Oleh Fauzi Naeim
13 Jun 2023, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fauzi Naeim melihat bagaimana ahli falsafah Jerman, Nietzsche melalui karya-karyanya (seolah-olah seperti teks sastera) menyelongkar naluri terdalam manusia, iaitu keinginan untuk berkuasa.

Punyalah begitu berpengaruh pemikiran Nietzsche sehinggalah semasa Perang Dunia Pertama bermula, askar-askar Jerman diberikan senaskhah karya Zarathustra di dalam beg yang mereka kendong. Istilah Nietzsche, Übermensch (manusia-yang-melepasi), diangkat oleh kumpulan Nazi sebagai antara asas dan pembangkit semangat bagi satu kaum yang hebat, yakni – bangsa Aryan Jerman.

Memperihalkan tentang rencana kefalsafahan Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844–1900) bermaksud para pembaca mesti bersedia memahami gelumang alamiah diri insan, yakni individu yang mempunyai kemahuan untuk terus-menerus, dan tanpa kenal penat lelah (mendominasi).

Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844–1900).

Nietzsche menyedari naluri ini, lantas beliau ajukan bahawa metafizik kehidupan manusia di dunia ialah “Der Wille zur Macht” (Keinginan berkuasa). Ini adalah penyataan paling penting beliau setelah hidup begitu lama bersama manusia, dan setelah begitu lama mengembara seorang diri menjelajah gunung dan lurah.

Dalam buku sastera hebatnya, iaitu Also sprach Zarathustra: Ein Buch für Alle und Keinen (Thus Spoke Zarathustra: A Book for Everyone and Nobody), beliau menulis: “Di mana aku jumpa kehidupan, di situ aku jumpa keinginan berkuasa; dan malah di dalam keinginan seorang hamba, aku jumpa satu keinginan untuk menjadi tuan.”[i]

Buku Thus Spoke Zarathustra, terbitan Oxford World Classics.

Ingin-menguasai boleh dijumpai di mana-mana manusia berada, tanpa mengira rupa, jantina, personaliti dan hubungannya dengan alam. Lahirnya insan ke bumi ialah bersedia untuk merasai ingin-kuasa; mahu lebih daripada apa yang dimiliki – berjalan, berucap dan berfikir. Sang bayi bukan sahaja mahukan sesuatu di alam persepsinya, tetapi dia menyangka objek di alam persepsinya juga adalah sebahagian tubuh badannya. Menggerakkan otot kecilnya umpama menggerakkan dunia sekelilingnya. Sedikit penglihatan, dan dia sudah menyangka dunia di bawah kuasanya.

Keinginan berkuasa ini bukan lagi satu wacana psikologi, ia adalah lumrah zat manusia yang menetap di bumi. Berkeinginan bermaksud juga berkemampuan untuk memikirkan perkara yang melebihi daripada keterhadan perkara tersebut. Selagi mana manusia mempunyai alam sedar, selagi itulah manusia akan mengingini. Apabila seseorang manusia itu mengingini; maka beliau mahu menguasai sesuatu.

Apabila Nietzsche mengatakan manusia berkeinginan untuk berkuasa, ia bermaksud bahawa manusia tidak dapat mengelak daripada mengingini untuk melebihi sesuatu. Sebagai contoh: Seseorang yang mempunyai pendapatan RM1200 sebulan yang bekerja di 7-Eleven mahukan pendapatan yang lebih daripada yang dikecapinya sekarang. Malah, kalau diberikan RM300 000 sebulan pun, dia akan rasa tidak cukup. Dia mahu lebih, lebih, dan lebih.

Contoh lain: Seseorang wanita mempunyai minat menjahit pakaian. Maka, beliau mengumpul duit supaya boleh membeli peralatan jahitan dan kain untuk dijahit. Kemudian dia akan membeli lagi barang lain untuk dekorasi jahitan tersebut. Tidak cukup dengan itu, dia akan mengambil gambar jahitannya itu, atau merekod proses jahitan melalui video, dan menaikkannya ke Facebook supaya mendapat ‘likes’ yang banyak daripada jaringan rakan-rakan media sosial. Hal ini akan menambahkan lagi minatnya terhadap menjahit. Ini proses yang berpanjangan yang akan terus-menerus selagi mana dia mempunyai keinginan. Kuasa dan keinginan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dan sudah sebati dengan roh kerdil manusia.

Sejak bilakah Nietzsche mula menulis tentang ‘keinginan berkuasa?’ Semenjak tahun 1880-an lagi, Nietzsche amat tertarik dengan peranan kuasa dalam politik masyarakatnya. Sebelum Nietzsche begitu asyik dengan “Der Wille zur Macht,” beliau terlebih dahulu menyedari kuasa sebagai satu berahi semula jadi manusia yang diistilahkan sebagai “machtgelüst.” Saya menterjemahkannya di sini sebagai “berahi untuk kuasa.”

Dalam bukunya yang bertajuk The Gay Science, Nietzsche mengujar: “Dengan perlahannya, otak manusia menjadi penuh dengan pertimbangan dan sabitan; dan satu geledak, pergelutan, dan keberahian untuk kuasa terbangun di dalam kekusutan ini.”[iii]

Buku The Gay Science yang diterjemahkan dan diberi komentar oleh Walter Kaufmann.

Machtgelüst ialah falsafah manusia sebagai subjek penuh kusut yang mempunyai struktur untuk memberahi. Di dalam kekusutan ini – satu kegelisahan yang bersifat fitrah – berahi datang untuk mengatasi dan pada masa yang sama menambahkan lagi peringkat-peringkat kekusutan.

Beberapa konsep awal tentang ‘berahi untuk kuasa’ (Machtgelüst) boleh diperhatikan dalam buku-bukunya seperti Der Wanderer und sein Schatten (The Wanderer and his Shadow, 1880) dan Morgenröte – Gedanken über die moralischen Vorurteile (Daybreak: Thoughts on the Prejudices of Morality, 1881).

Beliau melihat kuasa pada awalnya sebagai satu kesan dan sumber yang cukup mengghairahkan. Sekiranya tidak, kenapa manusia begitu asyik mencipta? Ditambah lagi dengan dominasi gereja Kristian terhadap intelektual dan sosial masyarakat Eropah, beliau melihat kuasa sebagai suatu pengistilahan politik yang digunakan untuk mengekang, mengawal dan mendominasi moral manusia.

Dalam karya-karyanya, bertubi-tubi Nietzsche menyerang keagamaan, terutama institusi keagamaan Kristian yang dikatanya merupakan punca pelembik akal dan akhlak dunia Barat. Paderi Kristian menjerut manusia dengan agama supaya manusia boleh menghambakan akhlak mereka kepada institusi yang dikuasai paderi. Melalui proses ini, Gereja dapat menguasai akhlak dan tingkah laku pengikutnya.

Keinginan di sini bukan lagi keinginan yang menguasai – ia adalah penguasaan yang terlebih dahulu dikuasai politik para paderi. Kemunculan gereja bermakna suasana decadence (keruntuhan) menemui klimaksnya.

“Gereja,” kata Nietzsche, “ialah setepatnya apa yang dilawan oleh dakwah Jesus dan terhadap apa yang beliau mengajar pengikutnya untuk menentang.”[iv]

Wacana keinginan yang dibawa oleh Nietzsche bukanlah topik baharu. Ia dipengaruhi terlebih awal lagi oleh ahli falsafah Jerman, Arthur Schopenhauer (1788–1860) di dalam bukunya, Die Welt als Wille und Vorstellung (The World as Will and Representation, 1818–1859), yang mengatakan bahawa manusia sentiasa mempunyai keinginan, yakni keinginan untuk hidup.

Ia bukan tentang manusia hidup untuk berkeinginan, tetapi keinginan adalah apa yang menyelamatkan manusia untuk hidup. Sejarah metafizik dunia, menurut Schopenhauer, boleh diekspresikan sebagai satu, iaitu berkeinginan. Hanya apabila keinginan hidup dileluasakan dalam nurani manusia maka manusia boleh berbuat pelbagai projek dunia.

Pada mulanya Nietzsche amat tertarik dengan falsafah Schopenhauer, tetapi kemudiannya beliau menolak dan mengkritik hebat pemikiran Schopenhauer yang baginya sangat jinak.[v]

Nilai ‘simpati’ yang didukung oleh Schopenhauer dianggap oleh Nietzsche sebagai salah satu kelemahan dalam manusia. Pada masa yang sama, pemahaman Nietzsche tentang falsafah Immanuel Kant banyak dipengaruhi oleh interpretasi Schopenhauer terhadap Kant. Maka, tidak hairanlah sekiranya ketidaksetujuan Schopenhauer terhadap pemikiran Kant berjangkit kepada Nietzsche.

