Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBagi Salman Sulaiman, penyair bukan sahaja memilih tema yang menarik tetapi juga mengeksploitasi bahasa bagi mendapatkan kesan pengucapan sajak yang sempurna.
Memang setiap sajak mempunyai tafsiran yang berbeza mengikut setiap pemahaman pembaca. Manakala di sisi penulisnya sendiri, sajak yang dihasilkan mempunyai makna yang tersendiri juga.
Sajak merupakan sebahagian daripada pengucapan berseni dalam sastera Melayu moden. Sajak, kini juga disebut sebagai puisi. Puisi juga asalnya mencakupi pantun, syair, gurindam, seloka, nazam, dan banyak lagi. Kini, dalam perkembangan sastera Melayu moden di Malaysia, sajak lebih senang disebut sebagai puisi.
Dalam penelitian saya terhadap aspek bahasa puisi dalam antologi Cerpen-cerpen dan Sajak-sajak Pilihan susunan Prof. Ali Ahmad (sebuah kompilasi peribadinya untuk tujuan pengajian dalam kuliahnya), saya akan menggunakan istilah sajak terhadap semua puisi moden yang bakal dibicarakan. Sajak menurut beberapa orang sarjana dan penyair besar dunia mempunyai definisi yang agak berbeza. Saya perturunkan sebahagian daripada definisi itu (Awang Abdullah, 1998:39–41):
Sajak adalah pengucapan dengan perasaan yang dalamnya mengandungi fikiran dan tanggapan. (H.B Jassin)
Sajak adalah bentuk sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. (Muhammad Haji Salleh)
Sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua. (Baha Zain)
Kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik. (Samuel Taylor Coleridge)
Dalam definisi yang diketengahkan di atas, walaupun agak berbeza tapi yang pasti, bahasa yang indah dan pemikiran atau falsafah (mesej) perlu ada dalam sajak. Bagi menyimpulkan kesemua definisi tadi, Toto Sudarto Bachtiar memaknakan sajak dalam bentuk yang lebih berseni, iaitu – juga dalam sajak:
……….terlalu hampir tetapi terlalu sepi
……….tertangkap sekali terlepas kembali
Barangkali, dalam erti yang lebih indah dan berseni itulah sebenarnya yang dinamakan sajak. Sajak kadang-kadang senang difahami, kadang-kadang agak sukar ditelusuri maknanya. Sekejap dapat ditangkap maknanya dan pada ketika yang lain, maknanya terlepas begitu sahaja. Memang setiap sajak mempunyai tafsiran yang berbeza mengikut setiap pemahaman pembaca. Manakala di sisi penulisnya sendiri, sajak yang dihasilkan mempunyai makna yang tersendiri juga.
Akan tetapi, apabila sebuah sajak tersiar di mana-mana penerbitan dan dibaca oleh khalayak, sajak itu menjadi hak milik pembaca sepenuhnya. Khalayak bebas mentafsirnya, mengikut daya pemahaman masing-masing. Ramai yang beranggapan bahawa makin sukar sesebuah sajak itu difahami maka makin tinggilah mutu sajak itu. Di sinilah aspek gaya bahasa memainkan peranan penting dalam pengucapan sajak.
Kini, ada segelintir penulis yang menolak sajak-sajak yang sukar difahami, apatah lagi sajak-sajak kabur yang ditulis oleh M. Ghazali, Noor S.I dan A.S Amin. Antara penulis tersebut termasuklah seorang penulis muda dari Pasir Puteh, Kelantan – Azman Hussin. Bagi Azman, sajak ialah “Persandingan manusia perempuan dan lelaki – kata yang cantik, lembut dan harmoni itu perempuan; idea bernas, menusuk fikiran/perasaan, dan hikmah itu lelaki. Kedua-duanya harus satu rasi. Idealnya, lelaki harus bijak, perempuan harus cantik.”
Mengikut definisi ini, Azman tetap mementingkan kebijaksanaan dalam sajak, tetapi beliau menolak sajak yang agak sukar difahami seperti beliau telah menolak sebahagian besar sajaknya sendiri dan hanya mengakui sebanyak 40 buah sahaja yang kemudiannya dikumpulkan dalam antologi Candu (Azman Hussin, 2001:iii).
Walau ramai yang menolak idea Azman, tetapi bagi seorang pengkritik sastera dari Univerisit Putra Malaysia, Arbak Othman tetap mengakui bahawa sajak Azman juga mempunyai gaya bahasa yang indah dan agak sukar difahami (Arbak Othman, 2001).
Natijahnya, bahasa dalam sajak memainkan peranan penting dan tersendiri. Bahasa dalam sajak itu pula akan memberikan kesan-kesan tertentu kepada pembaca. Setiap penyair atau penyajak mempunyai gaya bahasa dan pengucapan yang tersendiri dalam menghasilkan sajak. Gaya bahasa yang tersendiri itu pula akan memberikan kesan-kesan yang tertentu kepada pembaca.
Muhammad Haji Salleh bersajak dengan penuh bijaksana dan intelektual, berbeza daripada Latiff Mohidin yang bersajak dengan penuh rasa, kesan daripada sentuhan rasanya sebagai penyair-pelukis yang unik.
Apabila merujuk beberapa buah sajak dalam antologi Cerpen-cerpen dan Sajak-sajak Pilihan, gaya bahasa yang digunakan pelbagai, mengikut keperibadian setiap penyairnya.
Pertama, kita lihat penggunaan imej alam dalam sajak “Batu-batu” karya Sasterawan Negara (SN) Prof. Muhammad Haji Salleh dan “Sungai Mekong” karya Latiff Mohidin. “Batu-batu” merupakan antara sajak awal Muhammad yang agak banyak mengundang kontroversi dan secara tidak sengaja turut menaikkan namanya. Sajak ini termuat dalam kumpulan sajak pertamanya, Sajak-sajak Pendatang.
Muhammad menerima banyak sindiran (di samping pujian), bagaimana seorang manusia terpelajar sepertinya yang begitu tinggi daya imaginasi dan kreativitinya menulis hanya tentang “masyarakat batu”. Baginya, batu-batu itu juga ada masyarakat dan mempunyai satu corak kehidupan yang istimewa dan tersendiri. Batu itu dimanusiakan dengan daya imaginasi yang tinggi. Baginya, masyarakat batu juga mempunyai sistem hidup dan undang-undangnya sendiri sebagaimana manusia.
Imej batu yang digunakan memberikan kesan yang begitu berbeza kepada pembaca. Imej batu yang digunakan oleh Muhammad jarang-jarang diperhatikan oleh penyair yang seangkatannya, membuatkan sajak ini mendapat perhatian yang istimewa daripada khalayak pembaca.
Kesannya, khalayak akan merasakan bahawa sindiran dan teguran Muhammad dalam sajak ini cukup berbeza dan lebih istimewa kerana beliau menggunakan imej yang jarang-jarang diperhatikan orang. Batu-batu itu tentunya tidak berguna pada tanggapan sesetengah orang, tapi tidak bagi Muhammad.
Diperturunkan sebahagian sajak tersebut untuk diteliti imej alam yang digunakan oleh Muhammad:
………..batu-batu ini ada masyarakatnya
………..tegak atau berbaring di kaki langit
………………….mereka hidup dan mati
………..dalam undang-undang batu
………..yang besar di atas
………..yang kecil di bawah
………..yang besar akan jadi kecil
………..yang jatuh dari atas pecah
………..yang tertahan dengan hati batu
………..yang kecewa dan kecil di dalam bayang
………..mereka tau tempatnya,
………………….faham akan undang-undang wujudnya.
Kesan lain lagi kepada pembaca yang peka, bahawa teguran Muhammad dalam sajak ini masih mampu dengan sinis dan bijaksana menegur khalayaknya. Pengolahannya terkesan dengan teguran yang agak sinis tetapi dalam gabungan imej alam yang indah setelah masyarakat batu itu dimanusiakan.
Hal ini dapat dilihat dalam dua baris akhir sajak ini. Muhammad menyindir manusia yang melanggar undang-undang apabila masyarakat batu pun kenal tempat asal dan undang-undang kewujudannya. Lebih batu daripada batulah manusia yang tidak kenal kewujudan dan asal usulnya.
Muhammad bersajak dengan penuh bijaksana dan intelektual, berbeza daripada Latiff Mohidin yang bersajak dengan penuh rasa, kesan daripada sentuhan rasanya sebagai penyair-pelukis yang unik. Penyair yang begitu mesra dengan imej alam ini meluahkan rasa sepi yang teramat sangat dalam sajaknya “Sungai Mekong”. Tanpa membaca nama penulisnya, kita sudah dapat meneka sajak yang ditulis oleh Latiff Mohidin kerana beliau mempunyai gaya persajakan yang tersendiri, seperti juga Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain.
Paling jelas, permainan alamnya dapat ditelusuri dalam sajak “Sungai Mekong”. Diperturunkan sebahagiannya:
………..2
………..sungai mekong
………..nafasmu begitu tenang
………..lenggangmu begitu lapang
………..di tebingmu
………..ada ibu bersuara sayu
………..mencari suara puteranya yang hilang
………..waktu ia merebahkan wajahnya
………..ke wajahmu
………..kau masih bisa senyum senang.
Menurut SN Shahnon Ahmad, puisi yang baik tidak mempunyai kesan yang tetap. Ia hidup dan berkembang, memberikan kesan yang pelbagai rupa pula (Shahnon Ahmad, 1991:186). Latiff Mohidin seperti menghilangkan kewujudan dirinya sendiri, lantas bergabung dengan alam yang sangat akrab dengan dirinya sebagai penyair-pelukis yang begitu peka dan kreatif.
Sajak “Sungai Mekong” memberikan kesan yang berpanjangan kepada pembaca. Pembaca akan turut berasa kesepian, seperti apa yang dirasai oleh Latiff. Latiff memulakan sajaknya dengan rasa sepi yang dialaminya, kemudiannya, beliau bersatu dengan alam – beliau ingin mencapai bulan dan matari, diakhirinya pula dengan bencana dan kedukaan yang bakal menimpa alam.
Kesannya kepada khalayak pembaca, peliharalah alam ini sebaiknya sebelum ia musnah. Sajak Latiff bernada sepi, sayu, damai, dan tenang kerana beliau kerap mengembara dalam alam yang penuh rama-rama, pokok-pokok menjalar, burung, rumput, belalang, cemara, dan segala macam imej alam lagi. Memang Latiff begitu sebati dengan alam. Sebagai seniman yang peka dan perasa, beliau menawarkan kesan yang cukup istimewa pada setiap peneliti sajaknya.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
Kredit Gambar: Birmingham Museums Trust/Unsplash
_________________________
Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.