Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSyafiq Said mengimbau kembali pengalamannya mengikuti Minggu Penulis Remaja 2013 dan mengenali seorang sahabat penulis yang cukup dikaguminya.
Kau bayangkan aku yang muda remaja ketika itu sedang gila menulis pula, begitu terkesan dan terkagum-kagum sendirian.
Kubuka dan kulayangkan keping-keping gambar memori lama. Ada tasik berlumut hijau matcha. Ada sederet chalet di pinggir tasik. Aku, Tuah Sujana dan (…) sedang merungkai bagasi masing-masing, menyusun segala keperluan peribadi ke dalam almari kecil. Kami akan menjadi teman bilik sepanjang Minggu Penulis Remaja (MPR) ini. Aku memilih katil hujung, sedikit terpencil, berhampiran jendela. Ada bau segar daun-daun hutan dihantar masuk hembusan angin melalui jendela yang sedikit terbuka. Bau buah mangga sedang ranum paling kuat menggamit ingatan. Aku meninjau-ninjau kalau-kalau ada rezeki untuk kupetik sebiji dua buah di pohon mangga yang agak besar di sebelah chalet itu. Di seberang tasik, ada dewan tempat kami diminta hadir untuk bengkel pertama nanti.
Tasik menghijau, mengingatkan aku pada teh matcha yang digilai setahun dua ini. Alga telah menguasai setiap inci tasik. Sekali-sekala kelihatan kelibat ikan merah jambu mengilas dan menyambar. Tilapia tentunya. Tilapia memang mudah dijaga tetapi ia spesies pendatang. Dibiar di dalam air sekotor ini pun masih gemuk-gemuk tubuhnya. Aku juga spesies pendatang, tidak pernah menulis secara serius, tidak pernah tersiar karya di mana-mana tetapi ada di kolam MPR ini hari ini.
Taruhan aku besar. Manakan tidak, dalam gelora remaja yang baru jatuh cinta pada sastera, aku mengambil jalan aneh, berisiko, yang ditentang seberapa ramai orang: aku memilih untuk berhenti sebentar pelajaran akademikku, memecah tabung peribadi, membiayai tiket dan terbang pulang dari Jordan ke Lembah Pangsun ini untuk aku belajar sastera. Mungkin suara hasutan ketika itu ialah “Apa guna menjadi doktor yang memahami anatomi, tetapi tak memahami manusiawi.” Sasteralah jawapannya. Dalam hal cinta, aku memang gelojoh, menonong begitu.
Akhirnya (rupa-rupanya), aku belajar lebih daripada itu. Sekeping gambar lama, ada aku dan Tuah. Tuah Sujana, Tuah Sujana, Tuah Sujana. Siapakah lelaki misteri itu yang datang dengan senyum manis dan disambut penuh mesra oleh para staf Dewan Bahasa dan Pustaka? Aku kemudiannya mendengar, Tuah datang menghadiri MPR semata-mata formaliti. Dia sepatutnya datang sebagai tenaga pengajar bukan peserta. Sajaknya “Kudup Perang” baru diangkat sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam usia yang muda (sekarang sebahagian daripada silibus KOMSAS) dan cerpennya “Cinta Senafas Angsa” dikatakan setanding bahkan melangkaui kualiti karya penulis mapan lain. Wajah kecinaan, senyuman menawan, rambut belah tengah. Agak nerd. Aku memberanikan diri menghulurkan tangan, “Shafiq Said.” Kalau dibandingkan aku dengannya, aku yang berkulit gelap, berambut gondrong, muka kampung, berjeans lusuh, kemeja bundle, tidaklah cantik berada atau bergambar di sebelah Tuah, tetapi Tuah bermulut manis. Aku selesa berkawan dengannya.
“Aku baca ‘Kudup Perang’, sedaplah sajak ’tu. Tahniah.” Basa-basi biasa aku kepada penulis lain. Sekadar pancingan.
