Diterbitkan pada 31 Julai 2025, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Irfan Fikri membidas tulisan Jack Malik tentang polemik penghayatan dan penilaian puisi, khususnya dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini.

Imaginasi yang tidak bersandar pada etika atau pandangan sarwa bukan penerokaan, tetapi pelarian daripada tanggungjawab sastera …

Jack Malik menulis dengan gaya apologetik yang lembut, namun jangan sampai kelembutan itu menutup kekeruhan hujahnya. Dalam tulisan bertajuk “Ada Cara Lain (untuk) Merenung”, Jack mengangkat retorik “selera” dan “cita rasa” sebagai pembela utama pada kemenangan puisi eceran Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022. Seolah-olah perbezaan mutu karya dapat dileburkan dalam pelangi keanekaragaman gaya. Namun, dalam ruang penjurian yang memerlukan ketelitian dan pertanggungjawaban, pendekatan sebegini bukan sahaja longgar, malah berisiko kerana membiakkan virus relativisme budaya yang merosakkan.

Pertama, Jack menyatakan bahawa cita rasa terbentuk daripada pengalaman. Ya, dan itulah sebabnya penjurian tidak boleh disandarkan semata-mata pada cita rasa. Cita rasa tanpa disiplin intelektual ibarat kompas yang mabuk laut. Dalam penjurian, kita bukan meraikan keunikan peribadi, tetapi menegakkan penilaian objektif berdasarkan pandangan sarwa, keutuhan bentuk dan isi, serta nilai falsafah yang menyumbang pada tamadun. Jack lupa bahawa penjurian bukan medan nostalgia, tetapi medan tanggungjawab di mana penilai mestilah terdidik, terlatih dan memiliki keluasan bacaan. Jika semua orang boleh jadi juri hanya kerana mereka punya “pengalaman tersendiri”, maka para juri HSPM boleh digantikan dengan borang Google dan undian awam.

Seterusnya, Jack menulis: “Masalah timbul apabila ada yang berasakan cita rasa mereka lebih baik daripada cita rasa orang lain.” Yang sebenarnya, masalah sebenar timbul apabila cita rasa peribadi dianggap lebih sah daripada neraca keilmuan. Jack cuba mendemokrasikan penilaian seni dengan slogan “semua rasa itu sah”, namun melupakan bahawa karya sastera, apatah lagi yang diraikan pada peringkat kebangsaan sehingga layak dirasmikan oleh tokoh berstatus menteri, perlu tunduk pada piawaian yang lebih besar daripada selera peribadi, yakni weltanschauung (pandangan sarwa) yang membina. Dalam dunia tamadun, kita tidak menilai karya hanya kerana “aku suka”, tetapi kerana “karya ini memanusiakan”. Itu beza antara pembaca dengan pengkritik, antara peminat seperti Jack dan saya dengan juri seperti barisan para penilai HSPM.

Jack juga cuba mengangkat puisi “Sepi” karya T. Alias Taib sebagai contoh kehebatan tafsiran. Namun begitu, beliau mengelirukan bentuk dengan isi, gaya dengan makna. Sepi ialah eksperimen bentuk oleh seorang penyair mapan yang sudah pun menzahirkan ratusan puisi lain yang kukuh dari segi isi. Satu kotak hitam di hujung senarai puisi T. Alias Taib tidak sama dengan satu kotak hitam oleh penyair baharu yang tiada wacana, malah puisi itu jika disoroti dari lensa kepenyairan T. Alias Taib, tidak pun begitu mewakili suara utamanya. Jack memetik Wittgenstein untuk menyokong “apa yang tidak boleh diungkap, biarkan tidak terungkap.” Ironinya, sajak SN Zurinah bukanlah sajak yang diam, tetapi sajak yang mahu bersuara dengan kata-kata (tidak seperti “Sepi” yang bersifat 3V) tetapi gagal mengungkap sesuatu yang benar-benar layak didengar. Wittgenstein akan lebih marah pada karya yang menyangka ia sudah mengungkap, padahal sekadar mengulang dongeng tanpa makna, apatah lagi rohani.

Kemudian, Jack menulis bahawa penceritaan semula ialah kerja serius. Benar. Akan tetapi, penceritaan semula juga perlu bijaksana. Jack memetik komik The Perry Bible Fellowship untuk menyokong kreativiti interpretasi semula fabel. Namun beliau mengabaikan konteks di mana SN Zurinah bukan menulis kartun gelap untuk web satira, tetapi menulis puisi yang dipilih untuk memenangi anugerah sastera utama negara. Adakah kita menilai kartun sinis dengan kriteria yang sama seperti calon teks sastera kebangsaan? Jika ya, mari kita serahkan HSPM kepada pengendali TikTok yang pastinya lagi banyak “apa kalau …” yang mereka boleh reka. Interpretasi semula fabel perlu bertolak daripada pemahaman nilai asalnya. Kisah arnab dan kura-kura dalam memori tamadun bukanlah kisah remeh tentang pilihan kalah atau menang. Kisah ini kisah tentang akhlak, konsistensi dan kesombongan yang ditewaskan. Jika hendak mentafsir semula, maka hendaklah dengan kesedaran rohani, bukan sekadar ironi murah yang mencuri perhatian.

Jack juga menulis bahawa bahasa Zurinah ringan dan tidak berbunga, dan ini telah dijelaskan oleh beliau sendiri. Namun kelemahan bukan kekuatan hanya kerana hal itu disengajakan. Jika seorang pelari maraton berjalan perlahan kerana kecederaan, hal itu tidak menjadikan dia pemenang hanya kerana dia sedar dia cedera. Jika puisi itu lemah, tak kiralah sama ada disengajakan atau tidak, ia tetap lemah. Bahasa sederhana tidak semestinya cacat, tetapi bahasa yang gagal memikul makna yang dalam, itulah kecacatan. Puisi ialah seni menggali, bukan hanya memetik permukaan. Jika bahasa itu ringan, biarlah maknanya dalam. Jika maknanya pun cetek, maka itu bukan puisi tetapi status WhatsApp atau stories IG atau Telegram.

Akhirnya, Jack memuji elemen “bagaimana kalau” dalam puisi SN Zurinah sebagai penerokaan pemikiran baharu. Tapi kalau begitu, karya clickbait pun boleh dianggap sebagai penerokaan baharu.

“Bagaimana kalau Rapunzel potong rambut sendiri?”

“Bagaimana kalau Mahsuri bukan dizalimi tapi berlakon?”

Imaginasi yang tidak bersandar pada etika atau pandangan sarwa bukan penerokaan, tetapi pelarian daripada tanggungjawab sastera. Sastera bukan medan eksperimen kosong, tetapi medan merumikan makna dalam batas nilai dan kebenaran. Jika interpretasi alternatif membawa nilai bertentangan dengan roh masyarakat, adakah ia masih layak diraikan? Sastera yang menentang akal budi bukanlah avant-garde, tetapi avant-tolol.

Sebenarnya, kita tidak pernah membenci puisi Zurinah ini, apatah lagi figura beliau yang telah pun diterima luas, hasil karya-karya seperti Salasilah sebelum ini yang jauh lebih kuat dari segi nilai, bentuk dan kedalaman. Namun, kemenangan puisi “Perlumbaan Arnab dan Kura-kura” ini terasa penuh ketempangan berdasarkan hujah-hujah yang telah kita kemukakan. Tambahan pula, percubaan memberikan nafas baharu pada kisah klasik ini bukanlah sesuatu yang asing. Marwilis Haji Yusof telah pun mendahuluinya lebih awal dalam novel Perlumbaan Kedua dengan pendekatan yang jauh lebih kaya dari segi dramatik, struktur nilai dan perwatakan.

Dalam karya itu, watak Tuk Kura digambarkan sebagai pemimpin strategik yang melatih generasi baharu kura-kura, berhadapan sabotaj politik oleh Sang Tedung, dan akhirnya menang bukan kerana simpati atau simbolisme kosong, tetapi kerana kecerdikan kolektif, kebijaksanaan akal dan nilai perjuangan maruah. Jelas, tafsiran Marwilis terhadap fabel ini bukan sahaja lebih segar, tetapi lebih jujur terhadap semangat asal kisah itu sendiri. Bahkan ruang yang dipilih oleh Marwilis melalui novel lebih kena berbanding puisi seperti yang dipilih Zurinah, apatah lagi Zurinah juga pernah menulis novel.

Jack juga mahu kita merenung dengan “cara lain”. Tapi bagaimana jika cara renung itu tanpa mata? Tanpa neraca? Tanpa nilai? Maka, jadilah kita masyarakat yang menyembah puisi kosong, hanya kerana “lain” atau “mesra selera”. Itu belum lagi kita bicara tentang kerapuhan penilaian seribu orang demikian seribu pendapat, maka menjadilah masyarakat sastera kita seperti sekelompok orang buta yang mencuba untuk memahami bentuk gajah dengan meraba-rabanya. Puisi yang menang harus membimbing, bukan sekadar memujuk apatah lagi percubaan menunjuk taring. Menggugah, bukan mendodoikan hikayat palsu. Dan inilah kegagalan sebenar dalam sajak yang dipertahankan oleh Jack Malik, ia gagal mengangkat manusia, sebaliknya menurunkan tahap sastera ke tahap sekadar “persembahan tafsiran bebas”, setidak-tidaknya menurut Jack Malik.

Sastera tidak boleh dikembiri atas nama keterbukaan membuta tuli. Sastera mesti kembali kepada kerangka adil-beradab, kepada pandangan sarwa yang menyedarkan kita akan darjat manusia dan tujuan kewujudan. Jika tidak, kita hanya membaca bayang-bayang di dinding gua dan menyangka itu cahaya.

_________________________

Irfan Fikri ialah pembaca setia Dewan Sastera dan pemerhati bebas perkembangan kesusasteraan tanah air.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi