Oleh Nimoiz T.Y
Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Berdiri di Hadapanmu, DBP
(Selamat Ulang Tahun ke-70 DBP)

Di sini terhimpun manuskrip bangsa
pada helai demi helai jilid sejarah
terakam dengan kesetiaan
sebagai jejak panjang sebuah perjalanan.

Di sini bahasa bukan sekadar literasi
sastera bukan sekadar diksi
yang lalu di bibir watan
tetapi benih ingatan
ditabur ke ladang zaman
agar bangsa tidak tenggelam.

Di bawah payung 152
restu dari jiwa pahlawan
bahasawan dan sasterawan menatang nyalakata
mengangkat bahasa ke muka zaman
agar tidak tercicir dari lidah generasi
atau luput dari ingatan peradaban.

Ketika dunia semakin menjauh dari akar
akan tetap ada jiwa-jiwa pencinta
menjaga bahasa daripada padam
seperti menjaga api kecil
di tengah gelita malam panjang.

Dewan Bahasa dan Pustaka
restu jiwa pahlawan
terus berdiri di menara waktu
bagai gunung yang menyimpan rahsia
menghidupkan warisan akal budi
dalam gelora ombak zaman.

20 Jun 2026
Ipoh, Perak

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi