Oleh S. Idzam Jamil
14 Ogos 2021, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
ASNS ke-10 disempurnakan oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud (tengah).

Kuching Majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) ke-10 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya pada 13 Ogos 2021. Majlis yang amat ditunggu-tunggu oleh para karyawan Sarawak ini dilakukan dengan begitu teratur sekali dan sederhana mengikut Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sarawak kini sudah beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa pada 4 Ogos lalu. Acara penuh gemilang ini turut dihadiri oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Yang Berhormat Dr. Anuar Rapaee dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai bersama-sama para penerima ASNS ke-10.

Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) ini merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak sebagai penghargaan kepada karyawan sastera di Sarawak. Usaha projek ASNS yang dikelolakan oleh DBP Cawangan Sarawak telah dimulakan sejak tahun 1994. Sepanjang pelaksanaan ASNS, seramai lima orang penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak (anugerah utama) telah menerima pengiktirafan.

Pihak penilai ASNS telah bersepakat memilih Encik Zainal Abidin Suhaili (Abizai) sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang kelima. Beliau menerima anugerah dalam bentuk wang tunai sebanyak RM20 ribu, Watikah Penghormatan Negeri, kemudahan untuk menulis dan menyebarkan karyanya kepada pembaca, serta sepersalinan pakaian.

Manakala penerima Anugerah Penulis Sarawak (APS) Genre Novel dan Cerpen telah dianugerahkan kepada Encik Abang Median Abang Said. Beliau menerima wang tunai bernilai RM4 ribu bagi setiap satu anugerah yang dimenanginya.

Anugerah Penulis Sarawak Genre Puisi dan Esei Kritikan pula dianugerahkan kepada Encik Ja’afar Haji Hamdan. Beliau juga menerima wang tunai bernilai RM4 ribu bagi setiap satu anugerah yang dimenanginya.

Manakala Anugerah Penulis Sarawak kategori Bahasa Iban pula diberikan kepada Encik Janang Ensiring. Beliau menerima wang tunai bernilai RM4 ribu. Setiap penerima Anugerah Penulis Negeri Sarawak turut menerima Watikah Penghormatan Negeri serta sepersalinan pakaian.

Anugerah Khas Bahasa dan Sastera pula dianugerahkan kepada Allahyarham Awang Bujang Awang Hamdan. Allahyarham yang diwakili oleh isterinya menerima wang tunai bernilai RM6 ribu, Watikah Penghormatan Negeri serta sepersalinan pakaian.

Pada tahun 2020, Urus Setia ASNS ke-10 telah menerima sebanyak 32 pencalonan bagi 10 kategori ASNS. Jumlah perincian adalah seperti berikut:

  1. Empat pencalonan bagi Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak,
  2. Enam pencalonan bagi Anugerah Khas Bahasa dan Sastera,
  3. Lima pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Novel),
  4. Empat pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Puisi),
  5. Empat pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Cerpen),
  6. Dua pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Esei Kritikan),
  7. Tiga pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Genre (Skrip Drama),
  8. Satu pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Iban),
  9. Dua pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Inggeris), dan
  10. Satu pencalonan bagi Anugerah Penulis Sarawak Mengikut Kategori Bahasa (Cina).

Walau bagaimanapun, dua pencalonan APS mengikut kategori bahasa, iaitu Kategori Bahasa Inggeris dan Kategori Bahasa Cina telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat pencalonan. Manakala bagi APS Genre Skrip Drama kali ini, tiada calon yang dinilai layak menerima anugerah.

Jawatankuasa Panel Penilai ASNS ke-10 yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah mengadakan mesyuarat khas sebanyak dua kali untuk membincangkan secara khusus, meneliti dan menilai maklumat serta bahan karya calon. Pada ASNS ke-10, Kerajaan Negeri Sarawak telah memilih lima calon yang layak untuk memenangi tujuh kategori ASNS melalui satu upacara pengumuman penganugerahan secara dalam talian, yang telah disampaikan oleh YB Dr. Anuar Rapaee pada 6 Julai yang lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.