Draf bagi tajuk Der Wille zur Macht oleh Nietzsche (1885-1886).

Walaupun istilah “keinginan berkuasa” sudah mula wujud di dalam penulisannya, namun perenggan-perenggan tentang falsafah ini banyak dikumpulkan dan diterbitkan sebagai Der Wille zur Macht  (The Will to Power) (1901-1906).

Der Wille zur Macht secara dasarnya merupakan karya yang diambil daripada nota-nota Nietzsche (selepas kematian beliau) oleh adik perempuannya, Elisabeth Förster-Nietzsche, dan penyunting Jerman Heinrich Köselitz (Peter Gast). Walaupun Nietzsche pernah terfikir untuk menerbitkan dan menamakan bukunya sebagai Der Wille zur Macht, tetapi sekitar tahun 1888, beliau lantas putus asa, dan niatnya terbantut.[vi]

Masyarakat tidak akan tahu sama ada beliau akan meneruskan projek Der Wille zur Macht dan boleh jadi, sekiranya Nietzsche hidup lama, beliau mungkin dapat berpeluang untuk memanjangkan niat asalnya. Ini kerana pada umur 44 tahun, sekitar tahun 1889, Nietzsche akhirnya mengalami serangan jiwa yang teruk sekali sehingga beliau hilang kewarasannya. Selepas gangguan saraf ini, beliau dijaga oleh ibunya, kemudiannya adiknya, Elisabeth Förster-Nietzsche sehingga kematian Nietzsche pada tahun 1900.

Memandangkan Der Wille zur Macht merupakan pengumpulan beribu-ribu nota-nota Nietzsche yang tidak pernah diterbitkan sepanjang hidupnya, sejarah penerbitan Der Wille zur Macht penuh dengan polemik dan perbezaan edisi serta cara penerbitannya yang dikritik hebat oleh para akademik Eropah-Barat.

Ramai sarjana Eropah seperti Walter Kaufmann, R.J. Hollingdale dan Harry Naumann berpendapat bahawa Elisabeth mengambil kesempatan daripada pengaruh intelektual Nietzsche yang semakin meningkat tahun demi tahun. Versi pertama Der Wille zur Macht muncul pada tahun 1901, disunting oleh adiknya Elisabeth, yakni setahun selepas kematian Nietzsche.

Pada ketika ini, sebanyak 483 nota-nota Nietzsche dikumpulkan di bawah tema-tema terpilih. Tidak puas hati dengan jumlah nota Nietzsche di dalam edisi pertama, Elisabeth menambah lagi 200 nota untuk melariskan lagi edisi Der Wille zur Macht pada tahun 1904.

Pada tahun 1906, edisi baru muncul yang memuatkan 1067 nota Nietzsche dalam dua jilid. Ia diterjemahkan pertama kalinya ke dalam bahasa Inggeris oleh Anthony M. Ludovici sekitar tahun 1910 dalam dua jilid, dibawah kumpulan penerbitan Nietzsche oleh Oscar Levy.

Pada tahun 1935, ia diterjemahkan ke bahasa Perancis sebagai La Volonté de Puissance oleh Geneviève Bianquis, dibawah suntingan sarjana Jerman Nazi, Friedrich Würzbach. Pada tahun 1968, ia diterbitkan sekali lagi dalam bahasa Inggeris sebagai The Will to Power oleh penterjemah dan penyunting Nietzsche tersohor, Walter Kaufmann bersama J. Hollingdale, lantas mengembangkan lagi pengaruh Nietzsche di Amerika dan seluruh dunia.[vii] Belum ada lagi, setakat makalah ini ditulis, terjemahan buku Der Wille zur Macht ke bahasa Melayu.

Ada juga pemikir-pemikir Barat yang menyangkakan nota-nota yang diterbitkan sebagai The Will to Power adalah falsafah Nietzsche yang terakhir dan muktamad, termasuklah Alfred Bäumler, Anthony M. Ludovici dan Martin Heidegger.

Thomas H. Brobjer, di dalam artikelnya bertajuk Nietzsche’s magnum opus (2012), berkeras menghujahkan bahawa Nietzsche sememangnya mahu menerbitkan Der Wille zur Macht, makanya para sarjana mesti melihat nota-nota The Will to Power sebagai satu karya.

Walaupun saya sedar dan akur bahawa The Will to Power ialah kompilasi nota-nota yang tidak pernah diterbitkan oleh Nietzsche semasa beliau masih hidup, namun saya meletakkan taraf buku ini antara penulisan falsafah Eropah terbaik pernah dibaca selepas Also Sprach Zarathustra.

Buku The Will to Power adalah seperti karya legenda falsafah Jerman yang amat kompleks dan dipandang tinggi oleh akademiawan sejarah falsafah moden Eropah. Dalam hal ini, Elisabeth telah berjaya menyemaikan benih legenda karya-karya akhir Nietzsche walaupun penerbitan suntingannya tidak begitu bertanggungjawab menyebabkan nama Nietzsche diraikan sebagai pemula bagi proto-Nazi.

Punyalah begitu berpengaruh pemikiran Nietzsche sehinggalah semasa Perang Dunia Pertama bermula, askar-askar Jerman diberikan senaskhah karya Zarathustra di dalam beg yang mereka kendong. Istilah Nietzsche, Übermensch (manusia-yang-melepasi), diangkat oleh kumpulan Nazi sebagai antara asas dan pembangkit semangat bagi satu kaum yang hebat, yakni – bangsa Aryan Jerman.[viii]

Rujukan

[i] Saya menganggap bahawa Also Sprach Zarathustra sebagai salah satu daripada 25 buku falsafah terbaik pernah dibaca. Ia adalah satu karya yang mendalam, mengejutkan dan amat personal. Sekiranya buku Republik oleh Plato adalah perbincangan Sokrates dengan orang-orang yang dikenalinya, Zarathustra pula lahir daripada monolog Zarathustra bersama-sama dirinya dalam keterpencilan.

[ii] Nietzsche, Thus Spoke Zarathustra: A Book for Everyone and Nobody, disunting oleh G. Parkes (New York: Oxford University Press, 2005a), 99. Kesemua terjemahan daripada petikan buku-buku Nietzsche ke dalam bahasa Melayu dalam makalah ini datangnya daripada saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya bagi sebarang kesilapan terjemahan ini.

[iii] GS, §. 110. Untuk perenggan-perenggan seterusnya, GS mewakili buku Nietzsche, The Gay Science: With a Prelude in German Rhymes and an Appendix of Songs, disunting oleh Bernard Williams & terjemahan oleh Josefine Nauckhoff (New York: Cambridge University Press, 2001).

[iv] WP, §. 168.

[v] Sila lihat makalah oleh Grace Nelson Dolson, “The Influence of Schopenhauer upon Friedrich Nietzsche,” The Philosophical Review, 10.3 (1901): 241-250, untuk membaca lebih lanjut pengaruh Schopenhauer terhadap Nietzsche.

[vi] Lihat Walter Kaufmann, Nietzsche: Philosopher, Psychologist, Antichrist, Fourth Edition (New Jersey: Princeton University Press, 1974), 7.

[vii] Untuk rujukan seterusnya, saya menggunakan WP untuk mewakili Nietzsche, The Will to Power, terjemahan Walter Kaufmann & R. J. Hollingdale (New York: Vintage Books, 1968).

[viii] Di dalam kesusasteraan Inggeris Nietzsche, Übermensch kadangkala diterjemahkan sebagai ‘overman’ dan ‘superhuman.’ Übermensch boleh dilihat di dalam Also sprach Zarathustra, di mana watak utama Zarathustra menyeru: “Ich lehre euch den Übermenschen” (2005a, 5). Dalam bahasa Melayunya, “Aku ajar kau manusia-yang-melepasi.” Maksud Übermensch di sini ialah satu konsep manusia yang seperti satu tebing atau pagar yang mesti dilepasi, supaya ‘manusia’ dapat diatasi oleh sesuatu yang melebihinya – seorang yang handal dan mempunyai kekuatan tanpa simpati yang mampu memimpin kaum manusia lain ke peringkat yang lebih tinggi. Memetik Zarathustra lagi: “Apa yang hebat dalam manusia ialah dia merupakan jambatan dan bukannya matlamat.”

Kredit Foto: Birmingham Museums Trust/Unsplash

_________________________

Dr. Fauzi Naeim merupakan pensyarah kanan di Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology. Sekarang, beliau asyik dengan pembacaan manga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.