Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penyair tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai perakam peristiwa atau pencatat sejarah semata-mata, sebaliknya perlu berperanan sebagai pemikir, pentafsir dan penggali makna kehidupan.
Demikian ditegaskan oleh Abizai ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Penyair Bukan Sekadar Perakam Zaman” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.
Menurut beliau, tanggapan tradisional terhadap penyair sebagai saksi zaman kini tidak lagi memadai dalam menghadapi dunia yang semakin rencam dan mencabar.
Kepesatan teknologi, arus globalisasi yang deras serta perubahan nilai dalam masyarakat menuntut penyair untuk tampil dengan peranan yang lebih luas dan mendalam.
“Penyair hari ini bukan sekadar merakam apa yang berlaku, tetapi perlu menyoal, mentafsir dan menggali nilai-nilai kemanusiaan yang tersembunyi di sebalik peristiwa,” jelasnya.
Tambah beliau, penyair berkewajipan mengutip semangat zaman serta memaparkan pemikiran dan falsafah yang terkandung di dalamnya agar karya yang dihasilkan mampu memperkaya jiwa masyarakat.
Perubahan ini, ujar Abizai, menuntut penyair melangkaui tahap melaporkan pengalaman, suasana atau isu semasa secara permukaan. Sebaliknya, karya puisi harus menampilkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang dapat difahami dan dihayati oleh khalayak yang lebih luas, merentas latar budaya dan masa.
Beliau menegaskan bahawa karya yang hanya mengemukakan isu tanpa tafsiran segar dan mendalam akan mudah dilupakan.
“Puisi yang sekadar menjadi tempelan isu atau luahan perasaan semata-mata tidak akan mampu bertahan sebagai karya malar segar. Sebaliknya, puisi yang teliti dalam pengucapan dan kaya dengan renungan mampu mencabar pemikiran serta meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca,” ujarnya.
Bagi menjelaskan ciri-ciri puisi yang baik, Abizai merujuk puisi “Batu Akik” karya penyair Indonesia, Acep Zamzam Noor yang terkandung dalam kumpulan puisi Berguru kepada Rindu (2017). Dalam puisi tersebut, puisi diibaratkan seperti batu akik yang permukaannya halus, kedalamannya dapat diterawang dan sinarnya memancar ke luar.
“Kiasan ini menunjukkan bahawa puisi yang baik bukan hanya indah di permukaan, tetapi mempunyai kedalaman makna yang membolehkan pembaca melihat lebih jauh daripada apa yang tersurat,” katanya.
Puisi sedemikian bukan sahaja menggugah fikiran, malah menyentuh perasaan pembaca secara halus dan berpanjangan.
Beliau turut menekankan kepentingan kedalaman renungan dalam proses penciptaan puisi.
“Renungan mendalam membolehkan penyair menggali makna di sebalik sesuatu peristiwa atau pengalaman, lalu mengangkatnya ke tahap pemikiran yang lebih luas tentang kehidupan, masyarakat dan alam semesta.
“Puisi yang lahir daripada proses ini, bukan sekadar berfungsi sebagai hiburan, tetapi menjadi wahana pencerahan dan pembuka ruang pemikiran baharu,” jelasnya lagi.
Namun begitu, kedalaman renungan tidak dapat dipisahkan daripada penghayatan estetik penyair. Abizai menjelaskan bahawa penghayatan estetik merujuk kepekaan terhadap keindahan dan nilai seni dalam bahasa serta pengalaman hidup.
Oleh itu, penyair perlu berupaya melihat keindahan dalam perincian kecil kehidupan dan menterjemahkannya melalui susunan kata yang seimbang, harmoni dan menyentuh perasaan.
“Apabila penghayatan estetik tinggi, puisi tidak lagi sekadar rangkaian perkataan, tetapi menjelma sebagai karya seni yang membawa pembaca memasuki dunia yang penuh makna dan keindahan,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau turut memetik gagasan yang terkandung dalam sajak “Mata Penyair” karya Subagio Sastrowardoyo. Sajak tersebut menggambarkan betapa pentingnya mata zahir dan batin penyair dalam menyingkap makna di sebalik realiti.
Rakyat dalam sajak itu menuntut mata penyair kerana percaya mata itu mampu mengubah pasir menjadi emas, simbol keupayaan penyair mengangkat sesuatu yang biasa menjadi bernilai.
Ironisnya, apabila mata itu diambil, keajaiban yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya, penyair yang menjadi buta secara fizikal mampu melihat dunia dengan lebih indah melalui pandangan batin.
Gambaran ini, menurut Abizai, menegaskan bahawa keindahan dan kebenaran sejati tidak terletak pada penglihatan fizikal, tetapi pada kejernihan pandangan dalaman seorang penyair.
Mengakhiri pembentangannya, Abizai menegaskan bahawa penyair masa kini perlu hadir sebagai pencipta makna yang membantu masyarakat memahami kehidupan secara lebih mendalam.
Penyair sejati, katanya, bukan sahaja mencerminkan zaman, tetapi turut memberikan pencerahan, mengubah sudut pandang dan menyentuh jiwa pembaca.