Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Siratan ialah sebahagian daripada unsur seni yang terdapat dalam semua genre kesusasteraan Melayu, tidak terkecuali bagi dunia perfileman termasuk seni muzik (lagu).
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad berkata, unsur tersebut menjadi lambang kekuatan akal dalam proses kreativiti matang.

Katanya, makna siratan dalam konteks ini ialah teguran, kritikan, sindiran, bahkan nasihat dengan cara berfikir secara beradab serta beretika bagi menjaga sensitiviti semua pihak.
“Siratan atau hal-hal tersembunyi, persembahannya secara simbolik. Inilah suatu seni yang menjadikan kebijaksanaan menulis secara tersirat.
“Sesuai dengan adat orang Melayu yang sememangnya tidak terlalu cepat menegur secara terang-terangan tetapi penuh berhemah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Academia-Talk Siri 1 Tahun 2025 yang membincangkan topik “Makna Siratan dalam Kajian Karya Kesusasteraan” anjuran Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Sesi perbincangan tersebut dikendalikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, ASWARA, YBrs. Encik Azrie Izham Hamzah.
Kata Ariff lagi, karya sastera Melayu yang sarat dengan unsur-unsur pengajaran sama ada secara tersurat atau tersirat mampu melonjakkan anjakan minda masyarakat, seiring dengan perubahan zaman.
Beliau berkata, akar daripada makna siratan ialah kritikan Melayu melibatkan bidang kemanusiaan yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu itu sendiri.
Justeru tegas beliau, setiap karya kreatif bukan sekadar untuk dibaca atau ditonton semata-mata bagi mengisi masa lapang, sebaliknya menuntut seseorang pembaca memahami makna tersirat secara rasional dan bijaksana.
“Kerana itu, kita perlu menghargai seni yang berbagai itu dengan melihat dari sudut maknanya. Makna-makna yang segar dan bijaksana sangat menarik apabila kita memahami seninya,” katanya.
Beliau berkata, elemen siratan sebenarnya sudah lama terselit dalam kebanyakan karya ciptaan para penulis tanah air, termasuklah dalam karya-karya berunsurkan politik.
Beli Makna Siratan dalam Novel Politik Melayu oleh Airff Mohamad di sini.