Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBagi Salman Sulaiman, penyair bukan sahaja memilih tema yang menarik tetapi juga mengeksploitasi bahasa bagi mendapatkan kesan pengucapan sajak yang sempurna.
Baha Zain memang cukup dikenali sebagai seorang penyair yang gemar menulis tentang perempuan dalam sajak-sajaknya, malah beliau juga seorang pengkritik yang baik. Baha juga seorang penulis sajak sinis yang punya kekuatan yang tersendiri.
Gaya bahasa seterusnya yang terkesan dalam antologi Cerpen-cerpen dan Sajak-sajak Pilihan ialah anafora, iaitu pengulangan satu kata/perkataan atau lebih pada awal baris puisi. Gaya bahasa anafora ini terkesan dalam beberapa buah sajak, antaranya termasuk sajak “Perjanjian” oleh Ali Ahmad, juga dalam “Batu-batu” oleh Muhammad Haji Salleh, dan lebih jelas dalam “Cinta” karya Jalaluddin Rumi.
Ali Ahmad yang lebih dikenali dalam dunia kritikan sastera turut menulis sajak dengan memakai nama pena Alis Murni. Khalayak sastera lebih mengenalinya sebagai Ali Ahmad bukan Alis Murni.
Dalam gaya persajakan Alis Murni atau Ali Ahmad, S. Othman Kelantan (2002) menyatakan, “Dengan suara yang keras, tajam, sinis dan agak kontroversi, Kassim menjadi seorang penggaris peta puisi Malaysia yang jelas. Bentuk puisinya tidak ada pengikut, akan tetapi beberapa orang lagi, misalnya Alis Murni, juga membawa bentuk yang sama. Bezanya suara dan nada puisi Kassim lebih luas dalam frasa dan pemilihan diksinya, kalau dibandingkan dengan Alis Murni yang kasar dan bolos dalam frasanya dan diksinya.”
Dalam sajak “Perjanjian”, Ali Ahmad menegaskan bahawa Allah adalah yang paling menepati janji. Janji Allah bagi hamba yang patuh, tunduk, takut melakukan dosa dan berjihad menentang nafsu ialah syurga firdausi yang bakal menanti.
Diperturunkan bahasa anafora yang diguna pakai oleh Ali Ahmad dalam sajaknya yang berikut:
………..Siapa jua yang patut taat,
………..Siapa jua yang tunduk tasyahud
………..Siapa jua yang takut atas dosa-dosa
………..Siapa jua yang jihad terhadap nafsu
………..Kemenangan baginya pasti
………………….Syurga Firdausi.
Frasa “Siapa jua” yang diulang dalam empat baris sajaknya ini memberikan kesan kepada pembaca bahawa “siapa jua” yang dimaksudkan hanyalah manusia tertentu yang bakal menghuni syurga firdausi, iaitu mereka yang patuh, tunduk, takut, dan berjihad melawan nafsu sahaja. Syurga bukan untuk golongan manusia yang sebaliknya, iaitu yang tidak patuh dan tidak takut dosa.
Pengulangan frasa “Siapa jua” ini memberikan penegasan yang jelas dan nyata kepada pembaca bahawa yang dimaksudkan oleh Ali Ahmad dalam sajak ini ialah manusia terpilih sahaja.
Pengulangan sebegini (anafora) lebih jelas dan terang dalam sajak Jalaluddin Rumi yang berjudul “Cinta”. Jalaluddin menegaskan kepada khalayak, disebabkan cinta, segala-galanya boleh berubah dan bertukar.
Jalaluddin mengulang frasa “karena cinta” dalam setiap baris sajaknya. Perulangan yang nyata dan jelas ini menegaskan apa-apa yang berlaku “kerana cinta” dalam sajak Jalaluddin Rumi akan senang difahami oleh pembaca.
………..karena cinta duri menjadi mawar
………..karena cinta cuka menjelma anggur segar
………..karena cinta pentungan jadi mahkota penawar
………..karena cinta kemalangan menjelma keberuntungan
Demikian pengulangan dalam sajak “Cinta” karya Jalaluddin Rumi. Penyair Islam agung ini merumuskan persoalannya kepada khalayaknya bahawa kerana cinta, semua perkara boleh jadi.
Gaya bahasa hibrid pula dapat dikesan dalam sajak “Laut” karya Kemala. Hibrid bermaksud pemilihan serta penyusunan perkataan, iaitu dua perkataan yang digabungkan menjadi sepatah kata. Memang Kemala menggemari gaya ini dan hal ini juga dapat dikesan dalam sajaknya yang lain seperti “Susila”. Diperturunkan baris yang mengandungi gaya hibrid tersebut:
………..Kasihsayang nenektua, matanakal cucu
………..bertemu di sini
………..angin jauh mencari harmoni
………..tergetar bibir di dalam tafsir
………..di sini : di hati ini kekasihku
………..meruap hargadiri
Dengan menggabungkan dua perkataan kepada sepatah kata begini secara tidak sengaja Kemala menambahkan kekayaan bahasa Melayu. Pengucapan yang padat serta padu oleh Kemala dapat dirasakan oleh khalayak pembaca. Di sini, dengan sendirinya pembaca faham bahawa betapa pentingnya kesepaduan antara kasih dengan sayang, juga kesepaduan antara harga dengan diri dalam kehidupan manusia.
Gaya bahasa lain yang terkesan dalam antologi ini ialah asonansi yang bermaksud pengulangan bunyi vokal yang sama pada perkataan yang berurutan dalam baris-baris sajak. Lihat sajak Baha Zain yang berjudul “Perempuan”:
………..Selepas ini kau menjadi lebih tak pasti lagi
………..ombak-ombak nafsu yang bergelombang di perutmu.
Lihat pengulangan vokal ‘i’ dalam baris pertama kutipan sajak “Perempuan” tersebut. Pengulangan yang dilakukan oleh Baha memberikan satu kesan keindahan kepada pembacanya. Tambahan pula, Baha memilih untuk berbicara mengenai perempuan. Pengulangan sebegitu memberikan keindahan pengucapan kepada sajaknya, malah pengucapannya akan lebih indah jika dideklamasikan.
Baha Zain memang cukup dikenali sebagai seorang penyair yang gemar menulis tentang perempuan dalam sajak-sajaknya, malah beliau juga seorang pengkritik yang baik. Baha juga seorang penulis sajak sinis yang punya kekuatan yang tersendiri. Pengulangan vokal ‘i’ dalam sajak ini memberikan satu keindahan yang menarik dalam sajak Baha Zain.
Pengulangan sebegini juga dapat kita lihat dalam sajak Muhammad Haji Salleh yang berjudul “Pagi di Sekamat”:
………..Suaranya kecil seperti kenal akan ketenangan
………..terbangnya cepat, hanya kepalanya melipatkan angin.
Dalam dua baris sajak di atas, kita dapat melihat bagaimana Muhammad mengulang vokal ‘e’ pada kedua-dua baris sajak tersebut. Muhammad bukan penyair yang romantik dan melankolik seperti Usman Awang. Beliau penyair intelektual yang sajaknya penuh dengan falsafah dan pemikiran. Akan tetapi, dengan gaya pengulangan vokal sebegini, sajak Muhammad juga mempunyai keindahan yang tersendiri.
Usman Awang, satu-satunya sasterawan Malaysia yang mendapat gelaran Seniman Agung sesudah Tan Sri P. Ramlee ini memang dikenali sebagai pengarang sajak yang puitis, romantik dan melankolik.
Gaya bahasa terakhir yang bakal disentuh dalam perbincangan ringkas ini ialah personifikasi, iaitu pemberian sifat manusia kepada objek yang bukan manusia, seperti tumbuhan, haiwan, fikiran, perasaan, dan hal-hal abstrak atau disebut juga sebagai pengorangan. Gaya berbentuk kiasan ini agak digemari oleh penyair lama dan baharu di Malaysia.
Gaya personifikasi, antaranya, dapat dikesan dalam sajak “Laut” karya Kemala dan sajak “Sungai Kelang” karya Latiff Mohidin. Dalam sajak “Laut”, Kemala melihat laut seperti pemuda tangkas yang diasuh waktu dan bagaimana laut itu memeluk kehadirannya. Secara sedarnya, penyair religi yang autobiografik ini memberikan sifat orang kepada laut. Diperturunkan sebahagiannya:
………..akulah laut
………..pemuda tangkas asuhan waktu
……….. ………..
………..malam pertaruhan
………..badai perkasa memeluk hadirku
Gaya personifikasi ini juga dapat dikesan dalam sajak Latiff Mohidin berjudul “Sungai Kelang”:
………..ia merangkak
………..dengan lidah terjulur
………..di tengah kota
………..dengan dada penuh nanah
Di sini, Latiff memberikan kesan yang mudah kepada pembaca bagaimana nasib Sungai Kelang yang tidak lagi mengalir tetapi merangkak, ditambah lagi dalam keadaan lidahnya yang terjulur. Dada sungai itu pula dipenuhi nanah, iaitu pencemaran daripada tangan-tangan manusia sendiri.
Gaya memberikan sifat orang kepada sungai begini, membawa kesan pemahaman yang mudah kepada khalayak bahawa apabila orang yang merangkak dengan lidah terjulur dan dadanya pula dipenuhi nanah bermakna orang itu sudah terlalu nazak dan tenat. Begitulah juga yang dialami oleh Sungai Kelang yang sedang nazak ditelan arus kemodenan kota yang pesat. Maka, khalayak pembaca dengan sendirinya akan faham bahawa Sungai Kelang dalam keadaan nazak dan tenat yang teramat sangat.
