Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Karya puisi Abizai, Sasterawan Sarawak boleh diibaratkan sebagai memoir dan fragmen kehidupannya. Begitulah rumusan Dato Dr. Jeniri Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak yang juga merupakan ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika memperkatakan dunia kepenyairan Abizai dalam Wacana Pemikiran Sasterawan Sarawak yang berlangsung di Pentas Utama, The Hills pagi tadi.
Sepanjang karier penulisannya, Abizai pernah mendapat Anugerah Penyair GAPENA (2018), Anugerah SEA Write Award (2017) dan Anugerah Sastera Sarawak (2021). Jelas Dato Dr. Jeniri Amir yang mula membaca karya Abizai sejak tahun 1992 lagi:
Penyair Abizai mempunyai jenamanya yang tersendiri. Bahkan kalau saya membaca puisinya tanpa mengetahui terlebih dahulu dia yang menulisnya, maka saya akan dapat tahu bahawa puisi itu ialah puisinya.
Hal ini demikian kerana Abizai merupakan seorang penyair yang mengabadikan dirinya dalam dunia perpuisian. Menurut beliau, sikap kesungguhan, komitmen dan keinginan untuk menjadi penyair yang berjaya wajar dijadikan contoh oleh penulis muda.
Dato Dr. Jeniri turut menarik perhatian hadirin dengan menyatakan bahawa puisi Abizai merupakan anekdot kembara seorang penyair. Katanya,
Jika membaca dan meneliti puisi Abizai, maka kita akan dapat melihat cebisan biografi dan autobiografi serta ada juga unsur topografi. Unsur alam diadun dalam puisinya.
Puisi Abizai bukan sahaja memperkatakan tentang dirinya, tetapi juga merakamkan desa dan kota, dunia global serta berbicara tentang hubungan yang bersifat menegak, iaitu hubungan dengan Tuhan.
Selain itu, Dato Dr. Jeniri juga menyebut kata-kata Abizai yang mendefinisikan puisi sebagai:
Kata-kata yang mengungkapkan perasaan, pemikiran dan pengalaman dengan keindahan dan kebenaran.
Selain memperkatakan tentang Abizai, beliau juga memberikan pesanan yang sangat berguna kepada para penulis muda yang ingin berjaya dalam dunia penulisan dan kesusasteraan:
Anda harus membaca karya sastera terbaik. Jalan pembacaan itu memang panjang dan berliku, tetapi akan memberikan nikmat yang besar.
Menutup perbicaraan, beliau menyatakan bahawa Abizai wajar diberikan pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara yang seterusnya.