlah ahli falsafah itu, fikir si Nietzsche, apabila mereka cuba mensistemkan falsafah mereka.

Berkeinginan kepada sistem: di dalam seorang falsafawan, secara moralnya ialah korupsi yang halus, penyakit kepada wataknya; secara bukan moral, suatu keinginan untuk nampak lebih bodoh daripada dirinya.[ix]

Kata-kata Nietzsche bukanlah bertujuan untuk membantu wacana rasional (beliau sendiri pun anti sains positivisme), tetapi untuk menggerakkan pemikiran para pembacanya supaya menajamkan ilmu untuk melihat sebalik permasalahan. Ini sebabnya bahasa-bahasa yang beliau pakai sering bersifat provokatif, ditambah pula dengan gaya penulisannya yang selalunya berbentuk aphorisme, yakni perenggan-perenggan ringkas, yang tamat secara mengejutkan.

Gaya penulisan Nietzsche disebutkan oleh Kaufmann sebagai “thought experiment” (eksperimen fikrah). Bukanlah tujuan sebenar Nietzsche untuk memberikan jawapan bagi masalah-masalah yang dihuraikannya, tetapi lebih utama lagi – untuk menggetarkan keseimbangan pemikiran seharian kita. Untuk wujud di muka bumi ini, manusia tidak boleh leka untuk bertanya bagaimana perasaannya untuk wujud. Terdapat sesuatu yang mekar dalam kewujudan insan ini, tetapi ia sering diputarbelitkan atau dihadang dengan nilai-nilai sistem kemasyarakatan. Pertanyaan tentang kemekaran zat wujudiah ini adalah antara sebabnya tema eksistensialisme muncul dalam wacana Barat-Eropah.

Rujukan

[i] Nietzsche, On the Genealogy of Morality, disunting oleh Keith Ansell-Pearson dan terjemahan oleh Carol Diethe (Cambridge: Cambridge University Press, 2006).

[ii] Nietzsche, Human, All Too Human (1878).

[iii] Politics, 1253a2-5.

[iv] Polis ialah bahasa Greek yang mewakili ‘kota.’

[v] Nietzsche, The Birth of Tragedy and Other Writings, terjemahan oleh Raymond Geuss dan Ronald Speirs (New York: Cambridge University Press, 1999).

[vi] WP, §. 12.

[vii] WP, §. 14. Untuk membaca ‘misteri’ nihilisme dengan lebih lanjut, boleh baca makalah saya, “Metafizik Nihilisme,” yang pernah dibentangkan di Seminar Falsafah Pascamoden, Petaling Jaya, 18 Okt 2015.

[viii] William James, “A Pluralistic Universe,” The Works of William James, disunting oleh Frederick Burkhardt dan Fredson Bowers (Cambridge, MA: Harvard University Press, 1974), 4. Pada masa sama, pastinya Nietzsche tidak bersetuju dengan kerasionalan pragmatisme yang dibawa oleh falsafah William James!

[ix] Dipetik daripada Kaufmann, (1974).

Kredit Foto: Birmingham Museums Trust/Unsplash

_________________________

  Dr. Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.