Gaya personifikasi ini juga dapat dikesan dalam sajak Usman Awang yang berjudul “Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya”. Usman Awang, satu-satunya sasterawan Malaysia yang mendapat gelaran Seniman Agung sesudah Tan Sri P. Ramlee ini memang dikenali sebagai pengarang sajak yang puitis, romantik dan melankolik. Nada hiba dan mendayu-dayunya itu juga terkandung dalam sajak “Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya”.
Nada sedih dan hibanya itu lebih terasa apabila Usman memberikan sifat orang kepada pohon beringin yang bernasib malang. Diperturunkan rangkap yang mengandungi gaya personifikasi itu sebahagiannya:
………..Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang
………..dengarlah suara beringin mengucapkan pesan;
………………Selamat tinggal, selamat tinggal wahai awan
………………Selamat tinggal matari selamat tinggal bulan
………………Selamat tinggal kupu-kupu sayang
………………Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang
………………Selamat tinggal anak-anak bermain riang
Nasib malang yang menimpa beringin tua itu akan lebih nyata dan terserlah setelah dipersonifikasikan oleh Usman dengan mendayu-dayu, meratap dan merayu seperti manusia. Di sini, pembaca akan faham bagaimana malang dan hibanya beringin tua itu. Beringin tua itu diberikan suara seperti manusia, dan hibanya akan lebih terasa di jiwa pembaca.
Begitulah sebahagian eksploitasi bahasa yang digunakan dalam beberapa buah sajak yang sempat dibicarakan. Kekreatifan setiap penyair memanipulasikan bahasanya dalam bersajak sebenarnya memberikan kesan yang cukup penting kepada setiap khalayak pembaca.
Kepentingan gaya bahasa dalam bersajak memang tidak dapat dinafikan lagi. Gaya inilah yang memberikan kesan yang pelbagai kepada setiap pembaca dan tentunya kesannya yang lebih istimewa kepada pembaca yang tekun. Dengan gaya bahasa itulah kita mengenal Usman Awang yang lebih dekat dengan puisi tradisional; Kemala, Suhaimi Haji Muhammad dan Rahimidin Zahari dengan sajak sufi; Muhammad Haji Salleh dan Rahman Shaari yang lebih berfalsafah; dan Latiff Mohidin bersama-sama Siti Zainon Ismail dengan imej alamnya yang kental. Juga ratusan lagi penyair Malaysia yang lain yang turut hadir dengan keanekaragaman gaya bahasa.
Setiap penyair mempunyai gaya pengucapan yang tersendiri dalam bersajak dan setiap sajak yang mereka hasilkan melahirkan kesan yang tersendiri pula kepada khalayak pembaca. Menafikan gaya bahasa yang baik dan indah dalam bersajak adalah seperti menafikan sajak yang berkualiti.
RUJUKAN
Ahmad Kamal Abdullah, 1998. “Latiff Mohidin dan F. Garcia Lorca: Menghadapi Sepi, Sang Maut dan Puitika” dlm. Perisa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ali Ahmad, t.t. Cerpen-cerpen dan Sajak-sajak Pilihan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Ali Ahmad, 1971. Asas Menganalisa Sajak. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Ali Ahmad, 1994. Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Arbak Othman, “Mengungkap Rahsia Bahasa Puisi” dlm. Berita Harian, 27 Januari 2001.
Awang Abdullah, “Puisi: Warna Kata dalam Misteri Makna” dlm. Dewan Sastera, hlm. 39 – 41, Julai 1998.
Azman Hussin, 2001. Candu. Pasir Puteh: Pustaka Pemikir.
Baha Zain, 1992. Rawa-rawa. Kuala Lumpur: Pustaka Cipta Sdn. Bhd.
Baha Zain, 2000. Esei dan Puisi: Tentang Penulis dan Persekitarannya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kemala, “Kesenimanan dan Kekreatifan Usman Awang dan Alexander Pushkin: Suatu Perbandingan” dlm. Dewan Sastera, hlm. 37 – 45, Julai 2003.
Malaysia. Panel Anugerah Sastera Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991. Laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh, 1988. Pengalaman Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh, 1999. Menyeberang Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari, “Sepintas Lalu tentang Puisi” dlm. Dewan Sastera, hlm. 80 – 85, Januari 2001.
Shahnon Ahmad, 1991. Sastera sebagai Seismograf Kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Zainon Ismail, “Sketsa dan Puisi Pelukis” dlm. Dewan Sastera, hlm. 86 – 96, Januari 2001.
S. Othman Kelantan, “Penulis Terdahulu Lakar Peta Puisi Malaysia” dlm. Berita Harian, 1 Januari 2002.
Zurinah Hassan, 1990. Sasterawan Negara Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
Kredit Gambar: Birmingham Museums Trust/Unsplash
_________________________
Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.