Diterbitkan pada 30 September 2025, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Ranah kesusasteraan tanah air pada hari ini kehilangan seorang tokoh besar apabila penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (Malaysia) 2016, Rejab F.I., atau nama sebenarnya Rejab Ismail meninggal dunia pada usia 84 tahun di kediamannya di Tanjung Gorah, Repoh.

Rejab menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.50 pagi tadi, di hadapan isteri, Fatimah Taha, 82, dan anak ketiga, Rizal Irwandi Rejab, 50.

Memetik laporan BH, anak sulungnya, Ronifira Rejab, 60, dilaporkan berkata, Almarhum bapanya sudah agak lama uzur akibat faktor usia, namun tidak menghidap sebarang penyakit serius. Beberapa jam sebelum meninggal dunia, Rejab dikatakan terjatuh ketika cuba berjalan di dalam rumah.

Laporan yang sama menyebut bahawa jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Kampung Repoh, pagi ini.

Rejab F.I., anak jati Kangar, dilahirkan pada 12 September 1941 di Kampung Bongkok, Padang Lati, Jalan Santan. Beliau merupakan seorang penulis yang sangat prolifik dan disegani, bukan sahaja dalam bidang sastera tetapi juga dalam pendidikan dan budaya.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari menyifatkan pemergian Rejab F.I. meninggalkan legasi persuratan yang hebat.

Rejab F.I. katanya, lambang kegigihan seorang penulis, dan sebelum uzur, masih ada puisi-puisi beliau diterbitkan di media tempatan, termasuklah Dewan Sastera.

“Kita akan terus mengingati karya-karya Rejab F.I., terutama bagi generasi yang membesar dengan karya-karya beliau, sama ada novel, cerpen atau puisi. Semoga syurga sebagai tempat istirahatnya,” katanya.

Antara pengiktirafan yang pernah diterimanya termasuklah Hadiah Sastera Nasional (1971 dan 1972), Hadiah Sastera Esso-GAPENA (1985) dan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994, 1995, 1996, 1997, dan 1999).

Malah, beberapa buah karya beliau terpilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dan teks Kesusasteraan Melayu, misalnya novel Sejambak Bakti (teks KOMSAS Tingkatan Satu Zon Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Johor). Beberapa buah puisi dan cerpennya juga pernah diterjemahkan dalam bahasa lain, seperti Rusia, Mandarin dan Inggeris.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 135 judul buku, termasuklah 45 buah novel (kanak-kanak, remaja dan dewasa), 23 antologi cerpen (termasuklah kumpulan cerpen) dan empat buah kumpulan puisi, di samping judul-judul yang lain.

Beliau turut menghasilkan 15 skrip drama televisyen, 20 skrip drama radio dan empat skrip drama pentas, di samping sejumlah lebih 200 buah cerpen dan lebih 400 buah puisinya tersiar dalam pelbagai penerbitan tanah air.

Antara yang penting termasuklah kumpulan cerpen Papervine yang menghimpunkan 24 buah cerpen terbaik beliau. Buku ini turut diterbitkan semula dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award pada tahun ini.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak, Ronifira, Rizal Irwandi dan Rustam Affendi.

Menurut Ronifira, legasi penulisan ayahnya akan terus dikenang sepanjang zaman.

Pemergian Rejab F.I. merupakan kehilangan besar buat negara, namun karya dan jasanya tetap hidup dalam lipatan sejarah sastera Melayu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi