Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZanazanzaly pernah menjelmakan Kirana, watak penting yang meneliti kewangan dan muamalat Islam dalam cerekanya. Tahun ini, Kirana dijelmakan semula dengan lebih kompleks, dalam festival suara untuk menampilkan keutuhan emas sebagai sandaran kekuatan ekonomi Islam.
Tajuk ini ialah peringatan dan manifesto awal. Tajuk ini berbunyi seperti slogan intelektual, menyeru pembaca kembali kepada asas kukuh ekonomi Islam …
Empat belas tahun jaraknya kesinambungan idea antara dua lembar halaman cerpen di akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac 2011 dengan empat halaman cerpen di Dewan Sastera Oktober 2025. Namun begitu, gagasan yang menyatukan kedua-duanya tetap utuh melalui suara Kirana.
Sejak awal berkarya, niat penulis memang untuk mengangkat tema kestabilan emas melalui ruang sastera. Lebih daripada itu, adalah untuk menegakkan wacana sastera sebagai kritik ekonomi-politik berpaksikan nilai Islam.
“Sandarkan pada 999.9” (“SP999.9”) ialah teks peringatan awal, iaitu sebuah suara yang mengetuk pintu kesedaran, menegaskan bahawa emas ialah sandaran kekayaan Islam, bukan ilusi wang fiat yang penuh tipu daya.
Pemilihan kata kerja ‘sandarkan’ pada judul melambangkan ajakan atau gesaan awal yang menegaskan asas gagasan bahawa kekuatan umat Islam wajar bersandar pada emas sebagai nilai sebenar, bukan pada wang fiat yang rapuh. Angka 999.9 pula ialah simbol ketulenan emas paling tinggi yang boleh dicapai hampir murni sepenuhnya.
Tajuk ini ialah peringatan dan manifesto awal. Tajuk ini berbunyi seperti slogan intelektual, menyeru pembaca kembali kepada asas kukuh ekonomi Islam. Tajuk ini dari segi estetik bernuansa ringkas dan teknikal, namun berlapis kerana mengangkat angka (999.9) sebagai simbol kemurnian ekonomi dan spiritual.

Dan setelah 14 tahun, Kirana muncul semula menerusi “Sangga pada 24K” (“SP24K”) sebagai denting baharu yang lebih nyaring, lebih luas dan lebih kompleks. Justeru, 24K ialah istilah paling popular di pasaran untuk melabel emas tulen. Jika 999.9 lebih saintifik, 24K pula lebih komersial dan global.
Kata kerja ‘sangga’ memberi makna menopang, menegakkan, menahan beban. Di sini, emas bukan lagi sekadar asas, tetapi tiang penopang wacana dunia. Judul ini dengan izin Allah menandakan kematangan dan perluasan gagasan, yakni daripada sandaran peribadi/komuniti kepada sokongan global yang diuji dalam ruang spekulatif.
Dari sudut naratif, karya ini menzahirkan evolusi Kirana daripada jurucakap idea kepada ikon yang menyanggah dan menyokong pelbagai wacana antarabangsa. Evolusi Kirana inilah lambang transformasi seorang intelektual Muslimah daripada aktivis peribadi kepada ikon wacana dunia.
Melalui “SP999.9”, Kirana berkonflik dengan rakan kongsi syarikat yang memperlekeh hasratnya untuk bermuamalah dengan logam bernilai intrinsik, dimulai dengan menukar aset syarikat kepada simpanan emas dan membayar gaji pekerja dalam mata wang syariah Dinar Dirham. Manakala menerusi “SP24K” pula, Kirana diperkenalkan sebagai jurucakap idea dalam ruang mesyuarat yang menyampaikan data, memetik nama tokoh, membacakan buku rujukan. Dia berfungsi sebagai pembawa risalah, menyalurkan suara pengarang ke dalam ruang fiksyen.

Selepas 14 tahun watak Kirana pun berevolusi. Dalam “SP24K”, watak Kirana sudah beranjak jauh menjadi watak lintas batas, lalu menjelma sebagai rujukan global. Teksnya dikutip, wacananya diperdebatkan, suaranya menembusi ruang akademik, politik dan budaya antarabangsa. Evolusi ini melambangkan transformasi seorang intelektual Muslimah, daripada aktivis peribadi kepada ikon wacana dunia.
Pengarang tidak lagi hanya mengulang data melalui kata-kata Kirana seperti, “Saya menterjemah kenyataan Warren Buffet, pelabur terulung dan manusia kedua terkaya di dunia. ‘Kenaikan harga emas ini disebabkan ia tidak memiliki nilai nyata kecuali harga pasaran.’ Dan kenyataan Paul Volker, bekas pengerusi Federal Reserve Board, dipetik sebagai berkata, we have a 75 percent chance of a crisis within 5 years.”
Sebaliknya, kata-kata Kirana ditampilkan melalui wacana oleh pelbagai pihak seperti Prof. Kimpo, Dr. Serial Berat dan Tan Sri Nikel Sesen. Sementara itu, Sasterawan Darulnaim pula merekodkan semua suara Kirana yang diterjemahkan oleh sahabat penulisnya Dewi Pujangga dalam bentuk monolog dan dialog yang bukan berupa khutbah, tetapi festival suara:
Artikel tulisan Sasterawan Darulnaim bertajuk ‘Pengkaryaan Rentas Bidang: Dewi Pujangga Mewacanakan Ekonomi dan Sosioekonomi Menerusi Wahana Sastera’ terpampang pada halaman utama Jurnal Ekonomi Islam Mutakhir. Tajuknya sahaja sudah menggugah rasa seolah-olah puisi, namun mengandungi gema perubahan intelektual. Bagaikan peragaan wacana falsafah ekonomi yang tampil anggun berbusana metafora.
Di ruang wacana sebuah menara gading di Putrajaya, cahaya lampu kuning keemasan membias pada kertas kerja yang berselerak atas meja kaca. Seorang pakar ekonomi Bank Tanah Melayu, Dr. Adijagat, mengerutkan dahi sambil menyisir isi cerpen ‘Sangga Pada 24K’. Tangannya menggenggam pen, lalu mencatat satu frasa tuturan Kirana: ‘Zaman ini menukar upah kepada janji, dan janji kepada debu bercetak.’
Di bilik sebelah, sekelompok ahli dasar kerajaan sedang menonton forum sastera yang disiarkan langsung. Wajah mereka serius, sesekali mengangguk, bukan kepada teori monetari, tetapi kepada metafora tajam yang menusuk: sistem fiat ibarat daun kering di ambang ribut.
‘Sastera bukan lagi hiasan,’ kata Profesor Kimpo, pakar falsafah ekonomi. ‘Ia sudah menjadi cermin, dan mungkin, kompas baharu.’
Di sinilah penulis menyalin prinsip polifoni Mikhail Bakhtin ke dalam struktur cerpen Melayu.
Kesinambungan Dua Teks
Cerpen “SP999.9” ialah teks amaran yang mengangkat hujah bahawa wang fiat ialah ilusi maya, tanpa sandaran hakiki. Sedangkan emas perak (dinar-dirham) ialah penyimpan nilai sebenar, kalis inflasi, terbukti sepanjang sejarah Islam. Lantas, Ibn Khaldun dijadikan kerangka teori klasik bagi menyambung ekonomi dengan keadilan sosial. “SP999.9” berfungsi seperti sebuah khutbah intelektual yang membawa data, menegur, mengingatkan.
Manakala “SP24K” pula ialah gema yang lebih besar. Dunia fiksyen dalam teks tahun 2025 digoncang oleh krisis pasaran global akibat “Liberation Day Tariffs” Donald Trump. Saham gergasi teknologi runtuh, kilang-kilang Asia Timur tergoncang, ekonomi digital menjerit tanpa suara. Namun dalam kekalutan itu, emas kembali bersinar. Dan Kirana, sekali lagi, muncul sebagai suara yang mengingatkan. Maka, jadilah kedua-dua teks ini saling melengkapi. Yang pertama ialah tanda seru yang keras, jelas, mendesak. Yang kedua ialah gema polifonik yang berlapis, resonan, berdenyut dalam banyak suara.
Polifoni sebagai Eksperimen
Penulis mahu pembaca berasa bagaikan sedang menyusuri lorong pasar suara, dari satu kedai ke satu kedai, mendengar hujah yang tidak serupa, memilih sendiri yang dipercayai …
Secara mudah, polifoni bererti “banyak suara yang setara”. Konsep ini menolak dominasi satu suara mutlak. Setiap watak membawa ideologi dan hidup dengan kebenaran masing-masing. Mereka berdebat, bersilang faham, malah saling menolak, tetapi tidak ada satu pun yang dipadamkan. Pengarang bukanlah khatib yang memberi kata akhir, sebaliknya berfungsi selaku konduktor orkestra yang mengatur, membiarkan suara-suara itu bergaung sendiri secara jujur.
Penulis memilih bentuk kolaj dan polifoni kerana mahu teks menyerupai festival suara. Ada laporan ekonomi, ada petikan jurnal, ada dialog panel. Termasuklah ada forum maya dan ada ucapan pemimpin dunia. Semuanya disusun tidak linear, seperti serpihan teka-teki yang menuntut pembaca merakit sendiri maknanya.

Penulis mahu pembaca berasa bagaikan sedang menyusuri lorong pasar suara, dari satu kedai ke satu kedai, mendengar hujah yang tidak serupa, memilih sendiri yang dipercayai, serupalah seperti kemajmukan pandangan terhadap pelaburan emas sekarang. Pelbagai teori dan amali dibentangkan, namun belum semua orang percaya kekuatan emas sebagai senjata dan perisai. Walhal leluhur Melayu-Islam sudah lama berpesan-pesan tentang kebenarannya.
Kedua-dua tajuk membentuk naratif lengkung 14 tahun, bermula dengan asas ketulenan (“SP999.9”), kemudian bergerak ke tahap penopang global (“SP24K”), seolah-olah mencatat sejarah dan gagasan protagonis Kirana (yang bermaksud emas) sendiri, yakni daripada suara idealis di ruang mesyuarat kepada gema polifonik di pentas dunia.
Inilah dialogisme Bakhtin. Tiada resolusi mutlak. Cerpen tidak menutup dengan jawapan tunggal, tetapi meninggalkan ruang tafsir yang terbuka. Kirana tidak pernah memberi kata putus. Dia hanya menyalakan lampu suluh, selebihnya pembaca yang menentukan arah.
Simbol dan Makna
Mengapa emas? Sebabnya ialah emas ialah logam yang keras tetapi reflektif. Emas tidak hancur dimakan masa, sebaliknya memantulkan cahaya yang jatuh ke atasnya. Demikian juga wacana emas dalam dua cerpen ini tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, apatah lagi cabaran akhir zaman. Sementelahan semakin berkilau apabila dunia semakin kelam.
Sastera tidak pernah neutral kerana sentiasa menjadi cermin yang memantulkan realiti sosial. Tidak terkecuali, sastera sering kali melampaui fungsi estetika untuk tampil sebagai wahana kritik terhadap sistem kuasa, struktur ekonomi, dan ideologi politik. Dalam tradisi Melayu-Islam sendiri, teks sastera berperanan sebagai medium nasihat (tazkirah), teguran (amar ma‘ruf nahi munkar) sekali gus ruang pergelutan makna yang membentuk kesedaran kolektif.
Dalam konteks kontemporari, karya yang berfokus pada gagasan emas dan perak seperti “SP999.9” dan “SP24K” menunjukkan bagaimana sastera mampu mengangkat perbahasan ekonomi-politik global ke dalam ruang naratif kreatif. Kedua-duanya mengkritik sistem kapitalisme yang berasaskan wang fiat, yang dilihat sebagai ilusi dan instrumen penindasan, sambil menampilkan alternatif Islam yang lebih adil, stabil dan spiritual melalui sandaran logam berharga.
Kekuatan sastera terletak pada keupayaannya mengolah idea besar dalam bentuk yang dekat dengan pengalaman manusia. Transformasi watak Kirana menyimbolkan bagaimana individu dalam teks sastera dapat mencerminkan aspirasi masyarakat Muslim yang mencari jalan keluar daripada krisis ekonomi-politik dunia.
Lebih penting, naratif spekulatif seperti “SP24K” menghidupkan prinsip polifoni Bakhtin, iaitu festival suara yang menolak dominasi tunggal. Laporan ekonomi, forum maya, petikan jurnal, dan ucapan pemimpin dunia disusun dalam struktur kolaj, menjadikan teks sebagai ruang dialog terbuka. Melalui teknik ini, sastera tidak lagi menuturkan cerita semata-mata, sebaliknya memanggil pembaca untuk turut serta dalam perdebatan.

Inilah fungsi sastera sebagai wahana kritik yang tidak memberi jawapan mutlak. Peranannya membuka horizon kesedaran. Dalam erti kata lain, sastera ialah seni mengarang kata-kata, lebih daripada itu sastera juga seni membina wacana satu medan bagi ideologi diuji, ditentang dan ditawarkan alternatif. Oleh itu, karya seperti ini mampu berdiri sebagai manifestasi politik budaya yang berpaksikan nilai Islam, bukan teks estetik sahaja.
Oleh sebab itulah, apabila penulis menulis dua cerpen ini, niatnya jelas iaitu melebarkan skop sastera melebihi didik hibur kepada wahana kritik ekonomi-politik yang lebih luas maksudnya. Watak Kirana diwujudkan untuk menentang dominasi kapitalisme global. Dia mengkritik media arus perdana yang menjadi jurucakap Barat. Dia membangunkan naratif tandingan berasaskan Islam.
Dua cerpen ini cuba mengingatkan bahawa literasi ekonomi adalah sebahagian daripada literasi iman. Jika kita memahami tipu daya wang fiat, kita akan sedar mengapa Rasulullah SAW meletakkan dinar dan dirham sebagai ukuran zakat, mahar dan muamalat.
Pun begitu, penulis sedar eksperimen ini tetap terbuka untuk kritikan. Sebab itulah penulis menganggapnya sebagai festival suara, termasuk suara sarjana dan kritikawan profesional serta pembaca wibawa yang mengkritik karya ini.
Apa yang penulis harapkan ialah satu sintesis baharu, iaitu polifoni Bakhtin yang berakar dalam budaya Melayu-Islam.
Jika Dostoyevsky menjadikan novel sebagai medan debat rohani manusia Rusia, penulis mahu cerpen Melayu menjadi medan debat maruah ekonomi umat Islam. Polifoni tidak semestinya terbatas pada suara falsafah Barat. Dalam tradisi tempatan, kita punya hikayat, syair, pantun, khutbah, muzakarah, dan semuanya ialah festival suara yang setara. Ketika menyalin prinsip polifoni ke dalam teks kita, penulis percaya sastera Melayu mampu melangkah ke pentas global tanpa kehilangan akarnya.
Tuntasnya, 14 tahun, dua cerpen, satu nama – Kirana yang berevolusi menjadi suara emas yang berat, bernilai, tidak reput dimamah masa. Evolusinya menandakan bahawa sastera mampu melampaui halaman akhbar dan majalah, menjelma menjadi wacana ekonomi-politik dan dasar peradaban.
Sekali lagi ditegaskan, penulis menulis untuk merakam zaman dan menyusunnya semula dalam laras sastera. Dan dalam usaha itu, penulis belajar bahawa sastera ialah kompas moral, pelita ekonomi, sekali gus festival suara.
_________________________
Zanazanzaly lahir di Pasir Mas, Kelantan. Beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah (Pengarang) di Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan merangkap editor Qiadah, majalah korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Zanazanzaly pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun 2003, 2008 dan 2010, Hadiah Penulisan Skrip Radio IKIM (2009), Hadiah Sastera Negeri Kelantan (2003), Hadiah Cerpen Kearifan Tempatan (2022), dan Hadiah Puisi Sains dan Teknologi (2022). Sejak tahun 2018, beliau mencipta teknik kepengarangan buku gaya baharu, dengan mengaplikasikan genre hibrid dalam multidisiplin ilmu.