Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Muzium Sastera Melaka menerima kunjungan istimewa daripada YBhg. Sasterawan Negara (SN) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh baru-baru ini.
Kurator Bahagian Pemuziuman (Pendidikan) Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), YBrs. Puan Noor Azimah Md Ali berkata, lawatan oleh SN itu memberikan inspirasi dalam usaha memperkaya dan memartabatkan warisan sastera serta sejarah tanah air.

Menurutnya lagi, lawatan itu menjadi detik bermakna apabila SN tersebut menyatakan penghargaan dan pujian terhadap kewujudan Muzium Sastera Melaka yang telah dibuka pada tahun 1984, yang turut memainkan peranan penting dalam usaha mendokumentasikan sejarah serta perkembangan kesusasteraan negara.
“Kami sangat beruntung kerana SN Profesor Muhammad sendiri turun padang untuk melihat apa yang ada di muzium ini.
“Beliau berpuas hati dan turut memberikan idea serta pandangannya untuk mengemas kini dan menambah baik pameran yang sedia ada.
“Untuk itu, PERZIM juga telah merancang akan mengadakan jalinan kerjasama dengan beliau dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjayakan sambutan Hari Ulang Tahun ke-30 Muzium Sastera Melaka yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan Mei ini,” katanya.
Sementara itu, SN Prof. Muhammad berkata, lawatan yang diadakan itu merupakan satu pengalaman yang “sangat sedap dan sangat enak” kerana beliau seorang “hantu muzium sastera”.
“Saya pernah pergi ke muzium di Tokyo, Kyoto dan Britain. Muzium Sastera ini satu tempat yang baik di mana kita boleh hebahkan kejayaan akal fikiran, budaya, tulisan kita, dan Muzium Sastera Melaka telah menjalankan tugasnya dengan baik sekali dan boleh ditambah baik.

“Saya cadangkan, jika boleh, pihak muzium mendapatkan tulisan tangan pengarang, yang kita boleh letakkan buku bersebelahan dengan tulisan tangannya kerana di Eropah, orang suka melihat tulisan tangan.
“Dengan itu, mereka dapat melihat kelainan dan keunikan setiap cara penulisan seseorang pengarang,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya dan pegawai kanan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Huznah Sa’it.