Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNik Mohd Hafiz Abdullah memberikan reaksinya sebagai penulis muda dalam dunia puisi selepas Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022.
Terbaharu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) baru saja berakhir. Tahniah kepada para pemenang. Walau bagaimanapun, bak kata pepatah, rumah sudah siap pahat masih berbunyi …
Penulis terkenang satu kejohanan dikir barat sewaktu sekolah menengah apabila sekolah penulis gagal mendapat tempat pertama. Perasaan tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut membuatkan penulis dan rakan-rakan berpakat membuat bantahan kepada juri. Malangnya, setelah bantahan dibuat, keputusan itu kekal. Kami pulang dengan kekecewaan.
Begitulah hakikat sebuah pertandingan subjektif seperti kejohanan dikir barat atau peraduan melukis. Berbeza daripada pertandingan objektif yang melibatkan kutipan mata atau perlumbaan, pertandingan subjektif lebih terdedah pada penilaian manusia. Keputusan yang dibuat oleh juri boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Walaupun format pertandingan boleh digubah supaya lebih adil, tidak dapat dinafikan, bias masih boleh berlaku.
Terbaharu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) baru saja berakhir. Tahniah kepada para pemenang. Walau bagaimanapun, bak kata pepatah, rumah sudah siap pahat masih berbunyi – masih kedengaran suara-suara yang mempertikai keputusan juri. Apatah lagi, setelah terang lagi bersuluh, kurangnya penulis muda yang memenangi HSPM edisi kali ini. Malah, tiada langsung dalam kategori Puisi Eceran.
Hadir menjawab pertikaian ini, Datuk Dr. Lim Swee Tin, sebagai salah seorang juri kategori Puisi Eceran HSPM telah menerangkan secara panjang lebar sebab-musabab ketiadaan penulis muda dalam kategori yang diadili oleh beliau.
Menurut Datuk Dr. Lim, karya para penulis muda:
Penulis pasti nasihat Datuk Dr. Lim datang daripada semangat untuk memperbaiki mutu karya penulis muda. Akan tetapi, alangkah baik jika beberapa langkah awal diambil terlebih dahulu sebelum menegur penulis muda sedemikian rupa. Izinkan penulis menjelaskan.
Jika diperhatikan, sejak 10 tahun kebelakangan, kemenangan sayembara puisi (eceran dan berkumpulan) banyak berpihak pada puisi yang sudah dikenali sekian lama. Bagaikan khalayak puisi tidak mahu berpisah dengan puisi sedia ada. Betulkan jika penulis tersilap, hanya Dondang Pembukaan karya Lutfi Ishak sahaja yang berjaya menambat hati juri Sayembara ITBM-PENA-BH dengan karya yang segar dan “lari” daripada kebiasaan puisi sedia ada. Hal itu berlaku pada tahun 2015. Setelah itu, tiada lagi kemenangan yang mencabar puisi sedia ada. Maka, bagaimana penulis muda hendak mengubah gaya berpuisi kalau gaya baharu tidak disukai juri?
Lanjutan daripada itu, format kebanyakan sayembara puisi yang terlalu bebas juga mengehadkan gaya penulisan puisi penulis muda. Mungkin penganjur mengharapkan dengan meletakkan tema bebas, para penulis menjadi lebih kreatif mencipta kraf puisi mereka. Penulis berpendapat sebaliknya. Jika penulis tahu, sejak 10 tahun lalu tiada puisi gaya baharu yang memenangi sayembara, mengapa penulis mahu mencuba gaya baharu? Buang masa sahaja.
Oleh itu, format pertandingan yang lebih tertumpu boleh menggalakkan para penulis muda untuk mengasah kemahiran, seperti yang diimpikan oleh Lim Swee Tin. Sebagai contoh, usaha Datuk Jasni Matlani mempromosikan puisi esei sangat penulis puji. Selain memberi isyarat supaya penulis muda berfikir di luar kotak, usaha itu juga boleh meluaskan lagi khazanah puisi negara.
Akhir sekali, penulis ingin menekankan masalah jurang antara penulis mapan dengan penulis baharu. Agak menyedihkan apabila menyedari terdapat kelompok penulis muda yang terpinggir (atau meminggirkan diri) daripada kelompok utama. Mereka tidak menghadiri program-program sastera utama tetapi lebih memilih bergaul dalam acara-acara terpencil dan terpilih.
Puisi-puisi yang mereka cipta pula mampu menerjah sempadan perpuisian tanah air, mencabar status quo dan membuka laluan baharu supaya sastera Malaysia lebih dikenali pada peringkat antarabangsa. Malangnya, gaya baharu mereka sering dipandang sinis oleh para penyair mapan. Bukankah sikap ini membunuh kreativiti puisi?
Kesimpulannya, kita sudah agak terkebelakang dalam membincangkan evolusi puisi. Sepatutnya, kita sudah melihat kerencaman puisi tanah air sejak 10 tahun lalu. Andai kita mahu melihat penulis muda lebih berani merintis dunia baharu perpuisian, maka satu dimensi pemikiran perlu diatur, dibentuk dan dikembangkan supaya kreativiti puisi negara tidak terlangkup di bawah tempurung puisi yang lapuk.
_________________________
Nik Mohd Hafiz Abdullah baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Kini bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.