Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Bharu – Satu daripada persoalan yang sering dihadapi oleh penulis di negara ini adalah bagaimanakah untuk memasarkan hasil penulisan mereka? Atau, bentuk karya yang bagaimanakah yang dapat menambat hati penerbit agar karya mereka terpilih, diterbitkan dan dipasarkan?
Bagi merungkai persoalan penting ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), pada pagi tadi menganjurkan Dialog Editor: “Daripada Naskhah ke Pasaran”, yang berlangsung di Kolej Vokasional Pangkalan Chepa.

Menurut Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail, dialog tersebut merupakan suatu inisiatif yang amat penting dalam memberikan ruang kepada para penulis, khususnya mereka yang baru memulakan perjalanan dalam dunia penulisan untuk mendapatkan panduan dan maklumat yang tepat mengenai bagaimanakah mereka boleh membawa hasil karya mereka daripada sekadar naskhah di atas kertas, kepada sebuah karya yang dapat diterbitkan dan dipasarkan.
“Dalam dunia penulisan, perjalanan karya bermula daripada idea dan tulisan di atas kertas atau skrin komputer. Namun begitu, langkah selanjutnya pastinya adalah untuk menjadikan karya tersebut diterbitkan supaya dapat dikongsikan dengan pembaca seterusnya dikenali dan dihargai oleh masyarakat,” ucap Puan Ariza ketika menyampaikan Ucapan Perasmian Penutupan Dialog Editor: “Daripada Naskhah ke Pasaran” dan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2025.
Tambahnya lagi, Dialog Editor pada kali ini lebih istimewa apabila sebahagian daripada peserta yang menghadiri dialog ini ialah mereka yang telah menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2025, yang diadakan baru-baru ini yang memfokuskan tentang panduan secara terperinci berhubung dengan dunia penulisan cerpen, puisi dan rencana.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan oleh Ketua GEMA, Encik Zainal Abidin Muhamad, beliau menyatakan bahawa hasil daripada Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2025 telah berjaya mengimpunkan pelbagai karya daripada para peserta dan GEMA bakal menerbitkannya dalam bentuk antalogi cerpen dan puisi, kemudian karya para peserta itu juga akan dinilai untuk penganugerahan yang akan dimuktamadkan kelak.

Menurut Ahli Panel Dialog Editor: “Daripada Naskhah ke Pasaran”, iaitu Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Encik Sakri Abdullah; Pengasas Penerbitan Kata Pilar, Dr. Fahd Razy; dan Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Aninah Janang, ratanya-ratanya bersependapat bahawa penulis, khususnya penulis muda perlu berani untuk berkarya, mengenal “rumah penerbitan”, menyertai lebih banyak bengkel penulisan yang dianjurkan dari semasa ke semasa dan membuat kajian serta rujukan tentang karya yang diperlukan untuk diterbitkan dan dipasarkan. Jika semua usaha ini dilakukan, penulis akan mendapat pendedahan yang tepat untuk membawa hala tuju naskhah yang dihasilkan kelak.
Sesi dialog yang berlangsung selama satu jam setengah itu dikemudikan oleh Pengacara dan Penyampai Berita RTM, yang juga Ikon Siarawan, Encik Mohd Ismail Adnan selaku moderator.