Malam-malam seterusnya menjadi malam-malam perkongsian yang menarik, malam pencerahan, titik epifani dan luka seorang perawan dibungkam cinta pertama. Entah kenapa aku merasakan, aku belajar lebih banyak di luar bilik kuliah MPR.
Aku hanya ingin kongsikan dua memori. Sekadar pancingan, mungkinkah dapat sekali lagi bertemu denganmu, Tuah? Apa khabar kau sekarang, Tuah?
Pertama, Tuah mengeluarkan sekotak rokok dari beg galasnya. Aku hairan kerana sehari dua ini tidak nampak dia merokok.
“Hisap rokok?”
Dia menggeleng dan tersengih, “Tidak”.
Selepas berbual tahulah aku yang dia sedang menulis satu karya dan sedang mahu menghayati apa perasaan orang merokok, bagaimana suasananya, baunya, gayanya untuk digambarkan semula dalam tulisan. “Ini satu kaedah dan kajian penulis yang true,” katanya. Gamam juga aku dibuatnya.
Kau bayangkan aku yang muda remaja ketika itu sedang gila menulis pula, begitu terkesan dan terkagum-kagum sendirian. Sampai ke tahap itu rupanya mahu jadi penulis? Tuah hujahkan pula Kafka yang boleh dan ingin menjadi apa-apa sahaja dalam karya, layak pencipta, kerana itu, ego penulis itu harus besar kerana merasakan ada kuasa mencipta di tangan. “Habis ’tu, ketika Pak Samad menulis Salina?” Kami terburai ketawa memikirkan yang bukan-bukan.
Kedua, satu malam Tuah menghulur sehelai kertas, ada bertulis sajak. “Ini rahsia,” katanya. Ada seorang peserta sudah mengirim sajak cinta kepadanya. Ah sudah, aku malas ambil tahu tapi Tuah kata dia akan membalas tulisan itu. Terpulanglah Tuah, aku tak mahu masuk campur. Aku datang dengan niat menuntut ilmu, tak ada masa aku nak melayan cerekarama sebegini. Ini Minggu Penulis Remaja, bukan Gila-gila Remaja. Barangkali Tuah menemui jodohnya di MPR? Tetapi bukankah baru semalam dia bercerita dia ada menyukai seorang ustazah?

Aku tahu akhirnya Tuah membalas sajak itu dengan melakukan pembetulan dan ulasan pada sajak itu, seperti seorang editor! Kau bayangkan ada bunga mengirim salam perkenalan, tetapi dibalas tajamnya kritikan terhadap karya. Agak menghiris jika difikirkan semula, ya?
Berakhirnya MPR dengan aku dinobat sebagai penuntut terbaik (sekadar merakam), mungkin sebab itu aku dan Tuah kemudiannya selalu berhubung dan berbalas pandangan tentang karya dan kehidupan, tetapi kami semakin menjarak dan akhirnya terputus hubungan begitu sahaja. Tuah hilang dari media sosial dan hilang dari ranah sastera. Aku menulis ini sedang menahan jeram rindu. Maaf Tuah kalau aku tidak pandai bersahabat.
Kalaulah Program Alumni MPR yang disusun September ini menjadi wadah untuk Tuah kembali (menulis). Alangkah seronoknya?
Pembimbing
Rindu rasanya ingin bertemu semula rakan-rakan MPR dengan memakai sikap yang lebih santai.
Nasihat yang selalu diulang-ulang dalam bengkel penulisan yang setahu aku berasal daripada butir bicara Sasterawan Negara A. Samad Said kepada Faisal Tehrani, “Baca, baca, baca kemudian barulah menulis” – tetapi Salman Sulaiman menambah kepada aku, “Baca, baca, baca, kembara, kemudian barulah menulis.” Lutfi Ishak pula mengajar tanggungjawab menulis tidak terhenti di atas kertas. Shamsudin Othman memangkas sajak aku seperti memangkas pokok yang tumbuh terlalu liar, hingga hampir tinggal dahan sahaja. Daripada beliau aku belajar, bonsai jadi indah kerana tersusunnya pemangkasan dan akur pada dawai latihan bertahun-tahun. S.M. Zakir mengenalkan aku pada dunia cerpen yang lebih luas, aku mula menyukai karya-karya Italo Calvino setelah disarankan oleh beliau. Arwah Azman Al-Kurauwi antara yang memuji cerpen aku dalam bengkel. Mungkin beliau faham latar dan watak yang aku ceritakan kerana beliau juga bekas pelajar dari Timur Tengah.
Terima kasih para pembimbing, kalian bukan sahaja mengajar tetapi yang lebih utama membuka pintu pada khazanah sastera yang luas. Terima Kasih Cikgu Jusoh Majid kerana masih menerima dan menguruskan permohonan menyertai MPR, walaupun belum ada karya yang tersiar dalam majalah dewan ketika itu. Terima kasih Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rekreasi Fikiran
Pagi itu kami dibawa masuk meredah hutan menuju air terjun Ulu Perdek. Ini hari terakhir kami berbengkel. Setelah lelah mendaki dan gatal-gatal gigitan nyamuk, kami dihadiahi bunyi asyik deruan air menuruni batu-batu. Air terjun bertingkat-tingkat seolah-olah tangga terhasil secara semula jadi menggamit mata. Aku melepaskan lelah, menyegarkan fikiran dan menjamu mata melihat alam terbentang. Di sana, kami diminta menyiapkan tulisan bertemakan air terjun.
Aku tidak tahu apa yang aku tulis tetapi dalam mengenang semula, aku lihat air sungai menjadi bahasa yang terbit daripada mata air yang jernih. Aku lihat penulis-penulis mengambil manfaat dan meneguk dari tingkat yang berbeza-beza. Segalanya menjadi air terjun yang indah apabila semua itu mengalir turun, mengikuti laluannya yang berbeza-beza, dengan halangan yang berbeza-beza dan takungan yang terbentuk juga berbeza. Kata Zaen Kasturi, sastera itu ibarat air, raikan dan nikmati dulu semuanya, jangan pula kita menahan-nahan dan menggolongkan sesuatu karya kerana tidak kena dengan selera kita.
Rindu rasanya ingin bertemu semula rakan-rakan MPR dengan memakai sikap yang lebih santai. Mungkin dahulu aku agak tidak berkawan kerana taruhan aku besar, terlalu fokus pada perkara “buku” buat aku agak menyesal. Aku lambat belajar bahawa menulis itu kerja yang sunyi, tetapi menjadi penulis itu kerja bermasyarakat.

Benar, MPR ini pertama kali diwujudkan pada September 1985 bagi mencungkil dan menggilap bakat penulis muda tanah air. Data menunjukkan MPR telah melahirkan hampir 600 penulis. Daun persoalan jatuh ke tengah tasik fikiran: di mana anak-anak MPR ini pada hari ini? Secara logiknya, 600 benih yang disemai pasti sudah bercambah dan menjadi hutan yang meriah.
Jika dijujuri, generasi MPR aku sendiri setelah 10 tahun, hampir separuh tidak lagi menulis. Dorman atau berhenti terus? Kemenjadian penulis menjadi tanda tanya. Ataupun, adakah kerana tempoh MPR yang agak singkat, tidak sempat untuk menempa dan mempersiapkan penulis muda menghadapi gelora di luar sana? Atau kita tidak sempat akrab untuk menjadi benih-benih tasbih yang berpautan, saling mengingatkan dan saling menguatkan?
Atas sebab itu aku merasakan program Alumni MPR yang akan diadakan sehari dua lagi ini penting untuk mengeratkan ukhuwah, merapatkan saf dan membetulkan langkah. Meminjam slogan adik-adik MPR 2024, “Sekali menulis, selamanya menulis!” Jangan juga dilupai, sejenak perkenalan, selamanya persahabatan.
______________________________
Shafiq Said Alumni MPR 2013, banyak menulis dalam genre puisi. Antara kumpulan puisi beliau termasuklah Merumahkan Kembara, Kata di Bahu Serigala dan Netramu Buruj di Langit Malam.