22 Julai 2022, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan program Diskusi Buku DBP-UM. Diskusi ini melibatkan dua orang pembicara, iaitu Dr. Ariff Mohamad, pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membicarakan buku yang berjudul Taman Insaniah karya Shamsudin Othman dan Dr. Nurhamizah Hashim, pensyarah UM yang membincangkan buku Siri Kajian Tokoh dan Karya Pilihan Noordin Hassan: Jalan Panjang Teater Fitrah. Moderator bagi diskusi ini ialah Dr. Nasirin Abdillah yang merupakan pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). 

Menurut Dr. Nurhamizah Hashim, buku Noordin Hassan: Jalan Panjang Teater Fitrah mempunyai lima bab termasuklah Riwayat Hidup Noordin Hassan, Konsep Teater Fitrah, Tahap Perkembangan (Daripada Nasionalisme-Perkembangan Teater Fitrah), Tahap Akhir (Teater Fitrah Sebagai Citra Kesejagatan) dan yang terakhir ialah Kesimpulan.  Noordin Hassan mempunyai latar belakang yang sangat menarik termasuklah aspek pendidikannya selain menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya ialah Anugerah S.E.A Write Award (1987), dan Anugerah Sasterawan Negara (1993).

Ulas Dr. Nurhamizah Hashim, SN yang lahir pada 18 Januari 1926 itu banyak menghasilkan drama kerana beliau pernah mengikuti kursus drama di University of Newcastle.

Antara tujuan drama yang diterbitkan kebanyakannya untuk menghidupkan kembali imej tradisional yang tersingkir daripada pentas teater moden dengan mengetengahkan puisi lama, nyanyian boria, komedi bangsawan dan tarian Melayu. Drama tersebut juga sekali gus berjaya memanfaatkan unsur teks Melayu lama.

Dr. Ariff Mohamad pula dalam pembicaraannya memfokuskan tentang Makna Siratan Unsur Nilai Peribadi (Perilaku) dalam Kumpulan Puisi Taman Insaniah karya Shamsudin Othman.

Perbincangan beliau melibatkan kaedah interpretasi dengan tujuan memberikan pengertian dan pemaknaan terhadap setiap puisi yang dihasilkan. Ujarnya,

pemahaman terhadap perilaku individu tertentu dalam sesebuah teks amat penting diberikan makna supaya dapat difahami oleh pembaca.

Sebagai contoh, dalam Hikayat Hang Tuah terdapat peristiwa melibatkan Hang Jebat terpaksa kalah walaupun sudah menghalau Sultan Melaka dari istana dan kematiannya pula di tangan Hang Tuah. Dalam makna yang tersirat, Hang Tuah itu tetap menang dalam situasi apa-apa sekalipun. Secara keseluruhannya, persoalan yang dibawakan dalam puisi-puisi dalam kumpulan ini iaitu kesyukuran, pembinaan diri, keinsafan, persahabatan, juga politik dan patriotisme bersesuaian dengan perkataan Insaniah yang membawa erti sifat kemanusiaan.

Diskusi tersebut diakhiri dengan pandangan daripada Dr. Nasirin Abdillah yang mengatakan bahawa sastera memberikan impak yang besar dan bukan sebagai hiburan semata-mata. Dalam karya sastera juga terpancar cetusan rasa dan idea pengarang yang sebenarnya merupakan gambaran dan hasrat sesetengah masyarakat kita sendiri.

Tonton bicara tersebut di sini:

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.