Diterbitkan pada 22 September 2025, 07:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ilham Budiman melaporkan ucaptama Festival Puisi Malaysia 2025 di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu (IPGMKKB), Kelantan.

Sastera bukan hanya penghibur, tetapi sudah lama dijadikan alat untuk mendidik masyarakat agar mengenali dan mengamalkan nilai-nilai yang dianggap baik dan mulia

Bagaimanakah sesuatu bangsa dikenali jati dirinya, dihormati dan dimuliakan, sekiranya tidak mewarisi dan memiliki keistimewaan, keunggulan dan kehebatan ciri bangsa, keunikan warisan leluhur dan keperibadian diri bangsanya lagi? Tidakkah hal ini akan menjadi seumpama sebatang puntung yang hanyut terapung-apung, entah ke mana?

Encik Wan Ashbi @ W. Maheran Leman yang merupakan Setiausaha Bahagian (SUB), Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengajukan pertanyaan demikian sebagai persoalan besar dan menarik untuk direnungi serta diinsafi secara bersama-sama melalui ucaptamanya semasa Festival Puisi Malaysia 2025, pada 20 September yang lalu.

Program festival ini yang bertemakan “Aspirasi dan Lestari: Sastera, Seni Budaya Negara”, dianjurkan oleh Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama MOTAC dan Dewan Bahasa dan Pustaka, berlangsung sepanjang tiga hari pada 18 – 20 September, di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu (IPGMKKB), Kelantan.

Puan Rohaiza Abdullah

Pembentangan ucaptama itu dibacakan oleh Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN), YBrs. Puan Rohaniza Abdullah yang mewakili beliau yang berhalangan hadir atas komitmen tugasnya.

Ujar beliau, pada masa kini, kita semua secara umum cukup menyedari bahawa golongan generasi muda, di mana-mana pelosok dunia sekalipun, sedang berhadapan dengan cabaran dan pengaruh besar dunia tanpa sempadan yang sudah semakin bergejala dengan serba bentuk kemudahan alatan, bentuk dan rupa isi segala jenis komunikasi dan isi bahannya.

Sehubungan dengan itu, beliau mengupasnya sebagai suatu wadah yang sudah bagai tidak mudah untuk dikawal lagi. Kebanyakan aplikasi yang mengisi serba jenis alatan atau peranti berupa segala macam perkara dan unsur yang melekakan, bahkan membuang masa dan sia-sia.

Inilah fenomena yang bergejala negatif. Sebahagian impak ini, tidak dapat dinafikan, membawa generasi muda semakin jauh, bagai puntung hanyut, terapung-apung, tidak cakna bagi mempedulikan lagi kepentingan dan kesedaran hakikat kepentingan jati diri, mengenal dan mencintai warisan bangsa, apatah lagi untuk berkemahiran pada seni budaya bangsa.

“Pada erti dan hakikatnya, generasi muda bukan hanya pemangkin, tetapi sebenarnya pewaris penting pada kedinamikan kebudayaan bangsanya.”

Namun demikian, sekiranya setiap lapis kesinambungan generasi muda ini tidak disemai dan dipupuk sedari awal, sebagaimana kata peribahasa Melayu, “Melentur buluh hendaklah dari rebungnya”, maka tidak mustahil semua warisan leluhur ini akan mudah terhakis, longgar dan akhirnya pupus serta lupus.

Oleh hal yang demikian, menjadi tanggungjawab semua pihak bahawa kesedaran tinggi pada usaha dan langkah menyemai, mengasuh, memelihara, memulihara, memupuk, dan membimbing generasi muda seawal kanak-kanak lagi supaya mengenal, menghargai dan mencintai jati diri; justeru keistimewaan serta keunggulan warisan kebudayaan bangsa adalah amat penting.

Ujar beliau, usaha untuk mewujudkan kelestarian secara kukuh, utuh dan mantap pada segala warisan dan kepentingan seni, sastera dan budaya yang diwarisi daripada leluhur sejak zaman-berzaman adalah penting sebagai tinggalan dan warisan yang amat besar dan tinggi nilainya.

Bukan sahaja pada konteks kita harus menjaga, memelihara dan memuliharanya daripada lenyap, pupus atau hilang begitu sahaja ditelan oleh zaman; malah bagi kepentingan anak bangsa sepanjang zaman.

“Kehilangan sesuatu warisan, bukanlah seperti hilang tercicirnya sesuatu benda atau barang di tengah jalan. Sebaliknya, merupakan suatu kehilangan besar sebagai suatu tragedi yang tiada ternilai oleh sesuatu bangsa, bahkan negara,” tegas SUB ini.

Beliau turut memberikan contoh tentang warisan bahasa, “Disedari atau tidak oleh generasi muda pada masa kini, bahasa sesuatu bangsa di dunia ini boleh pupus oleh akibat, bukan sahaja kerana jumlah penutur bangsanya semakin mengecil, kematian atau kehilangan golongan tua yang mewarisi tradisi bangsanya.

“Malah, termasuklah sikap generasi muda yang enggan bangga menggunakan dan memelihara bahasa warisan sendiri, justeru lebih mementingkan bahasa lain sebagai bahasa bertaraf antarabangsa, serta akibat ledakan modenisasi dan dunia tanpa sempadan.”

Sejumlah bahasa di dunia ini, mungkin tidak begitu disedari umum telah pun lenyap dan terdapat sejumlah lain lagi sebagai bahasa yang sedang menunggu masa untuk turut pupus.

Baginya, warisan seni dan budaya juga boleh terancam pupus sekiranya tidak diambil cakna pemeliharaan dan pemuliharaannya. Apatah lagi, sekiranya generasi muda sebagai pewaris budaya bangsanya tidak mengenal, mengetahui, bangga, menghargai, dan mencintai warisan leluhurnya sendiri.

Hal ini boleh dan akan terjadi, sekiranya generasi muda semakin terpengaruh dan hanyut dengan gejala negatif daripada acuan budaya Barat yang tidak menyamai dengan nilai-nilai kesantunan dan akal budi dalam budaya Timur. Oleh itu, kelestarian ini perlu didukung secara bersama-sama, saksama dan bijaksana.

Beliau turut menerangkan, kesusasteraan dan kebudayaan pada hakikatnya tetap dapat bergabung jalin, rapat dan bersinonim. Malah, kesusasteraan tetap merupakan salah satu isi penting yang cukup kental sebagai jiwa yang indah, halus dan murni pada pengisian dan pemaknaan dalam kebudayaan.

Dari segi kesusasteraan pula, tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang tidak mewarisi khazanah kesusasteraan daripada warisan nenek moyang dan peradaban bangsanya. Oleh itu, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada isi jiwa bangsa.

Oleh itu, kesusasteraan, sama ada daripada warisan sedari periodisasi tradisional dan kecemerlangan daripada hasil karya kreatif moden atau mutakhir, berserta warisan dan kelangsungan segala isi, jiwa serta rupa dan bentuk persembahan, kesenian dan kebudayaan, tetap dapat berwibawa dan bermandiri secara unggul, istimewa serta besar signifikannya.

“Hal demikian adalah bermanfaat pada mengisi aspirasi bagi mendinamikkan dan menggemilangkan kebersamaan kepentingan Dasar Kebudayaan Negara terhadap kepentingan bangsa dan masyarakat majmuk, serta negara,” ujarnya.

Daripada kebijaksanaan akal budi para pengarang dan penyair jugalah, sebagai golongan yang begitu peka dan bijak mengolah isi sastera pada segala permasalahan yang bergolak dalam kehidupan manusia; maka banyak pemikiran dan pengajaran boleh dimanfaatkan dan diteladani.

Beliau memetik kata-kata Sasterawan Negara Profesor Muhammad Haji Salleh yang pernah mengujarkan: “Sastera bukan hanya penghibur, tetapi sudah lama dijadikan alat untuk mendidik masyarakat agar mengenali dan mengamalkan nilai-nilai yang dianggap baik dan mulia.”

Kesusasteraan dan kebudayaan ialah dua bidang yang saling berhubung rapat antara satu dengan lain dalam nilai-nilai murni sesebuah peradaban, negara dan bangsa.

Kesusasteraan merupakan suatu bidang yang tidak seharusnya diabaikan oleh masyarakat, khasnya dalam kalangan generasi muda. Kesusasteraan mengandungi unsur pemikiran halus yang bijaksana dan taakulan mendalam, serta mempunyai asuhan kemurnian jiwa.

Sastera turut menyentuh kehalusan emosi, simpati dan empati, serta penghayatan pada nilai-nilai murni. Malah, tidak dapat dinafikan, kesusasteraan merupakan perakam jiwa bangsa dan sejarah bangsa.

Dalam konteks ini, ujar SUB ini lagi, “Kita boleh belajar dan mengambil teladan daripada negara-negara Barat, yang walaupun terkedepan dalam pencapaian kemajuan dunia sains dan teknologi, namun peradaban Barat sampai kini sama sekali tidak mengabaikan, mengetepikan atau membuang sama sekali kepentingan bidang kesusasteraan.

“Lihat sahaja, pada contoh, misalnya Hadiah Noble yang cukup terkenal sebagai penerimanya, bukan sahaja individu daripada kalangan ahli sains, tetapi juga individu golongan kesusasteraan,” beliau mengajak merenung.

Itulah sebabnya, pada hakikatnya, kesusasteraan dan kebudayaan ialah dua bidang yang saling berhubung rapat antara satu dengan lain dalam nilai-nilai murni sesebuah peradaban, negara dan bangsa.

Hal demikian, bersesuaian dengan segala garis dan landas yang diiltizamkan bagi menepati dan memenuhi aspirasi negara sebagai Negara Madani yang dapat turut diisikan kepentingan besarnya oleh kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan.

Antara lain lagi, beliau menegaskan bahawa kesusasteraan, kesenian, folklor dan kebudayaan merupakan isi jiwa dan pemikiran, kekreatifan dan keunggulan, keistimewaan dan keunikan, serta jati diri dan asuhan moral dalam manifestasi dan kelangsungan hidup manusia, pada setiap bangsa, masyarakat dan etnik.

SUB ini merumuskan bahawa manusia hidup secara berbudaya, malah kental dan utuh dengan keistimewaan, keunikan dan keindahan warna-warni kebudayaan masing-masing, di seluruh pelosok dunia ini.

“Generasi mudalah sebagai pemangkin dan pewaris segala keistimewaan dan keunggulan budaya bangsa daripada terhakis, longgar, pupus dan lupus,” pesan beliau.

Platform festival anjuran GEMA ini diisikan secara dinamik dan menarik dengan pelbagai program mencakupi seminar, baca puisi jemputan khas dan pelbagai kaum, persembahan kesenian muzik tradisional pelbagai kaum, tarian pelbagai kaum, dikir barat, lagu daerah, lagu puisi, dendangan puisi tradisional, persembahan silat, dan demonstrasi karikatur.

_________________________

Ilham Budiman menetap di Pantai Timur.

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Zainal Abidin Muhamad
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi